Wednesday, November 30, 2011

Benarkah....barang di kedai bebas cukai airport lebih murah

Dalam minggu sebelum saya ke Kuching....saya dah kehabisan minyak wangi. Saya tidak akan keluar rumah jika tak sembur minyak wangi so memang bila dah habis tu terasa tak sedap hati. Masa tengok minyak wangi tinggal sikit....berharap sangat ia dapat tahan sehingga time krismas sebab masa nie minyak wangi ada 'sale'.

Ramai yang kata minyak wangi kat kedai bebas cukai airport murah....kedai yang kita lalu bila turun kapal terbang sebelum ke kaunter check out....bukan kedai yang berada di luar tu. Betul ke dakwaan mereka tu???????

Lepas sahaja tiba kat airport Klia, saya singgah ke kedai minyak wangi dan dah tentu saya hanya tuju kepada minyak wangi yang saya selalu guna iaitu J'adore, CD. Sebotol J'adore 100ml diatas tu berharga RM410, travelling botol RM100, dan body lotion RM189.

Bila masuk kerja seorang staff kat pejabat kata dia ada beli minyak wangi kat airport dan kemudian bila dia pergi ke Metrojaya....minyak wangi jenama yang dibeli tu harganya lebih murah kat metrojaya. Saya dah mula rasa tak sedap hati.

Semalam lepas sahaja selesai urusan kat pejabat Pos, saya terus ke kaunter CD di Metrojaya. Tanya harga J'adore 100ml, jurujual tu kata sebotol tu berharga RM415 dan jika saya beli sebotol 100ml tu dia akan bagi beberapa mini gift. Mujur beza harga RM5 sahaja tapi itu harga sebelum 'sale'.....yang pasti harga tersebut akan lebih rendah lagi jika 'sale' masa krismas nanti. saya suka beli minyak wangi kat kaunter sebab saya akan mintak banyak free gift....kadang-kadang saya akan dapat botol mini 15ml minyak wangi, 15ml lotion badan, 15ml body shampoo.....terasa rugi beli kat kedai bebas cukai tu.

Jadi tidak benarlah dakwaan bahawa harga minyak wangi kat kedai bebas cukai airport lebih murah. Kalau harga tak banyak beza....apa gunanya perkataan 'bebas cukai tu'. (Note....kenyataan saya nie berdasarkan survey untuk J'adore sahaja....so jangan serang saya pulak kalau anda tak bersetuju).

Untuk makluman anda peminat minyak wangi......1hb-2hb Disember iaitu esok dan lusa akan ada warehouse sale branded fragrances & Cosmetics. Saya tak pergi kot kali nie sebab dah habis beratus-ratus beli J'adore set tu.


Kaunter Serba Boleh.....Pos Malaysia

Minggu-minggu terakhir nie memang saya agak sibuk.....sibuk menyiapkan semua kerja-kerja sebelum bercuti panjang pada 7hb Dis sehingga 16hb untuk persediaan menghadapi exam pada 19hb nie.

Petang semalam, lebih kurang jam 3.45 petang.....tergerak hati untuk tarik laci yang mengandungi dokumen peribadi penting. Bukak diary....tengok ada sampul surat yang tidak dibuka lagi. Bila bukak surat tu....terkejut beruk bila tengok itu notis renew insuran kereta dan road tax. Rupanya insuran dan road tax saya dah mati beberapa hari lepas. Bila dah tahu....terus takut nak bawak kereta takut kena tahan.

Mulalah kalut call agen insuran yang selalu saya uruskan hal-hal tersebut. Dia pulak outstation....call maybank, banyaklah pulak prosedur nak kena buat....geran asal ada kat tangan saya.....ambik masa jugak nak selesai. Mengadu kat seorang pegawai senior....dia kata pergi aje kat pejabat Pos.....u boleh uruskan hal tu semua dalam masa sejam sahaja.

Saya pelik.....pejabat Pos boleh renew insuran kereta ke???.....itukan kaunter 'serba boleh' kata pegawai senior tersebut. Saya dah bertahun tak jejak kaki ke pejabat pos bila semua urusan bil boleh dibayar secara online so perkembangan terbaru pejabat pos memang saya tak pernah nak ambik tahu.

Ambik kunci kereta dan terus drive ke pejabat pos di IPC, Mutiara Damasara. Jam dah 4.15 petang, saya dapat nombor 2086....no tertera kat skrin ketika itu 2066....maknanya ada 20 orang didepan saya. Tiba turn saya....kaunter 3 tak boleh uruskan sebab satu komputer sahaja yang boleh digunakan untuk insuran....so kena tunggu turn kat kaunter 2. Sejam berlalu......tiba turn saya. memang boleh beli insuran kereta tapi bukan insuran Tokio Marine Insurans....insuran Kurnia, Etika dan ada beberapa lagi. Saya pilih Kurnia Insuran.....hanya bawak cover note insuran lama dan original geran kereta maka urusan insuran dan road tax dapat dilakukan.....ohhhhhh termasuk duit sekalilah ye.

Dalam jam 5.45 petang, urusan saya selesai. Kaunter serba boleh......pejabat Pos Malaysia.....lebih baguslagi kalau komputer yang digunakan itu ditukar kepada komputer baru supaya urusan dilakukan dalam masa yang sekejap bukan 1 jam. Komputer yang digunakan tu....komputer zaman dinasor.....masa tu saya terasa diri bertuah kerana selama 5 tahun bekerja di pejabat saya sekarang.....komputer dimeja saya ditukar setiap 3 tahun sekali. Apa-apapun syabas pejabat Pos Malaysia......kaunter serba boleh (pinjam kata-kata pegawai senior saya).

Sunday, November 27, 2011

cucur kembong


Cucur kembong

photo n recipe by resepidaria.blogspot.com

Bahan-bahannya

  • 80gm gula (kali nie sy kurangkan kpd 60gm)
  • 500gm tepung gandum
  • 1 biji telur
  • 40gm marjerin/butter-lembutkan
  • 1/2 tsp ibu roti/yis segera(mauripan)
  • 1/2 tsp soda bicarbonat
  • sedikit garam
  • 380ml air
Cara-caranya

  1. Masukkan tepung kedalam bekas yang bertudung. Buat lubang ditengah-temgah tepung, masukkan telur, gula dan ibu roti. Gaul rata.
  2. Masukkan sedikit garam kedalam air dan kacau rata.
  3. Masukkan majerin kedalam bekas tepung dan kemudian masukkan air sedikit demi sedikit sehingga ia menjadi seperti bancuhan jemput-jemput.
  4. Tutup bekas dengan tudung penutup dan biarkan sehingga ia naik 2 kali ganda (lebih kurang 1-2 jam)
  5. Setelah diperap, masukkan soda bicarbonat dan kemudian kacau rata. Biarkan selama 10-15 minit sebelum digoreng
  6. Panaskan minyak penuh, goreng sehingga kekuningan. bentuk kuih terpulang kepada anda.
  7. sangat sesuai dimakan bersama kopi @ teh panas atau kari.
Nota:-
  • Ini kali ke 3 saya buat cucur kembong mengunakan resepi yang sama.
  • Dalam memasak diharapkan anda jangan terlalu sekema dengan resepi. Anda boleh tambah atau kurang kuantiti sukatan bahan dalam resepi diatas, ikut citarasa anda. Saya tidak marah dan tidak perlu meminta maaf. Saya paling suka manusia kreatif.....so jangan minta maaf jika anda kreatif.
  • Ada yang pernah cuba resepi cucur kembong nie dan kata tidak kembong. pelik jugak kenapa tidak kembong sebab bancuhan guna ibu roti....dah tentu ia akan kembong sbb guna ibu roti kan melainkan ibu roti tu dah tak elok. Saya tak boleh beritahu dengan tepat masalah anda sebab saya tak nampak bagaimana anda buat...saya cuma boleh andaikan ibu roti tidak akan aktif dengan baik jika tercampur dengan garam. Jika majerin yang masih panas dituang kedalam bancuhan....ia juga akan menyebabkan yis mati.
  • Atas sebab diatas maka saya ubah sedikit cara-cara membuat berbanding dengan entri sebelum ini. Saya bancuhkan garam bersama air terlebih dahulu bagi memastikan garam tidak dimasukkan atas yis/ibu roti. majerin/butter dicairkan saya ubah kepada sekadar dilembutkan sahaja. Tapi anda boleh cairkan majerin/butter dan kemudian biarkan ia sejuk sebelum dituang kedalam bancuhan.
  • Diharapkan kali ini anda berjaya buat cucur kembong dengan elok.

Friday, November 25, 2011

Copycat

 Setiap pagi, masuk sahaja dalam kereta satu terus pasang radio Redfm....sampai sahaja kat bilik saya di pejabat....saya on kan radio dan seperti biasa masih jugak Redfm. Setiap pagi dj akan membincangkan satu dilema yang dipilih dari aduan pendengar. Pagi nie dilema yang diudarakan adalah berkenaan 'copycat'. Anda tahu apa itu copycat.....mereka adalah peniru

Pendengar ini bernama Fatin....dia akan berkahwin pada awal tahun hadapan. Dalam masa yang sama sepupunya juga akan berkahwin tetapi sebulan lebih awal dari fatin. Sepupu dia bertanya berkenaan dengan persiapan perkahwinan Fatin dan fatin telah mencerita segala-gala dan sedetail-detailnya setiap persiapan yang dia telah buat tanpa menduga bahawa sepupunya akan 'copycat' semua idea tersebut termasuk baju kahwin pun sama. Sekarang Fatin dalam dilema....adakah dia perlu tunda majlis perkahwinan dia dan membuat persiapan semula atau teruskan wedding tersebut dan terima kritikan bahawa dia meniru majlis perkahwinan sepupunya.

Berbagai pendapat dan nasihat pendengar dikemukakan....saya suka nasihat-nasihat yang dikemukakan sebab ia tidak 'childish atau stupid'. Jika seorang kawan beritahu anda masalah yang sama seperti Fatin....jangan sesekali berkata "itulah u....sapa suruh u bagitau". Heiiiiii....benda tu dah berlalulah....benda yang berlaku tak boleh patah balik dan jangan kata "kalau sayalah....bla bla bla".....heiiii sapa nak dengar cerita u. Jangan guna perkataan 'kalau sayalah atau itulah u' terlalu kerap.....its annoying (menjengkelkan). Benda yang berlaku tidak boleh patah balik so jangan susahkan hati dia lagi....jika hendak bantu....tunjukkan cara untuk 'melangkah' kedepan bukan pandang kebelakang.

Fatin adalah seorang yang boleh berfikir 'outside the box' dan boleh 'come up with unique ideas' so walaupun masa sudah suntuk dan persiapan telah dibuat....tapi fatin boleh ubah disaat-saat akhir dan jadikan majlis perkahwinannya lebih unik. Fikirkan sesuatu yang lebih unik....fatin pasti boleh buat sebab dia adalah manusia yang ' think outside the box' dia bukan copycat.

Isu copycat bukan asing bagi blogger......setiap masa akan ada berpuluh-puluh orang yang keluar masuk blog untuk mencuri idea....meniru idea. Apa yang kita boleh buat??????.....nothing sebenarnya.


Ini adalah pengalaman saya berkaitan dengan ciplak iaitu adik beradik tiri copycat. Ingat lagi isu ciplak http://tipsone.com yang telah mencuri 36 entry saya dan masukkan dalam blog beliau. Bila masuk dalam blog tersebut ia seolah-olah blog resepidaria ada dua. Inilah ciplak ....whyyyyy sebab ia cuma salin bulat-bulat entri saya dan publishkan. 


Selepas saya 'mengamuk' kat blog tipsone....walaupun si maling nie masih belum tutup blog dia tapi si maling ini telah berhenti mencuri dan letakkan "read the original post' kat setiap entri yang dia ciplak. Oklah saya dah tak marah lagi.

Habis tu apa dia copycat?.......manusia copycat akan datang kat blog anda dan kemudian dia akan publish entri dengan idea yang anda timbulkan. Dia publishkan idea anda itu dan kata " dah 3 tahun saya guna cara nie....." dia akan buat seperti itulah idea dia....dia ambil kredit atas idea orang lain. Inilah manusia copycat. Manusia copycat nie lebih teruk dari penciplak diatas tu. Tapi ciplak dan copycat tiada bezanya sebab ia adalah "copy dan paste" jugak.

So apa yang boleh kita buat........nothinggggg.....tak perlu buat apa-apa sebab.....

It is human nature and if your idea was a good one....it will be copied

Thursday, November 24, 2011

Entri merapu


Tiba-tiba je ada image CSI dengan NCIS nie....mesti confuse kejap...apa kaitan dengan blog masak-masak nie?. tak ada apa-apa sebenarnya....saja nak merapu pagi-pagi nie sebab tengah buntu....rasa macam nak hentak-hentak je kepala kat meja kerja nie.

Saya nie peminat cerita-cerita siasatan macam kat atas tu......dari remaja lagi memang sentiasa ikuti setiap siri CSI, NCIS, Criminal Mind dll...... tak pernah tertinggal(bila dah tua nie je kurang sikit). Masa tu selalu terfikir..... kenapa senang sangat mereka selesaikan kes. hebatnya mereka berfikir. Senang sungguh tertipu sedangkan semua tu hanyalah jigsaw puzzle.....mereka dah ada gambar lengkap.....hanya susun sahaja.

Dalam realiti....adakah kerja siasatan semudah itu.....TIDAK.....jika ianya mudah....tak adalah saya rasa nak hentak-hentak je kepala kat meja pagi nie.

Tuesday, November 22, 2011

Seminggu di Kuching

Lebih seminggu saya tidak menjenguk blog. Maaf jika komen-komen anda lambat publish dan saya jawap. Pada ahad lepas saya dan rakan sekerja ke Kuching untuk kursus seminggu. Saya rasa tahun nie terlalu banyak berkursus.....masa saya berada di bilik pejabat amatlah kurang. Kalau kursus yang boleh kita enjoy....oklah jugak...ini semua kursus yang membebankan otak.

Bila pergi untuk tugasan rasmi maka bolehlah menaiki MAS.....tiket syarikat bayar.

Bilik penginapan saya semasa berkursus. Bukan hotel tapi asrama penginapan. Asrama baru....cantik dan bertaraf hotel. Beria-ia bawak baju untuk seminggu....5 pasang pakaian kerja, pakaian untuk makan malam, baju tidur dan segala macam lagi...last-last tengok kat asrama ada siap disediakan mesin pencuci baju dan mesin pengering. Basuh baju pastu masuk dalam mesin pengering.....2 jam dah boleh pakai baju tu semula. Buat berat beg je bawak banyak2.

Sebenarnya ini kali ke 3 saya ke Kuching, kali pertama atas urusan rasmi.....datang bertugas bersama dengan 3 orang pegawai lelaki so hanya sempat sewa teksi untuk ke rumah budaya dan sekitar pasar satok serta waterfront....itupun hanya untuk tempoh setengah hari sebab tiket flight petang. Kali kedua saya datang melancung bawak emak dan adik-adik saya. saya belanja mereka untuk makan angin....kali ini saya siap sewa kereta bersama pemandu pelancung.....masa tu sehari dalam RM210....saya bayar lebih RM500 untuk 2 hari setengah. Memang habis semua tempat yang patut dilawati saya dah lawat. Ini kali ke 3, so dah tak excited sangat nak berjalan-jalan. lepas habis kelas.....balik duduk dalam bilik...layan movie2 yang dah didownload. Oh ye line internet tak ada sepanjang tempoh saya kat sini. Saya guna Unifi kat umah dan terminate Celcom.....so bila outstation.....mati kutulah tak ada internet line.

Cuma pada petang jumaat barulah saya ikut kawan pergi ke batu 4 untuk ke kilang pasu. Kawan saya dapat pinjam kereta Avanza, so dia drive sendiri dengan bantuan papa go. Oh ye kat bandar kuching.....tak banyak singboard walaupun dipersimpangan jalan besar....memang memerlukan GPS atau papa  go. Kami menuju ke arah airport dari bandar Kuching kemudian masuk ke kiri menghala ke Serian. Selepas perkuburan cina....kita akan bertemu dengan deretan kedai/kilang-kilang menjual pasu. Kawan saya berhenti di kedai yang ke dua kami jumpa (kedai pasu Wong)....kedai pertama nampak grand sangat sebab ia khas untuk pelancung. Bila masuk kedai....memang saya amat-amat terkejut tengok harga pasu sebab ia sangat murah berbanding dengan kedai pasu yang dibawa oleh pemandu pelancung saya dahulu (2 tahun yang lepas). Beza harga yang sangat besar.....kawan saya kata itu perkara biasa bila guna pemandu pelancung....dia akan bawak pelancung ke kedai yang akan bagi dia komisyen.

So nasihat saya kepada anda......sewa kereta sahajalah kalau hendak melawat kuching. Bawak GPS atau guna papa go....anda takan sesat....kalau sesatpun masih kat Malaysia....tak lepas ke Indonesiapun. Banyak yang anda dapat jimat....dan yang penting..... ia lebih adventure. Bila tengok harga pasu kat sini dan kemudian pergi ke waterfront.....bezanya separuh. Contohnya satu pasu sederhana besar berharga RM15 (belum diskaun) kat kedai di batu 4 tapi kat waterfront ia berharga RM32.....untuk jenis dan design yang sama sebijik. So kalau nak beli pasu.....jangan beli kat waterfront ye.

Semua rakan sekerja yang lain balik terus lepas kursus tapi saya dan 2 orang rakan lain balik pada hari sabtu sebab nak pergi ke pasar serikin. Keluar dari asrama jam 6.30 pagi dan sampai kat pasar serikin jam 7.20 pagi. Kedai-kedai baru nak beroperasi. kalau anda jenis yang minat dengan barangan Indonesia seperti kain batik, kain pelikat, kain sembahyang, beg-beg tiruan, baju-baju kulit, kain baju sulam, tikar dll....maka kat sinilah tempatnya. Kalau tak pergi lagi Bandung.....datang kat sinipun dah ok.

Saya nie jenis yang tak pandai langsung menawar.....sebab tu saya jarang nyatakan harga barang yang saya beli sebab mesti yang akan kata "ehhhhhh....saya boleh dapat murah daripada tu". Buat sakit hati sahaja. Biasanya saya akan set dalam otak apa yang hendak dibeli....contohnya beberapa helai kain pelikat untuk adik lelaki dan pak cik, kain batik untuk emak dan adik-adik perempuan dan adik ipar. saya tuju satu kedai....bila tengok berkenan....maka saya tawar lebih kurang pastu beli. Memang kalau berjalan dengan orang yang pakar....mereka akan marah kat saya. Saya tak suka ambik masa yang lama untuk beli sesuatu so jangan ajak saya pergi shopping.....tak seronok bershopping dengan saya.


Inilah sebahagian gambar-gambar yang saya ambik sebab dalam masa setengah jam saya dah habis shopping. Lepas tu barulah tengok barang-barang kat kedai lain.....cuci-cuci mata tengok beg-beg tiruan dan barang2 lain. Nasihat saya kalau nak beli tikar sarawak......beli sahaja di waterfront, kuching sebab saya tengok harga yang kawan saya beli kat sana lebih murah daripada kat sini walaupun dah habis tawar (ada orang tegurlah....nak buat macammana....saya cerita pengalaman saya bukan pengalaman dia...nak pakai nasihat nie, pakailah....tak de orang paksa pun...tak setuju, keluar ajelah dari blog nie...senang cerita). Lagipun dia tak packing elok untuk dibawak naik kapal terbang. Dekat waterfront....mereka dah pakar bab-bab packing untuk pelancung bawak balik atau untuk post/courier. Kalau rasa berat  barang anda akan overlimit maka anda gunalah courier untuk post balik semenanjung berbanding bayar excess bargase kat airport yang RM15 bagi setiap kilo lebihan. Kat pasar serikin....tidak ada kemudahan tu ye....dia masukkan tikar anda dalam plastik itam besar sahaja pastu pandai-pandailah fikir macammana nak packing bawak balik. Kalau harga terlalu murah berbaloi jugak tapi kalau kat waterfront lebih murah.....jangan buang masa beli tikar kat sini. My fren beli tikar bersaiz besar dengan harga RM280 (harga dia letak RM380) kat waterfront....kat pasar Serikin dia cari tikar yang sama jenis dan saiz supaya dapat bandingkan harga.....harga awal dia letak RM400 lebih......paling habis tawar dapat RM320. Itu pakar tawar menawar yang tawar harga.....kalau saya mesti tak dapat harga RM320 tu. Maaflah saya nie tak ingat jenis tikar dan saiz tikar tu.....tapi tikar yang kawan saya beli tu memang jenis yang mahal dan cantik. Saya tak minat semua tu....sebab tu saya tak ambik pot sangat nama tikar tu.

Kat pasar serikin nie jam 10 pagi dah panas....panas dia lain macam sikit....rasa menyengat kulit-kulit sebab ia pasar dikawasan lapang dan tak ada pokok-pokok besar. Kalau nak bershopping tapi ada anak kecil......fikirlah 10 kali kalau nak bawak anak tu kat sini.


Lepas habis sahaja shopping kat Pasar Serikin dalam jam 10 pagi, kami singgah kat pasar tani yang terletak tak jauh dari pasar serikin. penduduk tempatan datang berjual.....seronok tengok sayur-sayur segar yang dijual amat murah. Bunga kantan kat atas tu cuma RM1 seikat. Gambar atas sekali adalah ulat sagu.......penjual tu kata sedap kalau goreng kunyit. saya cuma beli beras bukit sekilo sahaja....niat hati kami masa singgah kat pasar nie adalah untuk beli sayur midin....sejenis sayur yang macam pucuk paku tapi bersaiz kecil dan pendek. Sayur yang takan jumpa kat semenanjung.....sayangnya sayur tu dah habis. kalau anda suka petai....kat sini harga petai murah 5 kali ganda. kalau kat tempat kita seikat RM5 tapi kat sini seikat hanya RM1. saya tak terfikir nak beli petai tu dan kemudian keluarkan biji petai dan simpan dalam bekas untuk bawak balik......bila dah sampai kat asrama baru rasa ralat sangat tak beli.

Kami sampai kat asrama dalam jam 12 tengahhari. Flight kami jam 5.45 petang. Oh ye kalau orang semenanjung pergi Kuching tak sah kalau tak beli ikan terubuk dan kek lapis kan. Untuk kali ke 3 nie saya dah tak pergi sendiri ke pasar satok tapi kami call dan tempah. Mereka akan hantar direct ke tempat penginapan kita. Saya order 6 ekor ikan terubuk tempatan yang berharga RM15 (kat pasar harga di letak RM20 tapi tawar dapat RM15 seekor....ini yang paling mahal) dan udang galah 2 kilo dan kertas 1 kilo. Peniaga tu hantar pada saya di asrama dalam keadaan packing yang amat kemas dan boleh dimasukkan dalam kargo. Udang tu dibekukan dahulu dan dipack kemas. Kek lapis pun macam tu jugak....saya suka kek lapis Dayang Salhah jadi bila kawan nak pergi sana saya hanya mintak kawan tolong belikan sahaja.

Atas permintaan pembaca, ini sedikit maklumat tambahan:

Ini adalah no contact peniaga yang ambil tempahan dan penghantaran termasuk melalui pos ke semenanjung. Dia jual Ikan terubok masin sarawak, udang galah, udang kertas, udang kara, ikan bawal putih, ikan kurau, udang salai, udang kering dan telur terubok.

Aswandy Ikan terubok Masin Sarawak
Pasar tamu Satok, Kuching

Hubungi:-

Aswandy Seruji 016-808 5710 atau 014-688 7105
Rudy Seruji  013-822 3440 atau 014-889 9104

Tentang harga.....pandai-pandailah anda menawar.

Friday, November 11, 2011

Moist Butter Cake



Ramai yang bercerita tentang raya haji mereka.....balik kampung...suasana korban...makan daging korban. Raya haji tahun nie saya senyap sahaja....sebab inilah kali pertama dalam hidup....saya beraya seorang diri. Cuti hanya tinggal sedikit tahun nie tambahan pulak cuti tersebut hendak disimpan untuk diambil dalam bulan December nanti sebab ada exam papar law. Ingat oklah beraya sorang....tapi bila dengar aje takbir raya...sedih sungguh. Daging korban tetap ada sebab family datang hantar.....masih dalam peti ais saya tak masak apa-apa lagi.

Moist butter cake nie saya buat untuk makan-makan sendiri dan untuk dihidangkan pada adik-adik saya yang datang rumah pada hari selasa lepas. Resepi kek nie sama dengan resepi Yogurt Moist Butter cake yang pernah saya postkan dahulu. Sila rujuk sini. Jika anda pernah cuba resepi yogurt moist butter cake dahulu dan tidak menjadi dengan elok.....maka saya tidak galakkan anda untuk mencuba resepi butter kek yang ini...begitu juga kepada yang pertama kali buat kek....jangan cuba sebab jika gagal anda marah saya. Resepi nie mengandungi cecair yang banyak sebab tu kebarangkalian kek anda tidak menjadi amat besar.....tetapi jika menjadi....trust me berbaloi sangat-sangat sebab rasanya lain. Saya paling suka butter cake.....bila makan....saya bukan nak dia gebu sampai berderai tetapi bila makan ada satu rasa butter yang sangat sedap....susah nak terangkan macam mana ye.

Moist Butter Cake
recipe and photo by

BAHAN-BAHANNYA:-


• 1 ketul buttercup atau apa-apa jenama butter lain


• 4 biji telur


• 2 1/2 cawan tepung kek jenama bluekey


• 1 cawan susu segar (biarkan ia pada suhu bilik sebelum guna)


• 1 1/2 cawan gula castor


• sedikit esen vanilla

 
CARA-CARANYA:-
  1. Keluarkan butter, susu segar dan telur dari peti ais dan biarkan pada suhu bilik selama 30 minit sebelum guna
  2. Ayak tepung kek sebanyak 3 kali dan ketepikan
  3. Sapukan sedikit butter disekeliling loyang dan taburkan sedikit tepung. ketepikan.
  4. Ambil mangkuk mixer dan masukkan butter dan telur. Putar dengan kelayuan sederhana sehingga ia kembang dan kelihatan putih
  5. Pecahkan semua telur dalam mangkuk. Masukkan telur sebijik dan kemudian putar sebentar sehingga sebati dan kemudian masukkan telur yang seterusnya. Buat sehingga habis.
  6. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil diselang seli dengan susu segar sehingga habis. Pastikan ia digaul sebati. Guna sudip kayu dan kacau secara kaup balik supaya udara terperangkap dalam bancuhan. Pastikan ia dikaup balik searah sahaja.
  7. Akhir sekali masukkan esen vanilla. Saya suka letakkan esen vanilla diakhir proses dalam setiap kek yang saya buat.
  8. Tuangkan bancuhan dalam loyang yang telah disiapkan tadi.
  9. Ambil sudu makan dan guna belakang sudu untuk tekan-tekan rata permukaan kek tersebut.
  10. Pastikan anda telah panaskan oven pada suhu 160-180c selama 10 minit terlebih dahulu sebelum anda masukkan kek.
  11. Masukkan kek dalam oven dan bakar selama 45 minit.
Nota:-
  • Anda harus ingat resepi ini mengandungi cecair yang banyak, oleh itu kebarangkalian kek anda tidak menjadi adalah tinggi. Jika anda kali pertama mencuba membakar kek...anda tidak digalakkan cuba resepi ini.
  • Walaupun saya buat kek mengunakan resepi nie dari remaja lagi tapi kadang-kadang saya juga menghadapi masalah ia terlalu berderai, bantat, terlalu moist (sebab saya panaskan susu sebab terlupa nak keluarkan awal), tidak naik(sebab tepung kek lama) dan sebagainya. Kenapa saya tetap guna resepi ini....sebab ia mempunyai rasa butter cake yang tersendiri.
  • Anda boleh gantikan susu segar dengan jus oren dan masukkan hirisan kulit oren untuk buat kek oren. Boleh guna pati sunquick 1/2 cawan dan 1/2 cawan susu.

Wednesday, November 9, 2011

Apabila saya bercerita

Walaupun blog ini adalah blog masakan tetapi kadang-kadang saya juga berceloteh. In person saya bukan seorang yang ramah. Saya pendiam....bagi yang kali pertama bertemu saya...saya dikatakan sombong. Jika masa berkursus, selalunya roomate semasa diasrama akan rungsing terutama bila dia tahu akan sebilik dengan saya tapi bila sudah duduk sebilik dan lama berkawan.....mereka akan jadi rakan baik saya. Kami akan berbual seperti tiada noktahnya. Saya menjadi seorang yang lain dari personaliti awal yang mereka lihat.

Diblog...saya pamirkan personaliti yang tersembunyi tersebut. Hanya orang yang rapat tahu saya suka bercerita dan bergurau. Diblog saya bercerita....kerana itu adalah diri saya sebenarnya...tapi jika anda jumpa saya in person.....belum tentu anda akan dengar saya bercakap banyak.

Rakan-rakan rapat tahu akan cara saya. Selalunya apabila mereka meminta nasihat daripada saya atau mengadu pada saya....saya tidak pernah beritahu mereka apa yang patut mereka buat secara direct. Saya akan mulakan dengan perkataan "nak dengar cerita tak". saya akan bercerita satu cerita yang berkaitan dengan masalah mereka dan bila habis cerita saya akan diam. Selalunya mereka akan faham akan maksud cerita yang saya sampaikan. Bila saya tulis cerita dalam blog....saya berharap orang akan faham sebagaimana rakan-rakan saya faham. Rupanya ada yang faham dan ada yang salah faham.

Semasa saya masih berada bersama dengan rakan-rakan kongsi disyarikat lama....saya memang rapat dengan mereka semua. Saya anggap mereka semua abang-abang saya. Mereka juga tidak anggap saya sebagai 'wanita' tetapi sebagai rakan kongsi dan kami selalu lepak kat kedai mamak. Pada satu pagi ahad, En R ajak saya lepak kat kedai mamak. Dikedai mamak dia order teh tarik dan mula merokok. Sambil merokok, dia mengeluh "kenapa perempuan suka membebel ye". Dia bukan jenis manusia yang suka bercerita tentang hal-hal rumahtangga atau masalah peribadi. Bila saya tengok dia mengelamun panjang dan perkataannya hanya setakat itu...saya kata "nak dengar cerita tak....". Saya bercerita tentang kisah saidina umar dengan seorang lelaki yang datang hendak mengadu tentang isterinya yang suka membebel. Habis sahaja cerita....saya diam dan En R juga diam. Setelah  lama mendiamkan diri, En R senyum dan kata 'terima kasih'.

Jika saya bercerita tentang kisah saidina umar berkaitan dengan isteri yang membebel. Apakah kefahaman anda tentang kisah ini

Saidina umar pun kena bebel jugak ke?
Kesian saidina umar kena bebel?

Anda hendak tahu apa sebenarnya hendak saya sampaikan kepada En R dengan bercerita kisah saidina umar tersebut?. Saya hendak memberitahu En R bahawa wanita bukan makhluk pelik yang sentiasa membebel tanpa sebab. Ada sebab mengapa dia asyik membebel. Dia penat berkerja di pejabat, balik rumah kena buat kerja sehingga lewat malam kemudian layan suami lagi dan bangun seawal pagi untuk selesaikan kerja rumah sebelum ke pejabat....dia penat. Jika membebel adalah satu cara dia hilangkan penat....biarkan sahajalah dan diam. Hargai dia dan fahami dia. Ini sebenarnya yang saya hendak sampaikan kepada En R. Saya tidak cakap direct sebab saya rasa tidak layak untuk beri nasihat tentang rumahtangga kepada seseorang yang lebih tua daripada saya.

Saya suka sampaikan sesuatu dengan bercerita. Ini sikap yang saya warisi dari emak saya. Emak saya perempuan yang tidak pernah membebel....dia seperti saya pendiam. Waktu kecil dahulu, apabila emak dan ayah bergaduh....saya dah tahu....mereka bukan jenis marah-marah, maki-maki, jerit-jerit tapi suasana rumah kami tiba-tiba macam kena langgar garuda.....sunyi sepi....walaupun emak dan ayah ada kat dalam rumah. Kalau keadaan macam tu saya dah tahu mereka bergaduh....lebih baik saya cepat jauhkan diri sebab susah jadi anak sulung nie....mereka akan gunakan kita sebagai orang tengah bila nak bercakap. Kalau mak marahkan saya....dia akan diamkan diri dan tidak layan saya....masa tu tuhan sahaja yang tahu susahnya hati saya bila mak tak bercakap....selalunya saya akan pergi kat dia sambil nangis-nangis "makkkk cakaplah mak". Inilah susahnya dapat mak yang jenis tidak membebel. walaupun dia tidak membebel....tangan dia aktif sungguh menghayun rotan kat belakang kami.

Masa kecil saya selalu cemburukan adik ke 2 saya sebab saya kata ayah lebih sayangkan dia daripada saya (biasalah budak2). Bila saya merajuk dan menangis-nangis, mak saya akan pujuk saya dengan bercerita tentang bagaimana keadaan ayah semasa saya sakit, macammana ayah cuba selamatkan nyawa saya. Mak lebih suka bercerita untuk beritahu bahawa ayah sangat sayangkan saya berbanding dengan cakap terus pada saya "ayah sayang kat hang, janganlah merajuk". Mana lebih berkesan anda rasa.....dia cakap terus atau dia bercerita untuk sampaikan maksud dia. Bila saya dengar dia bercerita....hati saya terus lega....cara dia berkesan.

Bila saya bercerita tentang kisah bercinta dengan lelaki muda, apa yang saya hendak sampaikan sebenarnya?. Maksud yang hendak saya sampaikan bahawa apabila anda terlibat dalam hubungan seperti ini, pengorbanan yang besar akan berlaku untuk menjayakan hubungan tersebut. Kedua-dua pihak perlu bertolak ansur dan memahami perbezaan masing-masing....jika hanya salah satu pihak sahaja yang cuba merapatkan jurang perbezaan maka hubungan tersebut tidak akan berjaya. Bukan perkara mudah wanita bercinta dengan lelaki muda....banyak pengorbanan perlu dilakukan terutama wanita jadi tidak perlu bangga anda dapat bercinta dengan lelaki muda. Jika anda tanya pendapat saya adakah seronok bercinta dengan lelaki muda....saya akan jawap "tidak......saya adalah kakak sulung kepada 6 orang adik dan saya tak mahu jadi 'kakak' lagi kepada seorang kekasih". letih tau tak.....letih bila lelaki yang berusia 23 tahun yang ketika itu masih belum stabil ekonominya....masih usung sijil cari kerja....masih bersikap 'childish' dan sentiasa mengeluh kerja susah....sentiasa bertukar kerja....tidak pernah kerja lebih daripada 3 bulan...sedangkan anda sudah 29tahun....berapa lama anda perlu tunggu supaya dia matang berfikir. Saya tidak berbangga jadi jangan salah faham dengan cerita saya. 

Bila saya bercerita tentang kisah saya itu....anda salah faham akan maksud saya. Anda bersimpati dengan saya. Heiiiiiii....saya tidak perlu simpati andalah. Saya tidak bercerita untuk mendapatkan simpati atau bercerita nak tunjuk kisah cinta saya yang tragis.....perkara itu dah lama berlaku....kalau saya bukan seorang yang tabah atau sabar....saya tidak berada di tempat saya sekarang ini. Saya gembira Allah duga saya dengan macam-macam dugaan sebab ia umpama duri yang mencucuk jari saya semasa saya leka dari mengingati Allah. Hidup nie kalau tiada dugaan atau kesusahan.....tak seronok nak hidup.

Saturday, November 5, 2011

Cornflake Praline Cluster



Saya buat kudapan mudah ini sebagai buah tangan untuk anak-anak saudara dikampung. Biskut yang paling disukai oleh budak-budak. 

Oleh kerana biskut nie sering saya buat setiap kali raya maka tak perlulah saya taip resepi sekali lagi. Sila ke sini untuk resepi.


Friday, November 4, 2011

Bercinta dengan lelaki muda

Sepanjang minggu nie tidak ada post masak-masak. Dapur saya tak berasap sekejap.  Awal pagi tadi singgah ke blog Kak Jee dan baca kisah Shila dan Nan. Sila ke blog Kak Jee jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang kisah Shila dan Nan.

Saya cuma ingin berkongsi sedikit pengalaman bercinta dengan lelaki muda. Selepas keluar universiti.... kerja yang kedua saya (pertama adalah juruaudit) adalah guru akaun sementara di kolej swasta di KL. Disini saya rapat dengan anak murid saya yang saya namakan J. Selepas 4 bulan bekerja sebagai guru sementara, saya dipelawa masuk sebagai pemegang saham dalam sebuah syarikat yang baru ditubuhkan.

Saya berkerja bersama-sama dengan 6 orang rakan kongsi lain untuk membangunkan kilang yang ketika itu berada ditahap "ZERO" atau turnover kosong. Hubungan saya dengan J masih rapat tapi sekadar hubungan bekas guru dengan anak murid sahaja. Selama 5 tahun saya berada dengan syarikat nie dan dalam masa yang sama bercinta dengan salah seorang rakan kongsi. Rakan kongsi yang lain pernah nasihatkan saya supaya menjauhkan hubungan cinta ini kerana kata mereka jika hubungan kami tidak kesampaian....salah seorang dari kami harus tinggalkan syarikat. Ketika itu mata dibutakan oleh cinta.....nasihat orang tak dengar.

Takdir Allah, cinta kami betul-betul tidak kesampaian. Salah seorang harus tinggalkan syarikat yang ketika itu sedang meningkat naik.....dari turnover zero telah naik mencecah RM10 juta setahun. Saya terpaksa lepaskan jawatan dan tinggalkan kilang tersebut. Ketika ini hidup saya terumbang ambing.......J muncul sebagai rakan yang banyak membantu. Kebaikan yang dia tunjuk memang lebih dari sebelum ini. Dia sentiasa ambik berat dan menjaga saya. Saya anggap ia hanyalah kebaikan seorang rakan dan tidak menaruh apa-apa perasaan terhadap J. J boleh dikategorikan lelaki sangat kacak sebab beliau adalah model sambilan....bertubuh tinggi, tegap dan berkulit putih dan muda daripada saya 6 tahun. Satu hari beliau meluahkan perasaan kepada saya....katanya sepanjang 5 tahun beliau rapat dengan saya....beliau telah jatuh cinta dari hari pertama kami bertemu tapi ketika itu saya adalah guru maka beliau diamkan sahaja dan tunggu sehingga habis kolej....kemudian saya bercinta dengan orang lain. Sekarang beliau berani beritahu sebab takut saya akan terlepas lagi. Masa tu puas cubit pipi sebab tak percaya.....hati saya sebenarnya tidak terbuka untuk terima dia tapi saya paksa diri sebab saya anggap itu caranya saya boleh melupakan bekas kekasih pertama.

Saya cuba memasukkan diri dalam gaya hidup dan gaya sosial dia tapi agak sukar. ketika tu saya dah 29 tahun sedangkan dia 23 tahun. Dia jenis lelaki yang agak sosial sebab berada dalam lingkungan hidup sebagai seorang model. Walaupun saya baru 29tahun ketika itu tapi penampilan saya agak matang sebab saya adalah bekas pengarah syarikat....maka gaya penampilan dan pemikiran amat berbeza dengan beliau. Saya tidak sosial dan saya tak pandai bersosial. Lama kelamaan saya nampak jurang yang sangat dalam antara kami. Bila berjalan bersama, saya lebih selesa menjarakkan diri sehingga kadang-kadang saya membiarkan diri jauh kebelakang supaya orang ramai tidak nampak kami jalan berdua. Saya benci bila mata orang memandang kami....saya mula mereka macam-macam fikiran negative yang orang lemparkan kepada kami berdua. Pernah satu masa ketika kami naik teksi untuk ke airport....pemandu teksi tanya saya "hantar adik ke airport ke". ketika itu dia ketawa kuat tapi hati saya benar-benar terluka. J kata pada saya " yanggg.....u kena tukar stye pakaian....tengok orang dah kata u kakak i". Pada J, ia adalah gurauan tapi pada saya ia amat melukakan perasaan dan buat saya termenung panjang. Sepanjang perhubungan kami, saya elakkan diri dari bercampur dengan rakan-rakan J. Saya rasa rendah diri apabila diperkenalkan oleh J kepada rakan-rakannya yang terdiri daripada model-model dan anak-anak muda remaja. Saya tidak ada idea untuk berbual dengan mereka.....saya tidak tahan dengan sindiran dari rakan wanita J yang cemburukan saya...."hai J takan bawak kakak kot teman". Saya selalu tanyakan soalan kenapa dia cintakan saya, kenapa dia pilih saya berbanding wanita-wanita cantik dan muda yang berada disekeliling dia, betul ke dia cintakan saya.

Oleh kerana banyak fikiran negative dalam fikiran saya....kami selalu bergaduh. Masa tu saya telah bersedia jika kami berpisah sehinggalah satu malam ketika keluar dari sebuah kedai makan. Saya dan J berjalan ke kereta, tiba-tiba ada seorang wanita meluru kearah saya dan cuba untuk pukul saya. J tarik saya ke tepi dan peluk saya erat sambil tahan dari pukulan wanita tu. Disaat itu, hati saya berkata lelaki ini benar-benar cintakan saya dan saya harus buang semua fikiran negative itu. Pedulikan apa orang nak kata. Wanita itu adalah salah seorang wanita yang meminati J.

Saya belajar memasuki 'dunia" J.....memahami muzik dan filem yang diminati. Pakaian saya yang sebelum ini lebih kepada imej korporat saya tukar kepada pakaian yang lebih bersifat 'remaja' dan santai. Saya mula membaca ruangan fesyen dan sebagainya...meminati aktiviti outdoor seperti mendaki gunung, go-kart dan macam-macam lagi. Saya sangka ia boleh merapatkan jurang perbezaan kami. Saya benar-benar berusaha untuk menjayakan hubungan kami kerana ketika ini saya telah benar-benar jatuh cinta dengan J. Saya telah bawa J untuk berjumpa keluarga saya....mak saya kata "betul ke hang nak kawin dengan dia....budak tu muda sangat". Hubungan kami berjalan selama 3 tahun tapi akhirnya kami berpisah apabila kami sedar bahawa jurang terlalu besar bukan sahaja jarak umur tapi juga pemikiran. Walaupun kami telah berusaha merapatkan jurang itu tapi masing-masing sedar bahawa kami sebenarnya gagal sama sekali terutama dari segi pemikiran. Selepas berpisah dengan J barulah saya menjadi diri saya yang sebenar....sebelum ini saya terlalu berpura-pura hanya untuk memasuki dunia J. Yang pasti saya memang benar-benar menyintai J kerana ketika saya menulis entri ini...air mata saya mengalir laju biarpun telah beberapa tahun berlalu.

Perpisahan kami bukan disebabkan faktor umur tapi lebih kepada masalah keserasian. Jika anda dan pasangan serasi....umur bukan penghalang. Jika si dia benar-benar cintakan diri kita beliau harus bersedia menerima apa-apa kekurangan yang ada dalam diri kita berbanding cuba untuk menukar diri kita menjadi orang lain.