Friday, June 15, 2012

Celoteh lagi

Minggu nie sepatutnya adik perempuan saya datang semula ke HUKM untuk buat kimoterapi yang kedua. Dia patut tiba semalam lagi sebab rawatan dijadualkan pada 16hb, sehingga pagi tadi dia senyap sahaja maka sayapun telefonlah dia. Mula-mula tak angkat. Beberapa kali cuba call, masih tak angkat jugak. Akhirnya selepas jam 12 barulah dia call saya balik.

Dia beritahu kesan kimoterapi yang pertama dulu teruk. Hari pertama dan kedua selepas kimoterapi....masih ok dan dia masih boleh drive balik pahang. Sampai sahaja kat rumah kampung (cuti sekolah so semua balik kampung), dia mula sakit. Dia mula lembik, badannya seperti terbakar katanya seperti berada dalam bara api....dia kepanasan teruk. Kulitnya mula kelihatan hitam (dia putih), mulut dan lidah mula pecah-pecah sehingga menyukarkan dia untuk minum dan makan. Selepas seminggu.....rambutnya bergumpal-gumpal gugur dan sekarang dia telah botak. Lebih seminggu dia hanya terbaring kesakitan. Akibat dari pengalaman pertama tu.....dia mula serik untuk meneruskan rawatan kimoterapi dan dia sekarang mula berubat secara tradisional.

Saya tidak mampu nak nasihat apa-apa sebab dia kelihatan tekad. Adik saya nie adalah seorang ustazah yang amat petah bercakap (dia juga adalah penceramah bebas) dan dia seorang yang degil (personaliti Choleric). Bila bercakap dengan dia....anda hanya mampu berkata ohhhhhhhhh, hhhhmmmm sebab dia tak bagi peluang untuk anda bercakap. Rasanya sepanjang sejam saya dok berbual dengan dia tadi.....saya hanya kata 'ohhhhhhhhhh'. Bila dia dah buat keputusan, tiada sesiapa boleh ubah keputusannya. Bila dengan keputusan dia tu....saya hanya termenung dan saya teringat cerita kawan saya. Ketika dia menguruskan satu kes, dia berurusan dengan seorang wanita cina nie. Wanita nie bercerita berkenaan dengan abangnya yang mengidap kanser dan apabila teruk dia tidak mahu menyiksa tubuhnya lagi maka dia mengunakan alternatif semulajadi iaitu dengan meminum jus daun dari sejenis tumbuhan. Wanita itu sangat baik hati, dia telah menberikan kawan saya pokok tersebut untuk ditanam. Saya dah minta pada kawan saya tadi....so mungkin minggu depan dia bawak dan nanti saya tunjukkan gambar dan bentuk daun pokok tersebut. kalau anda tanya nama pokok tu saya tak tahu nak cakap sebab tak kenal nama tumbuhan terutama yang pelik-pelik (yang tak pelik pun tak kenal sangat).

Selepas dia mengadu pasai sakitnya kemudian dia mengadu pulak pasal masalah tadika dia. Bukan senang nak mengurus tadika, bila dengar cerita adik saya....saya geleng kepala....mujurlah saya bukan manusia yang jenis suka berurusan orang ramai. Dengar pun dah serabut. Dia kata selepas kerani dia melarikan duit kutipan yuran tadika yang berjumlah RM12 ribu pada akhir tahun 2010 maka dia amat berhati-hati nak ambik orang luar bekerja. Dia ingat lebih senang kalau berurusan dengan ahli keluarga sendiri. Dia ambik anak mak cik saya untuk tolong dia uruskan hal-hal pentadbiran. Dia ajar budak tu jaga akaun, berurusan dengan pembekal barangan runcit dapur, collect yuran, buat payment gaji pekerja dan bank collection. Bila dia tengok sepupu kami tu boleh diharap maka dia lepaskan semua urusan tersebut kepada sepupu kami tu. Adik saya pula masa tu serabut dengan masalah seorang guru tadika yang dilatihnya selama 5 tahun dan dilantik sebagai timbalan guru besar buat hal. Guru nie adalah seorang OKU, adik saya latih dan hantar dia berkrusus sehingga mendapat sijil mengajar dan menguruskan tadika. Pada awal tahun lepas, perangai guru tersebut mula berubah....dia mula menghasut guru tadika lain supaya letak jawatan dan mula memburuk-burukkan adik saya. paling dahsyat, guru tersebut telah berjumpa setiap ibu bapa dan menghasut mereka supaya menghantar anak-anak mereka ke tadika yang akan dia buka dalam tahun 2012. Adik saya tidak mengetahui kegiatan guru nie sehinggalah seorang ibubapa pelajar menelefon dan memaklumkan hal ini. Adik saya telah mengambil helaian risalah tadika baru yang dibuka serta risalah memburukkan tadika adik yang diedarkan kepada ibubapa dan buat lapuran polis serta memberhentikan dia 24 jam sebab membahayakan tadika tetapi tindakan adik saya nie telah diadukan kepada pejabat buruh dan adik saya dikenakan saman RM4 ribu ringgit. Adik saya amat tertekan sebab pendaftaran pelajar tahun 2012 jatuh mendadak ditambah pulak dengan masalah suaminya yang tengah miang nak kahwin baru dan dia pula mula sakit.

Kali nie dia lagilah tertekan sebab bila tiba nak siapkan akaun tadika (30 jun adalah hari terakhir untuk hantar penyata pendapatan LHDN untuk individu yang menjalankan perniagaan) sebab sepupu kami yang "boleh diharapkan" itu rupanya telah menyembunyikan dan merosakkan resit-resit pembelian barangan dapur dan perbelanjaan tadika. Adik saya terkejut bila tengok resit-resit hilang dan tanpa resit tersebut keuntungan tadika menjadi terlalu tinggi dan tidak lojik langsung. Peruntukan untuk perbelanjaan dapur tadika adalah RM10 ribu sebulan tetapi resit yang ada hanyalah dalam RM4 ribu sahaja. Adik saya menangis bercerita dengan saya tadi. Dia kata dia rasa sangat-sangat letih. Oh ye sepupu kami tu dah melarikan diri 2 bulan yang lepas, selepas merosakkan Toyota Hiace adik saya. sehingga adik saya terpaksa menghabiskan RM1 ribu lima ratus untuk membaiki toyota baru tu.

Selepas sepupu kami tu melarikan diri dari tadika, dia balik ke kampungnya dan kemudian mengadulah kat mak cik kami. Mak cik kami nie pulak dengar cakap anak. Dia call semua adik beradik dan saudara mara dari yang bau-bau durian sehinggalah yang bau bacang kat Changloon, kedah nunnnnnn (banyak lak duit dia beli top up menelefon tu....kalau tak asyik buat miscall suruh orang call dia balik) dan bagitau betapa jahatnya keluarga kami nie mendera anak dia, sampaikan saya yang tak dak kena mengena dengan cerita niepun pun kena jugak wahhhhhhhhhh!!!!!!!!.........apa salah aku.

Saya cakap pada adik saya "pedulikan mereka.....mereka ada apa yang nak berlagak sangat dengan kita. nanti bila susah atau sakit, mereka akan call kita jugak sebab kita banyak duit".  Memang perkataan saya kasar tapi that reality. Saya memang tak close dengan mak cik saya nie sebab mulut dia nie 'jahat' sikit, saya jarang jejakkan kaki saya kerumahnya (saya nie baran sikit, bila dia nak cerita buruk orang saya cepat-cepat cakap 'jangan cerita hal orang boleh tak', pastu tu dia mengadu kat mak yang saya nie kurang ajar dengan dia so lebih baik jangan pi).....saya hanya datang kerumahnya kalau sepupu saya yang kecil sekali call "yong, ayah sakit. sekarang kat hospital selayang". Barulah saya pergi kesana dan uruskan bapak saudara saya tu apa yang patut (biasanya duitlah....apa lagi) dan kemudian saya balik kota damansara. Mak cik saya orang susah, suaminya hanyalah driver lori yang terpaksa pencen awal sebab strok. Hidup hanya makan duit pencen RM1 ribu sebulan. Anak-anak pulak tak belajar pandai hanya setakat tingkatan 3 sahaja yang paling tinggi pun. Dah besar-besarpun masih duduk makan tidur kat rumah sempit emak dan ayah. Kalau tak kerana mak saya yang selalu call "yong....pergi tengok Pak Ndak atau Mak ndak, dia mengadu sakit.....cuba gi hantar kat hospital, gi cari ubat dan macam-macam lagi". Sebab mak.....itu adalah adik mak saya maka saya pedulikan mereka biarpun tiada perkataan terima kasih atau atleast "jangan buruk-burukkan saya".....letihlah nak layan orang macam nie. Cakap je........ nanti esok lusa bila adik sepupu saya call 'yong mak sakit, yong ayah sakit' saya tak teragak-agak capai kunci secepat kilat untuk pergi ke ulu yam. Nak buat macam mana buruk-buruk pun dia tetap adik mak saya.

Macammanalah adik saya nak sembuh kalau macam nie. Tentang suami dia......emmmm dengar cerita dah balik dari Indonesia, sampai kat rumah mereka dia terus masuk bilik study (bilik rasmi dia sekarang) kemudian keluar tak balik-balik rumah. Saya tak berani nak tanya adik saya.

Kadang-kadang (cuti lepas) bila saya duduk berdua-dua dengan mak sambil berehat-rehat kat pangkin bawah pokok ciku....mak saya akan kata "hang bertuah tak kahwin....kepala otak tak serabut, hati senang....". Ohhhh oooo mak nie. Saya cuma jawap 'Betulllllll!!!!! bila tengok keadaan yah....yong rasa bertuah tapi bila mak dah tak dak nanti.....yong tinggal sorang-sorang kat dunia nie....tak dak sapa nak jaga yong bila sakit masa tu yong tak bertuah". Dia jawap "hang banyak duit.....simpan banyak-banyak pastu cari rumah orang tua yang elok-elok". Aduhhhh haiiiiii positif gila pemikiran mak atau sebab mak kecewa tengok kehidupan adik saya.

Monday, June 11, 2012

Mengenali personaliti diri

Saya dah slow down dalam dunia masakan. Sudah lebih 6 bulan saya tidak aktif memasak.....hanya masak sekadar yang perlu, hanya masak ketika tetamu hadir ke rumah. Kadang-kadang saya terlupa untuk ambil gambar masakan....kamera sudah jarang berada dalam tangan saya seperti dahulu lagi.


Entri yang sebelum ini....saya buat untuk luahkan perasaan hati saya. Sebenarnya saya tidak suka bercerita tentang sesuatu yang buruk yang berlaku dalam keluarga saya sebab tu anda mesti pelik sebab dalam satu entri mesti ada 2 cerita yang tidak berkaitan antara satu sama lain. Entahlah mengapa saya suka buat dua cerita kalau cerita utama adalah sesuatu yang tidak mengembirakan.

Beberapa bulan yang lepas saya belajar berkenaan dengan personaliti manusia. Seronok sangat.....sebab dengan pengetahuan tu saya boleh lihat setiap personliti ahli keluarga dan rakan-rakan. Saya nak kongsi dengan anda serba sedikit berkenaan dengan info berkenaan dengan personaliti manusia. Ada 4 persenoliti utama dalam setiap manusia iaitu:-
Personaliti pertama : Sanguine

simbol bagi personaliti ini adalah burung merak




Kekuatan utama personaliti Sanguine adalah :-
  • Peramah dan pandai bercerita- Mereka nie boleh bercakap non-stop(talkatif)
  • Nadi majlis keramaian. Orang berpersonaliti Sanguine nie adalah nadi majlis keramaian, tanpa mereka majlis akan jadi muram. Mereka adalah orang yang pandai memeriah dan meriuhkan suasana, menghidupkan suasana dengan gelak ketawa.
  • Pandai berjenaka-Jika anda berkawan dengan orang sanguine....anda akan terpengaruh dengan sikap happy go lucky mereka dan anda akan sentiasa ketawa
  • Penuh emosi dan menunjukkan emosi tersebut tanpa berselindung.
  • Bersifat keanak-anakkan.


Inilah kekuatan Sanguine. Jika anda ingin tahu siapa yang berpersonaliti sanguine yang terkenal salah seorangnya adalah Chef Wan. Adakah anda juga berpersonaliti Sanguine, cuba tanya diri anda berapa lama masa yang anda ambil untuk mesra dengan orang jika anda berada ditempat yang kali pertama anda masuk. Anda tidak kenal sesiapa. Orang sanguine hanya ambil masa beberapa minit sahaja untuk bermesra dengan orang dan dia boleh bercerita dan bersembang dengan mereka seolah-olah mereka dah kenal lama. Kebanyakan cerita adalah berkenaan diri sendiri wp orang tak tanya.

Jika anda ada anak dan nak tahu samaada anak anda berpersonaliti ini. Mereka nie suka menyekat dan mengusik adik2 yang lain, bila anda marah....dia buat tak tahu je seolah-olah anda bukan marah dia, lepas tu dia boleh gelak kat anda. Anda susah nak marah anak yang berpesonaliti Sanguine sebab mereka akan jadikan masalah sebagai joke. Mereka nie jenis yang tak boleh duduk diam....ada sahaja benda yang mereka nak usik.

Personaliti Kedua: Choleric


Simbol watak ini adalah burung helang

 Kekuatan personaliti ini adalah:-


  • Tidak rasa gentar dan suka kepada cabaran
  • Suka pada perubahan
  • Menegakkan kebenaran. Jika dalam pejabat cuba cari rakan anda yang jenis mulut laser yang berani lawan boss kalau perkara yang tak betul berlaku depan mata dia. Dia nie tak takut, dia tegur orang depan-depan.
  • Menyelesaikan masalah
  • Tegas-kalau hitam maka hitamlah dia takan tukar. Kalau dia nak sesuatu, dia akan usaha sampai dapat
kebanyakan orang yang bersifat begini adalah mempunyai perwatak pemimpin atau dalam bahasa mudah suka mengarah orang. Orang terkenal yang berpersonaliti Choleric adalah Dr Mahathir.

Jika anda nak kenal personaliti anak anda. Cuba tengok perangai mereka bila anda bawak pergi shopping. Anak yang berwatak choleric nie akan berguling-guling atas lantai dan menjerit-jerit jika kemahuan mereka tidak dipenuhi. Bila ibu/bapa beli barang tu....baru dia diam. Dia tak kisah berapa banyak anda cubit.....dia akan menjerit dan berguling sampai kemahuannya dipenuhi.

Personaliti ke tiga: Melancholy
Simbol personaliti ini adalah burung hantu



Ini adalah personaliti saya. Bila saya menjawap 40 soalan untuk tentukan saya jenis personaliti apa, kebanyakan jawapan saya lebih kepada kumpulan melancholy dan 75% daripada sifat-sifat melancholy betul-betul kena dengan perangai saya.

Kekuatan watak melancholy:-
  • Suka berfikir dan menganalisa.
  • Serius dan bermatlamat
  • meminati seni dan muzik
  • peka kepada kehendak orang lain
  • tertarik kepada keindahan
Kebiasaanya....orang yang berpersonaliti ini adalah pendiam dan mereka nie tidak suka bercakap. Jika mereka sampai disesuatu majlis, mereka akan berdiri dan memerhati sahaja seperti burung hantu, orang tak sedar pun mereka sampai....sedar-sedar dah ada kat sebelah anda. Mereka menganalisa keadaan sebab tu kerjaya yang mereka suka adalah membuat sesuatu pekerjaan yang tidak melibatkan orang ramai (mereka nie tidak pandai sosial). Kebanyakan penyiasat, detektif polis, akauntan, penganalisa ekonomi, pemuzik, ahli sastera dan pemikir adalah orang berpersonaliti ini. 

Jika anda ada anak yang berpersonaliti ini, anda boleh lihat mereka nie pendiam dan tidak banyak bercakap dan duduk diam disatu tempat...memerhati. Mereka bijak dan mudah menghafal. Mereka sangat kemas dan pembersih. Barangan mereka amat teratur. Musuh utama mereka adalah sanguine. Mereka tidak suka orang sanguine....sebab orang sanguine suka menyakat dan mengusik mereka dan selalu tidak ambil serius sesuatu perkara sedangkan orang melancholy adalah orang yang serius dalam sesuatu perkara.

Orang melancholy suka pada warna gelap dan tidak menonjol....mereka suka warna hitam, putih, kelabu, coklat atau warna-warna yang tidak begitu menonjol atau meriah.

Bila berkahwin selalunya pasangan mereka adalah orang sanguine......musuh mereka. Disebabkan mereka adalah adalah personaliti bertentangan maka mereka mudah tertarik antara satu sama lain. Sebab itulah kita selalu nampak pasangan suami isteri yang kontras, bini mulut riuh...suaminya pendiam.

Orang terkenal yang berpersonaliti ini adalah seperti A Samad Said. PM kita sekarang adalah berpersonaliti melancholy dan isterinya adalah orang berpersonaliti choleric.

Personaliti keempat adalah :pregmatik

Simbol bagi personaliti ini adalah burung merpati




Kekuatan bagi personaliti ini adalah:-
  • Bersikap tenang dan selamba
  • bertimbang rasa
  • boleh diharap
  • pendengar yang baik
  • penyabar
Orang yang berpersonaliti ini selalunya tidak suka bergaduh atau bertengkar. Mereka nie adalah orang yang tenang. Jika anda ingin tahu samaada suami anda jenis personaliti ini....jika anda tanya pendapat mereka "kita nak warna apa langsir tahun nie" dia akan jawap "ikut u lah". Semua jawapan dia adalah "ikut u lah". Ini lah phlegmatic. Mereka nie jenis orang yang "tak apa", 'terpulanglah'...."kalau semua setuju....saya pun setuju jugak, saya ikut aje . Mereka ambil masa yang lama nak buat keputusan sebab mereka nak tengok keputusan orang lain dulu.

Pasangan hidup orang phlegmatik selalunya adalah choleric. Jika phlegmatik adalah lelaki maka isterinya adalah queen control(choleric). Kawan baik mereka selalunya adalah sanguine. Apabila mereka berada bersama sanguine, mereka boleh jadi orang yang happy go lucky tetapi apabila mereka bersama dengan orang melancholy mereka akan ikut menjadi seperti melancholy.

Orang phlegmatik adalah kawan yang setia, pendengar yang baik dan penyabar. Jika anda ada suami berpersonaliti phlegmatik, anda akan selalu tertekan dengan sikap mereka yang terlalu baik dengan rakan-rakan mereka. Mereka nie sanggup tolong rakan mereka walaupun berhabis duit ringgit. Mereka cepat dipengaruhi oleh orang lain.

Jika ingin melihat personaliti ini dalam diri anak anda....cuba lihat reaksi mereka apabila mereka bergaduh dengan adik beradik mereka. Anak-anak ini selalunya akan mengalah dan mereka yang akan menangis dahulu.....mereka tidak lawan. Kalau jari mereka digigit oleh adik kecil (bayi yang baru tumbuh gigi)....mereka akan biarkan sahaja jari mereka dalam mulut adik tersebut walaupun sakit sebab mereka takan tarik atau pukul adik kecil mereka. Mereka sabar dan mereka cuma menangis sahaja.

Anak saudara saya Aisyah(3tahun) berpersonaliti ini. Bila dia nak minum susu, adik dia Mira(2tahun) akan datang dan rampas botol susu tersebut daripada mulut aisyah.....aisyah tak lawan atau pukul Mira sebaliknya dia akan cakap kat Mira "nanti bagi kat angah balik ye....mira jangan hisap habis....mira bagi kat angah sikit". Dia sabar dan mengalah.

Orang terkenal yang berpersonaliti ini adalah mantan menteri kita dahulu selepas Dr Mahathir. Dia adalah seorang yang berpersonaliti phlegmatic.

Selepas belajar berkenaan personaliti diri saya jadi seronok terutama bila tengok kelakuan anak-anak saudara. Baru-baru nie adik perempuan ke tiga saya datang kerumah. Dia ada anak 4 orang. Dulu semasa remaja dia adalah seorang yang pendiam dan baik sangat. Dia adalah orang phlegmatic dan berkahwin pulak dengan orang melancholy. Mereka berdua dalam katergori orang-orang yang baik hati dan bercakap lemah lembut.

Masa saya tengah duduk2 kat sofa sambil tengok TV, anak saudara saya Nabila dan Aisyah tengah main game angry birds dengan mengunakan handphone dan laptop saya. Imran (4 bulan) sedang baring kat carpet berhampiran saya dan Mira (2 tahun) baring-baring sebelah Imran sambil agah-agah loceng ke arah Imran. Tiba-tiba adik saya datang keruang tamu sambil berleter. Bengit telinga saya dengar dia membebel. Saya pandang muka anak-anak dia. Nabila dan Aisyah buat tak tahu sambil khusyuk main game. Saya tengok Mira....mira buat tak tahu saja sambil dok agah-agah Imran. Adik saya marah siapa???. letih dengar dia membebel.....saya pun tanya "engkau nie marah anak yang mana". Dia terus jawap "mira tuuuuuuu....tadi dia bla...bla....bla". Lahhhhhh.....dia marah mira ke. Adik saya sambung "mira nie perangai dia pelik sikitlah daripada kakak-kakak dia.....ada sahaja benda yang dia nak buat orang marah". Ohhhhhh rupanya Mira dah buat salah sebab tu dia datang dan baring sebelah Imran....dan bila Umi dia marah.....dia buat tak tahu saja seolah-olah bukan dia yang kena marah. Mira adalah anak yang berpersonaliti Sanguine. Dalam ramai-ramai anak adik saya Mira memang happy go lucky.....Mira cute dan suka bergaya.....bila dia datang rumah saya, dia suka berdiri lama depan cermin besar dan kemudian pusing-pusing badan dia depan cermin. Mulut dia macam berteh jagung walaupun kita tak faham apa dia cakap.

Bila kita sudah tahu personaliti anak-anak, selalunya mudah bagi ibu bapa untuk menguruskan mereka. jangan sesekali membandingkan anak-anak. Contohnya Mira seorang yang suka menyakat dan membuat kecoh.....dia 'nakal', tetapi jangan bandingkan dia dengan Aisyah walaupun usia mereka hanya berbeza setahun. Aisyah adalah anak phlegmatic. Dia anak yang sangat baik.....dia jarang buat perangai dan dengar cakap. Setiap anak mempunyai personaliti masing-masing so uruskan mereka ikut personaliti mereka.....jangan samakan mereka.....mereka berbeza personaliti, masing-masing ada kekuatan tersendiri.

Ok......kita dah tengok kekuatan personaliti.....nanti saya akan terangkan pula berkenaan dengan kelemahan personaliti ini. Jika anda berminat nak tahu berkenaan personaliti ini....just google dan taip setiap personaliti diatas.....detail berkenaan dengan personaliti tersebut akan keluar. Just untuk tambahkan ilmu pengetahuan. Tak salah belajar.

Pagi nie saya tak buat kerja sebab tengah marah. Awal-awal pagi lagi orang dari jabatan xyz telah buat saya marah. Dia telefon tanpa kenalkan diri cuma bagitahu bahawa dia dari jabatan xyz dan nak tanya saya pasal kes ABC. Saya cuba nak terangkan berkenaan kes tu tapi dia dengan nada yang kasar dan angkuh (sebab jabatan XYZ sangka mereka hebat daripada kami) berkata "saya tak nak tahu.....yang saya nak tahu bagaimana awak nak settle kes nie". Saya nie pantang betul kalau orang tunjuk kurang ajar terus jerit dalam telefon" awak nak saya buat apa....dah sampai situ sahaja kuasa saya....AWAK NAK SAYA BUAT APA LAGIIIIIIII". Wahhhhhh pagi-pagi satu flooor dengar saya jerit kat telefon. Haaaaa buat hal dengan saya. Lepas dengar saya jerit, nada suara dia terus slow dan terus letak telefon.....saya terus menjerit dan keluar bilik.....pergi bilik senior dan tanya "perempuan india kat jabatan XYZ tu pangkat apa ye". Pegawai saya kata " dia tu pangkat ..........". That mean.....that lady adalah big boss kat jabatan XYZ dan saya baru sahaja tengking dia. Oppppsssss.....lawak bodoh apa pulak saya buat pagi-pagi nie. Ok sekarang nie saya tengah tunggu my boss datang marah saya.....so rakan-rakan enjoy my entry.










Thursday, June 7, 2012

Celoteh pagi khamis

Akhirnya saya berjaya ambil gambar bunga orkid jenis phalaenopsis yang diperbuat daripada clay mengunakan kamera. Tiga minggu yang lepas adalah minggu-minggu yang paling sibuk dalam hidup saya.

Penat disebabkan kena masuk kuliah dan study untuk jawap kuiz dan tugasan pada setiap minggu untuk paper Law 2 dan penat sebab terpaksa berulang alik dari asrama tempat belajar ke HUKM pada setiap hari. Pada hari saya bersiap untuk ke asrama....tiba-tiba adik perempuan saya call. Dia kata nak singgah kat rumah sebab hari isnin dia ada appointment dengan doktor kat Hukm. Dia sampai rumah saya petang ahad....mulanya saya banyak bertanya....kenapa datang KL, kenapa datang sorang...engkau drive sorang2 dari Dungun.....kenapa nak jumpa doktor.....bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut saya tapi adik saya diam membisu. Dia tak menjawap dan hanya merenung dinding sahaja. Saya batalkan program untuk daftar asrama petang tu dan akan bertolak seawal pagi keesokkan harinya.

Hari selasa, ketika sedang dalam bilik kuliah....hati tak senang memikirkan keadaan adik. Adik saya call kata dia kena tahan kat wad 7 HUKM. My fren bila dengar adik saya kena tahan kat wad tingkat 7 berkata "ehhh....wad tu untuk kes pesakit kanser". Hati saya lagi berdebar-debar...akhirnya saya minta kebenaran pengajar untuk keluar kelas dan terus drive pergi ke HUKM. Sesampai di wad tingkat 7, saya lihat adik saya tengah baca al-quran diatas katilnya.....saya tak ganggu dan terus pergi duduk atas sofa yang disediakan dalam bilik tersebut.

Bila selesai menghabiskan surah yang dibaca, adik saya tengok saya dengan wajah yang sedih....dia kata doktor tahan kat wad sebab barah payudaranya sudah dalam keadaan yang teruk. Saya minta tengok.....dia tunjukkan saya bahagian barah tersebut dan keadaan membengkak yang teruk menyebabkan saya terduduk. Saya tak sangka adik saya sudah berada dalam tahap yang teruk. Dia tidak tunjukkan tanda-tanda sakit selama nie....dia cergas dan masih sibuk menguruskan tadikanya....tiba-tiba dia datang ke KL seorang diri dengan keadaan yang lemah.....badannya kurus kering.....tinggal rangka dan bahagian payudaranya membengkak teruk.

Adik saya yang kedua nie adalah seorang yang berperibadi choleric.....seorang yang tegas, keras hati dan bersifat pemimpin. Dia adalah seorang tahfiz al-quran, menolak tawaran masuk UM kerana berkahwin awal. Selepas berkahwin dia menguruskan maahad tahfiz bersama suaminya. Keperibadian dirinya telah menyebabkan dia lebih menonjol berbanding suaminya seorang ustaz dan penceramah bebas yang berperibadi Phlegmatic. Adik saya nie sangat bijak.....dia mempunyai sifat pemimpin berbanding suaminya....tahfiz meningkat maju ketika berada dibawah pegangannya. Suaminya mula terasa tergugat dan ego lelakinya mula setinggi langit....mereka sering bertelagah. Bagi menyelamatkan rumahtangga mereka....adik saya mengalah dan tinggalkan maahd tahfiz dibawah pengurusan suaminya dan dia mula tubuhkan tadikanya sendiri di Dungun. Dalam tempoh lima tahun sahaja tadikanya berkembang dan pendapatan tadika inilah, suaminya mula guna untuk tampung kewangan maahad tahfiz yang mula berkurangan pelajar.

Hubungan mereka suami isteri memang sering bermasalah tetapi bagi kami sekeluarga....kami anggap ia adalah perkara biasa. Adik saya bukanlah seorang yang suka bercerita masalah rumahtangga kepada orang lain....saya sendiri tidak tahu keadaan adik saya sehinggalah ia menjadi teruk seperti ini. Adik saya seorang yang sangat cantik diwaktu remajanya.....berbadan gempal tetapi sekarang ia kelihatan tua, kurus kering dan berwajah cengkung. Dia menderita.

Terukkah keadaan adik saya?. Seminggu sebelum datang KL adik saya telah pergi berjumpa dengan perempuan yang akan berkahwin dengan suaminya dan perempuan tersebut beritahu bahawa "Ustaz berjanji akan serahkan Maahad tahfiz pada dia" selepas mereka berkahwin. Adik menanggung sakit seorang diri....drive kereta dari Dungun ke KL seorang diri....tinggalkan 5 orang anak dirumah dengan berharapkan anak sulungnya yang baru darjah 6 menjaga adik-adik yang kecil. Sepanjang 2 minggu dia berada di HUKM, suaminya tidak angkat telefon dan ketika adik sms bagitahu bahawa dia kanser tahap 3 dan perlukan suaminya disisi....suaminya boleh sms dengan menyatakan bahawa bila dia dah mati baru suaminya pergi tengok. Doktor pakar yang merawat sanggup telefon suaminya supaya datang ke hospital tetapi suaminya letak telefon sebelum doktor habis bercakap. Di hospital barulah dia mendedahkan bahawa selama ini dia hanya tunjukkan bahawa dia gembira dihadapan kami tetapi sebenarnya rumahtangga dia berentakan teruk lebih 2 tahun yang lepas. Setiap kali mereka bergaduh besar, adik saya yang akan sujud pegang kaki suaminya dan merayu supaya dirinya tidak diceraikan....dia tidak kisah suaminya tidak balik rumah sampai berbulan-bulan....asalkan suaminya jangan ceraikan dia. Inilah kelemahan adik saya....dia sering menyalahkan dirinya....dia sering kata dia yang jahat....dia sering kata dia yang bersalah.

Saya seorang kakak yang tidak pernah membuat keputusan untuk adik2 saya daripada dulu. Bila saya dengar masalah adik dan saya teman dia sepanjang tempoh 2 minggu dia di HUKM dan menangis bersamanya bila dia terluka dengan sms suaminya.....tidak terkeluar dari mulut saya perkataan "baik engkau bercerai".....saya cuma berkata "Yong takan maafkan X sebab buat adik yong macam nie". Saya cuma beri nasihat dan sokongan moral.....keputusan berat ini saya lepaskan dalam tangannya walaupun dalam hati saya menjerit-jerit supaya dia lepaskan lelaki yang menyiksa dirinya jika dia ingin terus hidup. Kanser hanya berjaya diubati jika pesakitnya berjaya mengawal stress....dalam keadaan adik saya!!!!!!!!!!entahlah susah nak cakap.

Malang bukan nasib wanita.....lelaki yang adik saya kahwini adalah tergolong dalam lelaki baik dan jadi pilihan pertama para ibu bila mencari calun suami untuk anak mereka. Seorang ustaz dan pendakwah bebas yang terkenal.....mempunyai ratusan pelajar dari seluruh negara. Siapa sangka dia akan melakukan perbuatan keji begini. Mujur adik saya terima nasihat kami....bila kami suruh adik beli rumah atas nama sendiri dan letakkan tadika atas nama sendiri.....jika tidak adik saya akan dihalau sehelai sepinggang. Oleh sebab itulah para isteri......sayangilah diri anda dahulu 100% dan pastikan diri anda mempunyai harta/simpanan sendiri. Mungkin hari ini suami anda adalah 'malaikat' dan belum tentu esok atau lusa dia tetap 'malaikat'.

Selepas adik saya keluar HUKM dan saya selesai menghabiskan kelas undang-undang....barulah saya mempunyai masa untuk menghabiskan projek bunga orkid nie. Sebenarnya bunga orkid nie dah lama saya siapkan 3 tangkai tetapi tidak mempunyai masa untuk mengubah. Kali nie saya nak tunjukkan kepada anda gambar yang diambil elok-elok dengan mengunakan kamera.







Sebenarnya kos saya habiskan untuk sepasu bunga ini adalah lebih kurang RM150. Kos nie hanya untuk material sahaja sebab harga clay agak mahal iaitu RM30 seketul. Untuk bunga...dia guna 1 1/2 ketul clay dan untuk daun guna 2 ketul clay. Kos lain adalah warna, gam dan pasu bunga. Kos yang paling besar  sehingga mencecah RM300 adalah alatan, acuan dan flower cutter. Tetapi alatan ini boleh digunakan untuk buat orkid phalaenopsis jenis lain...contohnya seperti kat bawah nie. Projek saya seterusnya untuk dihadiahkan kepada emak saya.