Wednesday, August 31, 2011

SELAMAT HARI RAYA





PELITA PANJUT WARNANYA MERAH

API DINYALA SUNGGUH INDAH

RAYA DISAMBUT PENUH MERIAH

JAUDAH DIHIDANG BUAT DIJAMAH



KE RUMAH RAKAN NAIK KERETA

TAK JUMPA JALAN KENA BERTANYA

JARI DISUSUN MAAF DIPINTA

SAMBUT DENGAN DUIT RAYANYA





KETUPAT LEMANG SEDAP TAK TERPERI

MAKAN DENGAN RENDANG DIKUALI

SELAMAT HARI RAYA UCAPAN DIBERI

MAAF ZAHIR BATIN DIMOHON SEKALI




TAKBIR BERGEMA DIPAGI RAYA

MEMUJI-MUJI KEPADA YANG ESA

HATI-HATI DIJALAN RAYA

JANGAN HAMPAKAN KELUARGA DIDESA






SELAMAT HARI RAYA BUAT SEMUA PENGUNJUNG BLOG INI DAN RAKAN-RAKAN BLOGGER YANG DIKASIHI. MAAF DIPINTA JIKA TERDAPAT KEKASARAN TUTURBAHASA, PENDAPAT YANG TIDAK SEHALUAN ATAU TULISAN YANG TIDAK DISENANGI.




BERHATI-HATI DIJALAN RAYA. SELAMAT PULANG KEKAMPUNG HALAMAN DAN SELAMAT KEMBALI SEMULA. JAGA KOLESTROL....JANGAN MAKAN RENDANG DAN BISKUT BANYAK SANGAT.




ESOK BALIK KAMPUNG YEHHHHHHH JUMPA LAGI.

Saturday, August 27, 2011

Raffero Hazelnut Cookies

Ini salah satu biskut yang sempat saya buat pada hari ahad lepas tapi baru semalam menyalut coklat. Ketika menyalut coklat jam dah 11 malam so sebab tu anda nampak pantulan cahaya lampu kat coklat tu. Saya buat biskut banyak jenis tapi sebenarnya dalam kuantiti yang sedikit....cukup dapat sebalang sahaja bagi satu jenis. Yang penting saya nak testing resepi-resepi biskut yang terdapat dalam buku tu. Atleast saya tak beli dan simpan tanpa mencuba. Setakat nie biskut yang paling sedap dan yang paling saya suka makan adalah biskut Alamanda Bar Cookies, resepi disini.


Tekstur biskut nie gebu, tidak ranggup macam tekstur almond london. Kurang manis sebab gula hanya 20gm sahaja dimasukkan, harapkan manis dari coklat. Saya tak pasti samada sukatan gula ini salah atau memang biskut nie tidak manis. Yang pasti kalau anda nak cuba....sila tambah gula menjadi sebanyak 80-100gm.

Raffero Hazelnut Cookies

Sumber: Buku Festive Cookies

Photo & Publish by resepidaria.com


Bahan-bahannya(70 keping):-

Bahan A

150gm mentega

40gm majerin

20gm crisco/shortening

20gm gula kaster (Tambah gula sehingga menjadi 80gm-100gm)

1 kuning telur

1 sudu teh cappucino emulco


Bahan B

180gm tepung gandum

secubit serbuk penaik

20gm tepung jagung

20gm tepung kentang

1 sudu besar susu tepung

30gm milo

50gm coklat rice

20gm kacang hazel-panggang & kisar


Hiasan:-

Kacang hazel (70 biji)-panggang & buang kulit, cawan kertas, coklat masakan hitam dan putih(saya letakkan pewarna hijau)


Cara-caranya:-

1. Kacau bahan-bahan A sehingga ringgan dan kembang

2. Masukkan bahan-bahan B dan kacau sehingga menjadi doh lembut

3. Ambil sebiji kacang hazel yang telah dipanggang dan salut dengan 1 camca teh doh. Buat berbentu bulat

4. Susun biskut diatas loyang pembakar dan bakar pada suhu 150c selama 15-20minit diketuhar yang telah dipanaskan sehingga kekuningan.

5. Biarkan biskut sejuk. Apabila sejuk, celup biskut kedalam 'dark chocolate' dan masukkan kedalam cawan kertas berwarna hitam. Hiasi dengan coklat putih


Nota:-

-Masak coklat dengan menggunakan kaedah 'double boiling'.

Friday, August 26, 2011

Cashewnut Ice-cream Cookies




Sebenarnya biskut nie dibuat pada hari ahad lepas tapi baru semalam dapat mencelupkan coklat dan mencantikkan rupa parasnya. Oleh kerana proses mencelup coklat dibuat malam maka tak adalah masa nak berhias-hias bagai untuk ambik gambar....ambik kemera murah saya tu dan terus snap biskut yang sedang 'dikeraskan' coklatnya kat atas redai (betul ke ejaannya).
Raya tahun nie saya banyak buat biskut guna resepi dari buku Festive Cookies oleh Chef Asma. Saya beli dah lama buku nie masa chef masih buat kelas kat BWY. Seorang rakan nampak buku nie kat atas rak buku selepas tu dia berkata "akak saya kata resepi dalam nie tipu....dia buat tak menjadi". Masa tu saya diam sahaja tak boleh komen apa-apa sebab tak pernah cuba tapi dalam hati, saya tak percaya. So tahun nie saya decide untuk cuba....

Alhamdulillah hampir kesemuanya menjadi elok kecuali resepi yang ini sahaja. Kita harus berhati-hati dengan buku masakan diluar.....gambar cantik tapi bila buat jadi lain sebab gambar dalam buku tu dicuri dari gambar orang lain. kadang-kadang kesilapan teknikal seperti tersilap taip yang tidak disengajakan......tersilap edit dan macam-macam lagi, sebab tu anda dan saya bertuah sebab kita ada banyak food blogger yang sanggup cuba dan kongsi resepi tu. Kita tak perlu bayar untuk ambil resepi nie cuma kalau ada yang bersifat 'good manner' maka blogger terimalah ucapan terima kasih.

Resepi biskut nie menghasilkan tekstur yang lebih kurang macam butter cookies, ranggup dan sedap. Makan sahaja tanpa coklatpun dah sedap....tambah lagi coklat maka lagilah sedap. Cashewnut Ice-cream Cookies
Sumber: Buku Festive Cookies by Chef Asma
Photo & Publish By resepidaria.com

Bahan-bahannya:-

Bahan A 120gm mentega(Jadikan ia 240gm)
120gm gula aising
1/8 sudu teh pewarna kuning telur


320gm tepung gandum
40gm tepung jagung
40gm tepung kentang
20gm tepung kastard
1/2 sudu teh serbuk penaik
50gm gajus-panggang &kisar

 
Kuning telur, coklat masakan hitam, starflakes(saya tak letak), coklat masakan hijau dan manik halus
Cara-caranya:-
1. Pukul mentega, gula aising dan pewarna kunig telur sehingga kembang
2. Masukkan bahan-bahan B dan gaul sebati sehingga menjadi doh
3. Rehatkan doh selama 15 minit dan canai, terap doh mengunakan penerap bentuk aiskrim
4. Susun didalam dulang pembakar, sapu kuning telur diatas permukaan dan bakar dalam ketuhar yang sudah dipanasakan pada suhu 150c selama 15-20minit
5. Sejukkan biskut dan double boiling coklat masakan dan hiasi dengan starflakes dan manik halus
Nota:-
- Sukatan bahan iaitu mentega adalah tidak tepat didalam resepi ini. Saya telah ubah kepada 250gm mentega bukan 120gm mentega.

Kuih Goreng Bakawali

Kuih goreng bakawali....pernah makan. Mesti pernah cuma tak tahu nama betul kuih nie. Dulu saya panggil 'maruku manis' sebab rupanya macam maruku tapi rasanya lain dari maruku sebab ia lemak manis dan ranggup. Sebenarnya ada sarang khas tembaga yang ada pemulas dibahagian atasnya......dan acuan itu menghasilkan bentuk kuih seperti batang bakawali. Selalunya ibu-ibu dikampung tahu tentang fungsi batang pokok bakawali yang pahit....inilah 'ubat' yang digunakan oleh mak saya bila hendak menghentikan susu badan atau botol susu. Bila dah nak masuk tadika masih dok usung botol susu kehulu-kehilir maka mak akan sapu getah batang bakawali kat puting botol susu....lepas tu adik saya akan berhenti minum sebab dia rasa tak sedap lagi.


Sebenarnya bukan mudah saya nak dapatkan resepi kuih goreng bakawali nie. Dah bertahun saya dok mintak kat makcik saya yang sorang nie tapi tak diberinya. Dia buat cukup sedap....kalau raya kami mesti mintak bawak balik sebalang. Tahun nie saya nak buat jugak dan kebetulan dia mintak saya tolong belikan pengukus Trio untuk dia so masa nie nak bodek mintak resepi (dia kedekut tahap gaban bab nak kongsi resepi dengan orang).


Saya: Pengukus dah ada kat umah, bila nak datang ambik. Mak Cik X boleh bagi resepi kuih 'maruku manis' yang mak Cik X selalu buat tu?

Mak Cik X: Alah senang je....pakai satu pek tepung pulut bla bla bla......lepas tu tuang air. bancuh AGAK-AGAKLAH sampai boleh tekan.

Saya: Yelah AGAK-AGAK tu macam mana. Banyak mana air, banyak mana gula?

Mak Cik X: hang agak-agak jelah


Macam mana puan-puan sekelian......rasa-rasa boleh buat ke kalau instruction dia banyak "AGAK-AGAK LAH".


2 hari lepas tu saya call lagi sebab pengukus trio tu dia belum datang ambik lagi dan belum bayar duit kat saya lagi.....kot-kotlah dia lembut hati nak bagi resepi betul-betul dan lepas tu saya pulak lembut hati dan kata "tak apalah mak cik X, saya sedekahkan pengukus tu tak yah bayarlah cehhhhhhh"


Saya: Alah.....mak cik X, cadang nak buat kuih tu hari nie tapi resepi yang tulis haritu hilang pulak. Boleh bagi tau sekali lagi resepi tu.

Mak cik X: alah hang nie. Ni salin bahan-bahannya bla....bla....bla.


Masa tu kat tangan saya ada kertas resepi tulisan awal.....sahaja nak double confirm ternyataaaaa ada satu bahan dia tak sebut masa awal dulu....bila tanya sukatan atau cara-caranya dia jawap AGAK-AGAKLAH.


Hari rabu saya cuba buat bancuhan......tekan-tekan dalam acuan maruku sampai tegang urat leher sebab tepung tak mahu keluar dari acuan dan kuih pulak tak garing.....lembik kat belah dalam....macam lemau. Cuba jugak berkali-kali untuk dapatkan hasil yang elok namun tak berjaya jugak maka saya ambik tepung tu dan masuk peti.


Petang semalam singgah kedai beli lagi tepung lagi dan dalam jam 5.30 petang, saya buat bancuhan lagi.....mula2 memang naik urat-urat leher saya menekan acuan lepas tu tambah air lagi....tekan ok tapi tekstur tak sama.....tambah tepung pulak....lepas tu tambah air....last2 sekali habis jugaklah satu bancuhan tu saya tekan dan mujur tak kekejangan urat-urat leher dan tangan sebab menekan acuan maruku. Inilah hasilnya.......



Resepi kuih nie saya tak dapat berikan sebab saya buat dengan cara try n error, masa tu tak ingat nak bersukat atau timbang sebab instrution yang saya terima "agak-agak" je. nanti kalau saya publish dan ada yang cuba tapi tak menjadi.....mengamuk kat saya pulak.


Cuba anda lihat bukan senang nak dapatkan resepi, sukat dan tulis dalam bahasa yang semua orang akan memahami cara-cara membuat dengan betul. Jadi anda boleh faham perasaan saya selepas bersusah payah macam nie lepas tu ada pulak segelintir blogger yang C n P resepi tapi tak ucap terima kasih atau bagi kredit pada blog ini. Ada yang ambik resepi lepas tu tulis "inilah resepi turun temurun yang dibuat keluarga saya bla bla bla" walhal semalam dia baru copy n paste kat blog resepi tu...dasyat kan perangai.

Wednesday, August 24, 2011

Sedikit tip untuk dikongsi

Ada sedikit tips yang saya perolehi semasa memasuki kelas membuat biskut. Jadi saya nak kongsilah dengan anda semua. tak banyak.....ini sahaja yang sempat saya tulis semasa mengikuti kelas membuat biskut.


1) Semua kekacang haruslah dibakar/disangai terlebih dahulu sebelum dimasukkan kedalam adunan. Ini termasuklah serbuk badam sekali pun (kekacang jugak kan)

2) Oats dan nestum kena bakar/sangai jugak sebelum dimasukkan kedalam adunan.

3) Resepi yang tidak bersalut coklat boleh guna butter mahal. Resepi biskut yang bersalut coklat seperti almond london boleh mengunakan butter murah sikit seperti buttercup atau lain-lain jenama yang murah.

4) Farmcow sesuai digunakan untuk membuat kek lapis

5) Gula ising digunakan dalam biskut adalah untuk mengebukan biskut seperti biskut mazola

6) Gula castor untuk meranggupkan biskut

7) Crisco atau shortening adalah untuk meranggupkan biskut

8) Doh jangan dicanai terus, ia perlu direhatkan terlebih dahulu iaitu selama 15 minit.

9) Tepung kentang ada dijual di kedai bakery. harga 500gm tepung kentang adalah RM4.80. Jika tiada anda boleh gantikan dengan tepung jagung. tapi rasa lain sikitlah. Buat apa nak beli banyak kalau hanya nak guna 40gm sahaja.

10) Dalam resepi ada yang guna hanya telur kuning sahaja, jika anda sayang nak buang telur putih atau tiada keperluan untuk digunakan telur putih maka anda boleh masukkan keseluruhan telur dalam bancuhan tapi tambahkan sedikit tepung jika doh lembik.

11) Jika biskut yang dicanai dan mengunakan acuan maka canai doh setebal 1/2 inci untuk mendapatkan biskut yang cantik.

12) Sapuan kuning telur diatas biskut = kuning telur + sedikit putih telur + pewarna kuning



13) Pastikan measuring spoons atau sudu penyukat ini ada didapur anda. Ia cara yang paling mudah bagi memastikan anda mendapat saiz biskut yang sama besar dan cantik. Ambil sedikit doh guna sudu penyukat samada sudu penyukat 1 tsp atau 1/2 tsp bagi mendapatkan saiz yang sama terutama untuk biskut almond london.


Itulah serba sedikit tips yang sempat saya salin semasa kelas.

Alamanda Bar Cookies

Ini salah satu daripada cookies yang berjaya disiapkan petang semalam. Biskut nie tersangatlah ranggup dan sedap sebab ada koko-krunch, kacang tanah dan coklat rice. Bila biskut dibakar....bau cappucino semerbak memenuhi dapur. bentuk biskut saya nie lari dari gambar asal dalam buku sebab saya pakai acuan apa yang ada kat rumah je. Saya paip coklat pun tak kemas.....yelah tangan tak berbedung masa kecik dulu sebab tu tak kemas bebenor nampak hasil kerjanya kan.
Alamanda Bar Cookies
Sumber: Buku Festive Cookies by Chef Asma
Photo & Publish by resepidaria.com

Bahan-bahannya:-

Bahan A
125gm mentega
80gm shortening/lemak sayuran(saya guna crisco)
80gm gula kaster
2 sudu teh cappucino emulco

Bahan B(diayak bersama)
350gm tepung gandum (saya guna 270gm tepung gandum, 80gm tepung naik sendiri)
1/4 serbuk penaik (saya tak masukkan sebab dah guna tepung naik sendiri)
40gm tepung jagung
40gm tepung kentang
1 sudu besar susu tepung

Bahan C
100gm koko-crunch (dikisar)
40gm kacang tanah-panggang dan kisar
100gm coklat rice

Hiasan:-
Kuning telur, coklat masakan putih dan hitam

Cara-caranya:-
1. Pukul bahan A sehingga ringan dan kembang
2. Masukkan bahan B dan C sehingga menjadi doh
3. Rehatkan doh selama 15 minit. Canai dan terap doh dengan penerap biskut
4. Susun didalam loyang pembakar dan sapu permukaan dengan kuning telur
5. Panaskan ketuhar. Bakar pada suhu 150c selama 15-20 minit. Sejukkan.
6. Hias dengan coklat masakan putih dan hitam

Nota:-
- Saya ambah tepung lagi dalam adunan ini sebab ia agak lembik dan tidak boleh dibentuk. Mungkin disebabkan majerin dan mentega yang saya guna dah terlalu cair sbb dibiarkan lama kat luar. Jadi bila adunan lembik, sila tambahkan sedikit tepung sehingga ia menjadi doh yang boleh di canai.
- Ini gambar bentuk biskut yang sebenar. Saya guna acuan lain.


Gambar asal biskut dalam buku


- Pastikan anda paip coklat putih dan hitam secara menyerong seperti yang dibuat pada biskut dalam gambar diatas, jangan buat seperti saya sebab nampak tak cantik dan kemas.

- Jika tiada tepung kentang, sila gantikan ia dengan tepung jagung.

Jem Nenas

Jem nenas dah siap tapi tart gulung belum nampak rupa lagi. Cadang malam nie nak buat tart gulung tapi kawan sekerja pulak nak datang buat biskut kat rumah. Nampaknya program mengulung tart malam nie terbengkalai lagi. Jem nenas dah lama siap dari hari ahad lagi. Ini resepi jem nenas yang saya guna.



Jem Nenas



Bahan-bahannya:-

500gm nenas yang diparut

250gm gula kaster

1 sudu teh perisa nenas (saya tak bubuhpun)

50gm mentega-letak akhir untuk berkilat

sedikit perahan limau untuk memastikan jem tahan lama



Cara-caranya:-



1. Masak semua bahan diatas kecuali mentega sehingga pekat dengan api yang sederhana

2. Akhir sekali masukkan air perahan limau dan mentega



Saya tak parut nenas.....cara paling cepat adalah dengan memasukkan nenas dalam mesin pemerah jus, hampas nenas saya ambil dan timbangkan, gula harus 50% daripada berat hampas nenas(berat tanpa jus) tadi. kalau 500gm hampas nenas maka gula 250gm. Masukkan dalam kuali dan kemudian tuangkan 1/2 atau 3/4 daripada jus nenas yang keluar dari mesin tu dalam kuali.



Saya suka jem nenas yang tidak terlalu manis dan ada sedikit masam-masam nenas.


Jem nenas yang telah siap dimasak, disejukkan dan kemudian dimasukkan kedalam peti sejuk supaya ia keras sedikit. Lepas jem sudah keras, guna sudu penyukat 1 tsp atau 1/2 stp (ikut suka anda nak besar mana tart gulung) untuk menyukat inti bagi memastikan tart gulung sama besar.
Bentukkan inti melonjong dan susun dalam bekas. Buat sampai habis. Persediaan awal ini amat penting supaya proses membuat tart gulung menjadi cepat dan mudah. Kalau dikampung, proses membulat-bulatkan inti nie saya serahkan kepada anak-anak saudara. Bila dah siap, tutup bekas dengan plastik pembungkus dan simpan dalam peti ais. Bila nak buat tart gulung hanya keluarkan sahaja.

Semperit kelapa/Coconut Semperit

Semalam saya cuti....bukan cuti nak buat biskut tapi cuti sebab ada pemeriksaan mata susulan kat Hospital Tun Hussein Onn, malas nak ambik time off sebab lepas habis pemeriksaan saya kena uruskan urusan bank....semalam gaji masuk so macam-macam bank kena masuk untuk buat payment. Alhamdulillah mata yg operation hari tu dah nampak ok tapi semalam bila doktor minta saya setkan date untuk buat satu lagi operation mata sebelah kanan (hari tu sebelah kiri)....saya dah termenung, saya minta tangguh 2 tahun tapi doktor kata keadaan mata kanan dah agak kritikal sebab 'akar' dah memasuki mata hitam dan dia bagi 6 bulan tempoh untuk buat set date operation. Ini bermakna awal tahun depan kena buat operation lagi.


Lepas selesai segala urusan dan shopping serba sikit beli kelengkapan raya yang masih belum lengkap maka dalam jam 2 petang barulah dapat membuat cookies. Kalau bukan hari cuti memang malas saya nak buat cookie......malam-malam lepas berbuka memang saya tak nak buat apa-apa....kalau tak pergi terawih kat surau, saya akan buat terawih kat rumah sendirian pastu terus masuk tidur. Ok jugak sepetang dok meng'cookies' dapatlah 3 jenis tapi tart nenas belum buat lagi....tak tau bila nak buat kalau kat kampung saya dah tak buat cookies sebab oven kecil.....lambat.


Oklah ini resepi samperit kelapa atau biskut kelapa. Terpaksa buat sebab entah apa mimpi masa shopping barang-barang biskut kat BWY, terbeli kelapa kering. Tak rugi buat bau biskut masa bakar semerbak harum kelapa.....sedap dan berbiji jugaklah saya makan lepas berbuka semalam.


Coconut Semperit/Semperit kelapa

Sumber: Buku Festive Cookies by Chef Asma

Photo & Publish by resepidaria.com


Bahan-bahannya:-


Bahan A

250gm mentega

180gm gula kaster (saya kurangkan kepada 150gm)

1/4 sedu teh esen vanilla


Bahan B

1 biji telur kuning


Bahan C (diayak bersama)

350gm tepung jagung

50gm tepung gandum

secubit garam

2 sudu besar tepung kastard

100gm parutan kelapa-dipanggang


Hiasan:-

Kuning telur + pewarna egg yellow, ceri merah dan hijau


Cara-caranya:-

1. Pukul bahan A sehingga ringgan dan kembang

2. Masukkan kuning telur. Pukul hingga sebati

3. Masukkan bahan C. Pukul perlahan-lahan sehingga menjadi doh

4. Ambil 1 camca teh doh dan bulatkan, susun didalam loyang pembakar. Sapu dengan kuning telur dan susun ceri merah dan hijau.

5. panaskan ketuhar. bakar pada suhu 150c selama 15-20 minit


Nota:-

- Kuning telur yang disapu tu sebenarnya tersilap bubuh pewarna oren sebab tu nampak terlalu oren. Nak ambik egg yellow terambil oren dan terus titik so teruskan jugaklah.

Tuesday, August 23, 2011

Biskut Suji Kristal/Suji Crystal Cookies

Biskut nie saya buat pada hari ahad.....tersengguk-sengguk saya seorang diri membulatkan biskut nie. Sebelum buat biskut nie, saya masak nasi dan panaskan kuah kari ikan merah (baki semalam) dan pecahkan sebiji telur.....jam 2 petang sudah menyala api dapur saya. opppssss jangan salah faham.....sengaja saya buat begitu kerana saya tahu biskut nie ambil masa sedikit untuk membuatnya dan sudah tentu akan terbabas sehingga lewat petang. Jika terbabas pun, hidangan berbuka telah tersedia so tak perlu kalut. Seperti diduga jam 6.45 baru siap sehingga proses 'mendebukan' biskut dengan gula halus. Biskut nie sedap dan gebu....cair dimulut.



Suji Crystal Cookies/Biskut Suji Kristal

Sumber: Buku Festive Cookies, Chef Asma 2007

Photo & Publish by resepidaria.com


Bahan-bahannya:-


Bahan A (diayak bersama)

250gm tepung gandum

1 sudu teh serbuk penaik

1 sudu teh baking soda


Bahan B

125gm gula aising

1/8 sudu teh garam

100gm badan kisar (panggan terlebih dahulu)

1/2 sudu teh esen vanilla

200gm minyak sapi (cairkan dan sejukkan)


Pewarna:

Pewarna pink, hijau dan kuning


Hiasan:

Gula kaster


Cara-caranya:-

1. Satukan semua bahan-bahan kecuali pewarna. Pukul perlahan sehingga menjadi doh

2. Bahagikan doh kepada 3 bahagian dan letakkan tiga jenis pewarna secukupnya.

3. Susunkan ketiga-tiga doh ini kepada satu doh yang panjang dan bahagikan doh ini kepada 10gm setiap doh

4. Bulat-bulatkan doh dan susun didalam loyang pembakar.

5. Panaskan ketuhar dan bakar pada suhu 150c selama 15-20 minit



Nota saya:-

1) Saya membuat doh dalam bentuk memanjang dan kemudian susun memanjang macam piramid(2 warna dibawah dan atas 1 warna) lepas tu hiris dan timbang seberat 10gm. Bila dah boleh agak setebal mana yang patut dihiris....ia tidak perlu timbang lagi untuk setiap bulatan kecil....dah boleh agak setebal mana perlu dihiris.

2) Pastikan berat setiap bulatan doh tidak melebihi 10gm kerana biskut nie mengembang bila dimasak. Tidak cantik jika terlalu besar.

3) Jangan terus masukkan minyak sapi dalam adunan, masukkan sikit-sikit terlebih dahulu sehingga menjadi doh dan boleh dibentuk. Pengalaman saya akan ada lebih sedikit minyak sapi tersebut jadi jangan pakai tuang terus.


Monday, August 22, 2011

Biskut Makmur

Saya jarang buat biskut makmur nie, tahun nie adik lelaki saya request biskut makmur. Oleh kerana beliau dan adik ipar saya akan datang kerumah untuk sama-sama buat biskut raya maka inilah hasil tangan kami bertiga. Bila buat kerja ramai macam nie tak lah terasa bosan dan mengantuk....kerja pun lebih cepat. Dapat dua balang....seorang sebalang. Oklah tu sebab tahun nie saya nak buat banyak jenis biskut(kalau tercapailah hajat tu) tapi dalam kuantiti yang sikit-sikit.

Biskut Makmur

Sumber: Blog hanieliza
Photo & publish by resepidaria.com


Bahan-bahannya:-
500gm tepung gandum (disangai sekejap)
5-6 sudu makan susu tepung (ini saya tambah)
80g
Minyak sapi QBB secukupnya (lebih kurang 1 tin minyak sapi yang kecil)

Inti
200gm kacang tanah (digoreng tanpa minyak, buang kulit dan mesin)
100gm gula aising
2-3 sudu makan peanut butter (Ini saya tambah)

Hiasan
Gula aising/gula halus secukupnya

Cara-caranya:-

1. Masukkan tepung, susu tepung, gula dalam bekas. Masukkan minyak sapi sedikit demi sedikit dalam adunan dan gaul sehingga ia menjadi doh. Pastikan ia tidak terlalu lembik dan melekat ditangan atau terlalu berderai sehingga tidak boleh dibentuk. Rehatkan selama 15 minit.
2. Satukan kacang tanah yang telah diblender dengan gula dan peanut butter. Guna sudu penyukat 1/4tsp untuk mendapatkan saiz inti yang sama besar. Tekan inti dalam sudu 1/4stp dan buat sehingga habis. Anda boleh kurangkan gula dan lebihkan peanut butter jika suka.
3. Guna sudu penyukat 1tsp untuk mendapatkan bentuk biskut yang sama besar. Masukkan sedikt doh dalam sudu penyukat dan keluarkan. Leperkan doh dan letakkan inti ditengahnya dan tutup rapat. Bulatkan dan buat dalam bentuk lonjong atau bentuk bulat, ikut suka anda. Susun atas dulang pembakar. Buat sehingga habis.
4. Panaskan oven dan bakar biskut dengan suhu 150c selama 15-20 minit sehingga masak (ini bergantung kepada oven anda....oven saya 15 minit dah cukup)
5. Biarkan sejuk terlebih dahulu sebelum disalut dengan gula aising/gula halus.
6. Biskut nie terlalu gebu jadi anda perlu berhati-hati bila memegangnya ketika ia masih panas.
7. Letakkan dalam cawan kertas supaya ia tidak mudah hancur.

%;">Nota:-


- Susu tepung hanyalah optional jadi anda boleh abaikan jika tidak suka.

Cashewnut Oats Cookies/ Biskut Gajus oat

Satu lagi biskut yang dihasilkan dalam aktiviti maraton membuat biskut pada hari sabtu lepas. Bermula dari lepas sahur saya dah memulakan aktiviti membuat biskut tapi hanya 3 jenis sahaja yang siap seharian tu. Bila dah jam 3 petang, saya siap semua membaking dan mengemas ruang dapur yang dah bersepah dengan segala macam bekas-bekas bancuhan dan simpan semua barang-barang mentah untuk biskut. Dalam jam 4 petang mula ke pasar untuk cari ikan dan sayur bagi buat hidangan berbuka....saya buat kari kepala ikan merah lagi (khas untuk adik lelaki saya), udang goreng butter (dibuat oleh adik ipar) dan sayur campur cendawan butang. Kuih kegemaran adik saya iaitu kuih koci (dibuat sebelum ini), alhamdulillah habis semua baki kuih koci yang saya simpan dalam peti tu.


Komen saya terhadap biskut nie....biskut nie sedap berlemak (sebab ada gajus), ranggup sangat dan just nice manis dia. Kira tepatkan sukatan resepi nie. Anda tidak akan kecewa jika mencuba resepi nie terutama jika anda peminat kacang gajus. Biskut nie khas untuk mak saya.....dia adalah peminat biskut yang dibuat daripada kacang.




Cashewnut Oats Cookies/ Biskut Gajus Oat

Sumber: Buku Festive Cookies, by Chef Asma

Photo & Publish by resepidaria.com



Bahan-bahannya(140 keping biskut):-


Bahan A


100gm majerin

50gm lemak sayuran/shortening

140gm gula kaster



Bahan B

2 biji kuning telur

1/2 sudu teh esen vanilla



Bahan C (diayak bersama)

320gm tepung gandum

1/2 sudu teh serbuk penaik

1/2 sudu teh serbuk perangup biskut (emplek)



Bahan D

80gm oats-dipanggan dan kisar

50gm nestum-kisar (saya gantikan nestum dengan 50gm gajus sbb nestum tak ada)

50gm gajus-panggang dan kisar



Hiasan:-

Kuning telur + setitik pewarna kuning telur, gajus dan oats



Cara-caranya:-

1. Pukul bahan-bahan A sehingga ringan dan kembang (dalam 2-3 minit sahaja)

2. Tambahkan kuning telur dan esen vanilla, kacau sehingga rata

3. Masukkan bahan C dan D, gaul rata sehingga menjadi doh.

4. Rehatkan doh selama 15 minit

5. Canai doh dan terap dengan acuan penerap

6. Susun dalam dulang pembakar dan sapu permukaan dengan telur kuning dan susun gajus, taburkan dengan oats.

7. Panaskan ketuhar. bakar pada suhu 150c selama 15-20 minit



Nota saya:-

- Pastikan ketebalan biskut anda dalam anggaran 1/2 inci sahaja. Biskut ini akan mengembang dan jika doh dicanai tebal, biskut tidak cantik.

- Untuk dapatkan permukaan biskut yang kuning cantik, sapu telur kuning dan kemudian letakkan gajus. Setelah semua habis diletakkan gajus, sapu sekali lagi telur kuning meliputi gajus tadi dan kemudian baru taburkan oats.

Perginya Azizi Hj Abdullah

Kepada yang pernah mengikuti aliran sastera disekolah menengah dahulu tentu kenal dengan novel Seorang Tua Dikaki Gunung. Saya adalah pelajar aliran sastera.......novel nie saya baca berulang-ulang kali. Bila membaca novel nie hati saya amat tersentuh dan seolah-olah saya berada disituasi konflik jiwa yang melanda orang tua tersebut. Novel yang amat bagus dan bahasa yang indah. Sejak membaca novel ini saya mula mendapatkan novel-novel lain karya Azizi Hj Abdullah.


Bila saya membaca berita kematian beliau disatu blog.....saya bersandar kesedihan, biarpun saya tidak mengenali beliau secara dekat dan saya tak peduli apakah aliran politik beliau.....inilah penulis yang amat saya kagumi. 'inalillahiwa'inailahirajjun' itu saja perkataan yang mampu saya tuturkan. Beliau telah menghadap ilahi pada kira-kira jam 7.15 pagi semalam, 21 Ogos 2011 bersamaan 21 ramadhan 1432.

Kerenah orang gaji

Masa saya tengah buat cookies pada hari ahad, saya call adik perempuan saya yang ke 2....saya nak tanya apa biskut yang dia nak saya buat. Dia mintak saya buat lebih tart nenas sebab anak-anak dia suka. Dia tak larat nak buat sendiri tahun nie sebab sejak dari awal puasa lepas.....anak-anak dia asyik demam dan seminggu yang lepas dia sendiri yang demam sebab tu dia berada dirumah mak saya di tahfiz. Saya tanya dia 'kenapa duduk kat rumah mak mana si pah (orang gaji adik)'. Adik saya kata pah tengah dirasuk 'hantu'.....dia risau nak berada dalam rumah dengan anak-anak tambahan dia demam....risau takut Pah naik 'hantu' dan bunuh mereka sekeluarga.



Pah adalah orang kemboja. Adik ipar saya adalah pendakwah dan ustaz yang sentiasa berulang alik ke Kemboja sebab menguruskan pembinaan masjid dikampung Champ. Kita semua sedia maklum bahawa kehidupan orang islam champ memang daif....nak sembahyang terpaksa berkongsi telekung dan tunggu turn. Adik ipar saya menguruskan sendiri pengambilan orang gaji kemboja tu dan kebetulan adik ipar saya kenal dengan keluarga si pah nie. Pada mulanya adik saya susah nak berkomunikasi dengan Pah dan ajar Pah buat kerja rumah serta masak sebab Pah tak tahu berbahasa melayu...masa nie pah buat-buat bodoh dan lambat nak tangkap apa orang suruh. Tapi adik saya pelik kerana setiap kali dia membebel dalam bahasa melayu....Pah akan menjeling tajam kerarah dia. lepas 3 bulan, tembelang Pah pecah.....rupanya dia fasih berbahasa melayu dan pernah kerja di malaysia selama 3 tahun. Bapa budak nie dah tipu adik ipar saya.....kononnya anak dia tak pernah keluar dari kampung champ.



Selepas 6 bulan pah mula buat perangai pelik.......tak nak bangun tidur apabila orang kejut diwaktu pagi.....kena suruh baru buat kerja dan macam-macam lagi. Adik saya mengadu hal nie pada suaminya tapi suami dia kata adik saya banyak songeh. Adik ipar saya jarang berada dirumah......kadang-kadang 2-3 minggu tak ada dirumah. Satu hari dia balik dari KL tanpa bagitau adik saya....masa tu adik saya berada di Tadika. Sesampai adik ipar saya kat rumah dia tengok anak-anak dia main tepi jalan dengan pakai pampers sahaja tanpa baju dan dalam keadaan comot (2 & 4 Tahun). Masuk sahaja kedalam rumah dia tanya anak perempuan dia yang tengah buat kerja sekolah "mana kakak (pah)'. Anak dia kata kakak kat dalam bilik...tak keluar sejak dari pagi tadi......dia tak masak dan buat kerja rumah. Adik ipar saya suruh anak perempuan dia masuk dalam bilik Pah dan tengok apa yang pah tengah buat. Rupanya pah tengah bergayut dengan handphone. Adik ipar saya mintak Pah keluar dan serahkan hp tu......pah pun keluar bilik dan jerit pada adik ipar saya 'ini hak saya....ustaz tak boleh ambik hak saya'. Adik ipar saya pelik macam mana orang yang daif sehingga makan bercatu boleh ada hp. Pah kata dia telefon mak dia kat kemboja....adik saya jerit kat dia sambil kata ' jangan ingat saya bahalol....mak kamu tu hp pun tak kenal'. Akhirnya Pah baling HP tu kearah adik ipar saya dan lepas tu adik ipar saya apalagi bagi 'kuliah Zuhur' lah kat dia. Pah melawan....caranya dia duduk celepuk tepi dinding dan kemudian menjerit histeria sekuat-kuat hati sehingga jiran-jiran sebelah menyebelah rumah adik saya keluar jenguk. Adik ipar saya panik....sebab risau nanti jiran-jiran kata dia cuba nak rogol atau dera orang gaji tu. Dia cepat-cepat cempung anak-anak dia dan masuk kereta dan terus ke tadika adik saya. lepas tu dia kata pada adik saya 'orang gaji kita gila rupanya'.



Selepas tu mereka hanya bersabar dengan kerenah pah sebab adik ipar berjanji akan hantar pah balik masa raya haji nanti sebab masa tu dia akan ke kemboja untuk urusan korban. Semalam adik saya cerita tentang kerenah Pah yang terbaru. Oleh kerana cuti hari sabtu, adik saya mintak anak sulung dia (mariam) bagitau Pah yang mereka semua termasuk Pah akan pergi shopping baju raya jadi pah kena siapkan kerja rumah. Mariam keluar dari bilik Pah...." Umi, kakak kata....kakak tak hingin buat kerja rumah hari nie kalau umi tak nak bagi pinjam handphone....dia kata dia nak telefon keluarga dia kat Kemboja". Wahhhhh.....orang gaji bagi kata dua pada majikan. Adik saya kata kat mariam 'pergi bagitau kakak.....dia tak nak buat kerja....hari nie gaji dia potong sehari dan tak payah ikut pergi beli baju raya". Adik saya dengan anak-anak dia yang buat kerja rumah sendiri sementara orang gaji duduk dalam bilik (adik saya nie pembersih orangnya.....dia benci keadaan kotor dan bersepah). Dalam jam 10 pagi semua kerja siap dan kebetulan adik ipar saya balik ke rumah. Adik saya mengadu perangai pah kat suami dia. Suami dia diam saja dan masuk bilik mandi, tukar pakaian dan hendak keluar semula sebab ada ceramah kat Kuantan. Sebelum keluar rumah dia mintak Mariam panggil kan Pah keluar. Pah keluar dari bilik dan kemudian adik ipar saya pun bagilah 'kuliah jam 10 pagi' kat Pah....pah diam je masa nie. Lepas habis ceramah yang hampir 45 minit tu, adik ipar saya pun bertolak ke Kuantan.



Adik saya pulak dengan anak-anak masuk kereta sebab nak pergi shopping. Masa dia sedang uruskan anak dia masuk dalam kereta tiba-tiba dia dengan Pah menjerit histeria 'huhhhhhhhhhuhhhhhhh meraung....mula-mula perlahan lepas tu makin kuat....mariam yang masih dalam rumah lari ketakutan sebab dia nampak pah meraung dan menjerit sambil pegang pisau kat tangan Pah. Apalagi mengigil adik saya start kereta.....mujur anak-anak yang kecik dah ada dalam kereta. Jiran-jiran dah mula menjenguk malah ada yang berlari datang kearah rumah adik saya. Kawasan taman perumahan.....rumah dekat-dekat. Adik saya dah tak peduli jiran-jiran dia, dia drive terus ke rumah mak kat tahfiz. Dia berada dirumah mak saya sehingga suami dia balik dari Kuantan. Dia dah takut sangat nak balik rumah sendiri sebab pah tengah naik 'hantu'.



Pah nie yang berasal dari negara yang daif dan susah tapi jika anda lihat kelakuan dia memang sakit hati. Fisrt....dia marah kami direct kalau panggil dia bibik. Kedua.....dia boleh tunjukkan pandai dengan kita dan melawan. Ketiga berlagak...masa semua berkumpul di rumah Pahang dia kata pada saya " kakak kan kaya....kenapa tak pasang air con dalam rumah nie macam rumah ustazah (adik saya)...saya tak suka duduk sini sebab panas". Masa tu rasa macam nak lempang je mulut dia. Keempat...panjang tangan, masa kenduri kahwin orang akan bagi duit dan masukkan dalam sampul semasa salam dengan mak. Mak pulak bagi pada adik saya nie untuk disimpan sebab bilik dia kat tingkat 2....bilik mak kat tingkat 1 tempat orang berkumpul. Rupanya pah selongkar beg adik saya dan kira duit yang diterima diterima lepas tu bodoh sebab bagitau saya 'kakak...duit orang bagi kat makcik, saya dah kira ada 200". Masa tu saya terkejut dan tanya adik saya 'hang simpan kat mana duit mak". Adik saya kata dalam beg tangan dia....tengok....beg tangan adik sayapun dia berani selongkar.



Pah melakukan banyak perkara yang merbahaya terutama pada anak-anak. Adik saya ada kereta iswara lama yang dah dia tak pakai tapi masih elok. Kunci kereta diletakkan dalam rumah. Masa adik saya pergi kerja....anak-anak yang lain pergi sekolah tinggallah pah dengan anak bongsu adik saya yang berusia 2 tahun. Bila tengok adik saya dah keluar rumah....dia ambil kunci dan kemudian start kereta iswara tu dan bawak keliling taman bawak anak kecil tu sekali. pelik bukan......manusia yang tak pernah naik kereta selama nie boleh bawak kereta...sebab Pah nie berada dalam ketegori bijak....dengan hanya tengok dan perhati kelakuan orang, dia boleh ikut dan tiru. Ini pun jiran adik saya yang cakap sebab dia terkejut bila tengok Pah bawak kereta pusing2 taman kebetulan jiran tu tak sihat dan tak pergi kerja hari tu.



Kasihan adik saya.....ini orang gaji dia yang kedua. Yang pertama orang indonesia....asal dari Bandung.....dalam lewat 20an dan putih lawa orangnya. kerja bagus....pagi2 jam 5 dah bangun....rumah sentiasa kemas dan wangi sebab dia mop tiap-tiap hari. Keburukan dia.....bermulut jahat.....kuat mengumpat dan melaga-lagakan orang. Adik saya akan bawak dia ke Tadika setiap hari selepas dia habis kerja rumah....kat sini dia melaga-lagakan guru-guru tadika sampai bergaduh-gaduh. Bukan cikgu2 kat tadika dan taska je bergaduh.....kami adik beradik pun sampai bergaduh. Paling tension bila adik saya pergi umrah dengan suaminya dan mak saya, tinggalkan anak-anak dengan kami kat rumah masa raya haji. Dia duduk dalam bilik tak keluar-keluar dan bila kami suruh dia basuh pinggan....dia boleh kata "kakak bukan majikan saya kenapa saya kena buat kerja kat rumah nie". Saya terpaksa masak dan buat semua kerja rumah dan bila makanan dihidangkan dimeja....pandai pulak dia datang dan bawak anak-anak adik saya duduk kat meja makan dan makan tanpa peduli kat kami. Macam kami nie orang gaji dia. saya sabar je sepanjang 2 minggu tu tapi yang tak sabar bile adik saya balik dia terus mengadu "masa ibu tak ada....kakak marah-marah sama anak ibu, dipukul2nya anak ibu.....hari-hari anak-anak ibu kena tengking". Adik saya apa lagi terus masam muka dengan saya. Kami bersyukur sangat adik saya hantar dia balik Indonesia lepas dia melarikan diri bersama baby (anak bongsu adik saya yang ketika tu berusia 6 bulan). Mujur adik ipar saya dikenali ramai, salah seorang imam surau nampak seorang perempuan dukung baby masuk kedalam surau.....dia rasa macam kenal dengan perempuan tu sebab pernah nampak kat tadika adik....mujur dia call adik ipar saya tanya...masa tu adik dengan adik ipar saya dah panik gila kat rumah sebab baby mereka hilang dilarikan orang gaji.



Sebenarnya kisah dan kerenah pelik2 orang gaji nie tak habis jika nak cerita. Yang peliknya bila mereka bekerja dengan bangsa lain.....taat sungguh.....basuh kereta tiap-tiap hari lepas subuh pun sanggup....tapi kalau dengan bangsa kita....huhhhh naik kepala bila baik sikit.



Saya kalau telefon adik saya memang 'berasap' handphone sebab lama....kadang2 sampai berjam-jam kami bercakap. Kalau berkumpul ramai-ramai kat rumah Pahang.....kami akan duduk berbual sampai mak saya tegur "hampa semua nie.....tak habis-habis lagi ke cerita....banyak sungguh cerita....nie cerita satu tahun ke".

Biskut Bunga Cina

Seperti biasa, setiap tahun saya akan terima permintaan dari adik ke 3 supaya buatkan dia biskut bunga cina. Dah 2 tahun berturut-turut guna resepi kak Nor tapi tahun nie kononnya nak cuba resepi lain. Lepas dah siap....dan makan masa berbuka semalam ternyata resepi kak nor jugak yang paling sedap dan best untuk biskut bunga cina nie. Bskut bunga cina guna resepi nie agak ranggup dan tidak gebu. kepada yang suka biskut bunga cina yang ranggup boleh cuba resepi kat bawah nie tapi kalau yang minat gebu dan cair kat dalam mulut.....baik cuba resepi kak Nor kat sini.


Inilah aktiviti saya hari sabtu semalam.....maraton buat biskut raya. Harapkan hujung minggu ajelah nak buat biskut pun...sabtu depan dah balik kampung so dah tak boleh buat biskut lagi.



Biskut Bunga Cina
resepi dari buku Festive Cookies, Chef Asma
Photo & Publish by resepidaria.com

Bahan-bahannya:-

Bahan A
250gm mentega
200gm gula kastor

Bahan B
1 biji kuning telur
1 sudu teh perasa vanilla

Bahan C (diayak bersama)
450gm tepung jagung
3 sudu besar susu tepung (rata)
3 sudu besar tepung gandum (rata)

Hiasan:-
Ceri merah dan hijau-potong kecil

Cara-caranya:-

1. Kacau mentega dan gula kaster sehingga ringgan dan kembang
2. Kemudian masukkan kuning telur, vanila esen. Gaul sebati.
3. Masukkan bahan C dan kacau perlahan-lahan sehingga menjadi doh
4. Picitkan doh keatas loyang pembakar dengan acuan bunga semperit dan hiasi dengan ceri merah dan hijau
5. Panaskan ketuhar. Bakar pada suhu 150c selama 15-20 minit (sy bakar dalam 12-15 minit sahaja)

Nota:-
- Sukatan dalam resepi nie amat tepat, anda akan mendapat doh yang sempurna....iaitu tidak lembik atau keras sehingga susah nak tekan dalam acuan samperit.

Roti Saj




Roti saj dimakan bersama dengan kari kepala ikan merah adalah menu berbuka saya pada hari jumaat. Sedap dan mengenyangkan....saya buat separuh dari bahan dibawah dan dapat dalam 5 keping....makan 3 keping pun dan betul-betul kenyang.




%;">Roti Saj

Sumber: Kak Rusnah FB

Resepi diambil dari: disini

Photo & Publish by resepidaria.com


Bahan-bahannya:-

1 sb yis mauripan

1 sb gula

1 1/2 cawan air suam (saya tak masukkan semua)

3 1/2 cawan tepung gandum

1/2 st garam

sedikit minyak


Cara-cara membuatnya:-

1. Campurkan yis, gula dan satu cawan air suam, biarkan ia berbuih sebentar

2. Masukkan tepung gandum dan garam. Uli dan tambah baki air suam sedikit demi sedikit sehingga ia menjadi seketul doh yang tidak melekat ditangan.

3. Selesai uli, rehatkan selama 1 jam. Tutup dengan plastik.

4. Selepas direhatkan sejam, uli sekali lagi doh dan bahagikan kepada 8-10 ketulan kecil.

5. Bulat-bulatkan dan salut dengan sedikit minyak/tepung

6. Ambil seketu dan canai membulat. Jangan nipis sangat....biar tebal sedikit.

7. panaskan kuali dan letakkan doh. Guna api perlahan. Tutup kuali dengan penutup

8. Masak lebih kurang 3-4 minit bagi setiap belah roti saj.

9. Angkat dan teruskan dengan baki doh yang lain sehingga habis.


Friday, August 19, 2011

Kongsi info

Waktu rehat tengahhari tadi saya ke Bank Islam Kota Damasara untuk keluarkan duit dan tukar duit raya. Oleh kerana saya menghala ke arah sana, ofismate pesan barang-barang untuk dibeli kat Bagus Bakery. Saya nak kongsi dengan anda berkaitan dengan perbezaan harga yang sangat ketara untuk item nie

Badam slice nie berharga RM15.50 untuk 500gm. hari selasa lepas saya pergi ke Bake With yen dan beli almond slice nie hanya berharga RM11 untuk 500gm. Beza hampir RM4.50 tuuuuuu. Tu yang terkejut sangat....kalau setakat 50-90 sen tu boleh dimaafkanlah sebab kalau nak pergi BWY kena bayar tol pergi balik RM3.20. Ini satu item sahaja dah beza RM4.50, belum lagi item-item lain.....mak aiii kalau sapa yang shopping sinilah beli barang-barang biskut....duit yang beza tu anda boleh dapat balang kuih yang besar tu 5-6 bijik.
Nie badam yang saya beli kat BWY, ini 250gm sebab saya bahagi 2 dengan kawan. Kat BWY, 500gm badam slice berharga RM11.00 tapi 250gm berharga RM5.80 so jimat 60 sen kalau beli banyak sebab tu saya kongsi dengan kawan.




Satu lagi info nak kongsi, kawan saya wawo beritahu bahawa harga Pengukus Trio kat Yummie Bangi adalah RM189. Ofismate saya pula beritahu saya semalam bahawa steamer trio nie tengah offer kat Jaya Jusco dengan harga RM179 sahaja. So sesiapa yang bercadang nak dapatkan Steamer Trio bolehlah cari kat Jaya Jusco (my fren pergi JJ IOI,Puchong). Oh ye offer nie hanya sampai bulan Ogos nie aje kat JJ. Masa saya beli dahulu harganya RM220.....harga dah turun sekarang nie.


Kuih Koci pulut hitam lagi



Beberapa lari lepas saya beli kuih koci kat pasar ramadhan....selain daripada bersaiz kecik dan berharga 3 RM1, kuih koci yang dibeli tu dimasukkan inti sikit sangat....tebal tepung dari inti. Memang tak puas hati bila tengok kuih koci macam tu. Nak buat sendiri faham-faham sajalah saya duduk seorang ....kalau buat ia akan menghasilkan kuantiti yang banyak jadi sapa yang nak habiskan melainkan tuan rumah tu sendiri. Kalau sayang sangat simpan dalam peti.....lepas tu lupa dan bila kemas peti.....buang semua makanan yang disimpan sebab dah tak elok.
Memang bab-bab kuih nie saya cerewet sikit kalau nak beli......walapun dalam bulan puasa tahun nie saya dah berazam untuk kawal pengambilan makanan manis tapi 2 kuih nie iaitu kuih koci dan tepung bungkus mesti nak makan juga.


Saya buat kuih koci pulut hitam guna resepi CMG, setia dengan resepi nie sebab kena dengan selera saya. Dulu dah pernah buat iaitu kat sini jika anda hendakkan resepi.

Guna resepi CMG tu boleh menghasilkan lebih kurang 18 biji kuih koci (bergantung kepada saiz kuih anda). Dari satu kukus tu saya telah menghabiskan sebanyak 6 biji kuih koci......ya Allah tadi masa isi Diari Diet....terkejut tengok kalori yang diambil untuk 6 biji kuih koci tu.

Satu biji kuih koci, 42gm = 84 kalori
6 biji = 504 kalori



hmmmmm....dah lepas dalam perut dah pun baru nak menyesal sebab makan. Baki kuih 12 biji masih dalam peti....nampaknya kena tunggu adik lelaki saya datang berbuka esok untuk habiskan bakinya.

Thursday, August 18, 2011

Kerang Rebus

Pelik sikit hidangan berbuka saya semalam. Masa beli barang basah kat pasar paya jaras, tengok ramai dok beli kerang kat gerai ikan yang saya sedang memilih udang tu....tergerak hati nak jugak makan kerang rebus.

Semalam cuti bagi orang Selangor maka kesempatan tu saya dan rakan pergi shopping sakan menghabiskan duit bonus yang tak masuk lagi tu. Shopping in advance.....pay later (gesek kad creditlah...apa lagi). Bonus 23hb nie baru masuk tapi tapi duit dah habis awal. Alhamdulillah reseki tahun nie, bonus dapat....dividen dapat so memang boleh belilah perabut yang masih tak lengkap kat rumah tu. Saya pergi ke Carpet warehouse sale kat sg buloh....oklah harganya 50% less. Sempat sambar 3 helai carpet.


Balik ke Kota Damasara dah jam 6.10 petang, singgah kat masjid kuning untuk sembahyang dan 'intai' bubur lambuk tapi bukan reseki kami....bubur habis. Singgah pasar ramadhan beli laksam dan air tepu. Balik rumah memang melepek letih sebab dari pagi merayau dari Puchong sampai Kg Baru Subang.


Tekak teringin nak makan kerang rebus.....sempat basuh ala kadar...tu yang tak putih sangat kerang tu. Masuk dalam periuk dan tutup pastu goncang kuat-kuat supaya kekotoran dan pasirnya keluar. tak beruspun lah.....kalau berus lepas berbukapun belum tentu siap.


Kerang Rebus Simple


Bahan-bahannya:-


2 batang serai-diketuk


3 ulas bawang merah-dihiris


sedikit kunyit hidup-diketuk


sedikit garam


air secukupnya.


Cara-caranya:-


1. Bersihkan kerang, masukkan dalam periuk. Masukkan semua bahan-bahan yang dihiris dan diketuk. Masukkan air sehingga melepasi paras kerang dan masukkan garam. Rebus sehingga masak.


Tuesday, August 16, 2011

Ramadan 16

Oleh kerana hari nie saya pergi ke Pasar Malam Paya jaras untuk beli ikan dan sayur maka tak adalah nak masak bila balik rumah. Beli sahaja....lagipun teringin sungguh nak makan bubur lambuk.Ini pula adalah telur ikan. Satu bekas pisang nie berharga RM2.50 satu. Ini kali kedua saya beli sebab boleh tahan sedap telur ikan nie.


Hari nie saya beli kuih muih.....kali pertama beli kuih kat pasar ramadhan nie. Dua jenis kuih nie adalah favorite saya....kalau duduk dengan mak, kami adik beradik agak merengek mintak mak buatkan. Cuba tengok saiz kuih nie....kuih tepung bungkus atau puteri sebilik nie hanya ada satu puteri sahaja.....kecil sungguhkan....bila tengok keadaan kuih nie terfikir saya berapalah belanja untuk berbuka bagi family yang ada anak ramai jika semua dibeli.

Mee Rebus Terengganu

Semalam teringin sungguh nak makan sesuatu yang berkuah rebus sahaja. Ini menu kegemaran saya bila bulan puasa terutama bila dah tak lalu nak makan nasi. Mee rebus terengganu versi adik perempuan saya. Saya pernah tanya kawan yang asal terengganu.....versi asal lain sikit tapi asasnya samalah. Dah makan(lepas berbuka semalam) baru teringat nak ambil gambar sebab tu kuah dia dah nampak ada lada kicap. Lada kicap penting disediakan bersama dengan mee rebus nie.....kalau tak ada.....tak ummmp. Manis kuah mee rebus nie datangnya dari banyak bawang putih, lada hitam dan fish ball serta ayam dan sayur sawi. Saya paling suka makan sawi organik....rasanya lain dari sawi biasa yang dijual walaupun harganya mahal....satu pek kecil RM3 lebih.


Resepi mee rebus nie dah pernah saya publishkan kat sini dan sini.

Monday, August 15, 2011

Biskut Almond London

Biskut Almond London yang dibuat untuk adik sepupu saya pada ahad lepas. Resepi yang diajar oleh Chef Asma dalam salah satu kelas biskut yang diadakan di Bake With Yen....dah lama sangat dah masuk kelas nie...rasanya dalam tahun 2007 atau 2008. Saya pernah postkan resepi nie kat blog iaitu disini Untuk kali nie saya buat sedikit tambahan dalam resepi. Yang pasti ia sangat sedap dan ranggup. Dari dulu lagi bila buat almond london saya guna resepi nie.




Biskut Almond London

Sumber resepi: Chef Asma

Publish & Photo by resepidaria.com



Bahan-bahannya (ia menghasilkan 300 biji)




Bahan A

210gm butter (saya guna Butter Anchor)

210gm majerin


160gm gula aising-ayak terlebih dahulu



Bahan B

500gm tepung gandum atau tepung red rose

100gm tepung jagung

90gm serbuk badam-sangai dulu sebentar
1/4 tsp baking powder

4 tbsp susu tepung



Bahan C

1 kg whole almond - bakar dahulu dalam oven selam 10 minit dgn suhu 150C



Hiasan : Almond nip, 1 kg milk chocolate (saya guna jenama Beryl's ) dan papercup



Cara-caranya:-



1. Putar bahan A sehingga kembang dan ayak bahan B

2. Masukkan bahan B kedalam adunan A dan uli sehingga jadi doh

3. Rehatkan adunan selama 15 minit dan ambil adunan dalam anggaran 1 tsp, masukkan almond dan bulatkan.

4. Bakar selama 15 minit dengan suhu 150C dan sejukkan

5. Cairkan chocolate dengan mengunakan kaedah double boil. Masukkan beberapa biji biskut dalam coklat dan guna sudu plastik (yang digunakan oleh peniaga bila kita beli nasi bungkus/lemak) masukkan dalam papercup.

6. Hiaskan dengan coklat nip.



Nota/Tips:-




- Pastikan anda sentiasa bakar @ sangai terlebih dahulu semua kekacang sebelum dimasukkan dalam bancuhan biskut.

- Bancuhan diatas menghasilkan 300 biji kuih ye....kalau buat sorang2 boleh sampai malam. Jadi buat separuh adunan sahaja jika hendak sikit.

- Fungsi majerin disini adalah untuk merangupkan biskut....anda boleh guna semua butter tetapi masukkan 1/2tsp emplek untuk merangupkan lagi biskut.

- Proses membentuk dan menyalut coklat dilakukan oleh sepupu saya yang berusia 13 tahun so almond london nie tak cantik sangatlah.


Kuih Keria


Kuih keria mengunakan keledek kuning nie entry tertunggak. Buat pada hari jumaat lepas.....saya hanya buat dengan mengunakan seketul keledek lebih kurang 300gm sahaja. Seperti biasa kalau buat kuih keria.....saya suka jika tepung yang dimasukkan dalam doh adalah sikit supaya bila makan rasa keledek itu lebih terasa. Kalau kita beli kat gerai kuih selalunya campuran tepung banyak dan dia letak ibu roti supaya lembut. Resepi kuih keria adalah seperti yang pernah dipostkan disini dan disini.

Ada pengunjung blog ini berkata apabila beliau ikut resepi diatas mengapa doh lembik dan melekat pada tangan. Bila kita memasukkan tepung sedikit memang doh lembik sikit dan melekat pada tangan sebab itu apabila membuat kuih keria saya selalu sediakan sedikit minyak masak dalam piring dan kemudian sapu sedikit pada tapak tangan dan kemudian bulat-bulatkan doh. Apabila hendak buat lubang di tengah-tengah doh, saya akan celupkan jari telunjuk kedalam minyak yang disediakan dan kemudian lubangkan doh tersebut. Jadi doh saya tidak melekat ditangan.

Faktor mengapa doh anda terlalu lembik adalah terlebih rebus ubi keledek. Pastikan anda tidak terlelu lama merebus keledek sehingga ia lembik dan berair. Guna hujung sudu untuk cucuk keledek yang direbus.....jika tekan masih keras....biarkan lagi kemudian dalam 5 minit tekan lagi keledek....jika keledek dah lembut terus angkat dan toskan air. Biarkan air tersejat dari keledek dalam 5-10 minit sebelum keledek ditumbuk lumat.

Kuih keria saya tu terlebih perang......inilah yang berlaku bila tinggalkan kuali atas api sekejap. Gula yang disira pulak terlebih sebab bancuhan sikit iaitu 300gm sahaja tapi saya guna 2 sudu makan gula untuk menyira.....ia sepatutnya 1 sudu makan dah cukup.
Posts (Atom)