Saturday, February 26, 2011

Cerita pindah rumah baru part 5

Sorrylah ye....entry masakan tak boleh dibuat lagi buat masa nie. Dapur pun belum ada lagi. Kitchen kabinet baru pasang bahagian badannya sahaja tapi table top belum pasang lagi....tap singki belum pasang dan dapurpun belum pasang so tak taulah bila nak boleh guna....tambah pulak saya akan mula kursus hari isnin nie dan kontraktor tak boleh datang buat kerja. Tadi kontraktor call nak pasang table top hari selasa nie tapi saya pulak outstation so tunda hari sabtu minggu satu lagi. hmmm nampaknya makan roti cicah milo ajelah tiap2 malam.

Dalam proses perpindahan....walaupun kita rancang macammana baik seklipun akan tetap ada perkara-perkara yang kita akan tidak puas hati. Dalam proses pindah nie ada dua perkara yang berlaku.

Yang pertama ditipu oleh transporter. Saya dapat no telefon lelaki Inxxx nie dari seorang kawan yang pernah guna service dia. Husband dia yang berurusan so tak adalah perkara ini berlaku kat dia. Saya call mr J nie, saya tanya dia berapa caj lori 3 tan....dia kata RM200 dan RM60 bagi seorang pekerja. Ok saya setuju dan minta 2 orang pekerja. Jadi anggaran kos adalah RM320 lah kan. So pagi sebelum barang diangkut saya ke banklah keluarkan duit. Saya keluarkan dalam RM700 sajalah (psstttt...itu ajepun duit yang tinggal....dah licin dalam akaun bank khas utk rumah). Janji dalam pukul 10 pagi....so Mr J pun sampailah bersama 2 pekerjanya. Barang-barang saya hanyalah set katil bujang, sofa 2 + 3, build in oven, hood, build in hop, sinki, 15 kotak. Itu sahaja. Saya siap packing semua barang dan balut perabut dengan plastik. Tugas mereka hanya angkat sahaja. Oleh kerana saya duduk kat apartment maka saya tak nampaklah lori besar mana kan.....bila mrk angkat sofa, kotak2....pastu mr J bagitau saya "ok barang dah penuh lori......kita kena buat 2 trip nie". Saya terkejut "macammana boleh penuh....baru sikit u angkat....takan lori 3 tan dah penuh.....biar betu". Dia kata pada saya "bila saya cakap nak bawak lori 3 tan....saya cuma ada lori 1 tan saja....RM200 tu caj untuk lori 1 tan lah....kalau lori 3 tan saya caj u RM400". Kami bertekak kejap pasal nie....last sekali dia kata "kalau u tak mau angkat lagi ini barang.....oklah kita tinggal nie barang lah.....lu bayar untuk upah satu trip itu saja". Dalam keadaan ini.....apa pilihan yang saya ada.....jenis manusia nie memang kita tak boleh lawan bertekak sbb mesti kalah punya. So saya terpaksalah tambah 1 trip lagi so upah jadi RM350 (dia bagi diskaun RM50 kononnya) dan upah pekerja jadi RM160 utk 2 orang jadi saya kena bayar RM500.


Kejutan yang saya terima tak habis kat situ.....satu lagi kejutan. Saya upah lelaki nie untuk pasang rod dan railing langsir serta kerja2 drill yang lain. Dia nie salah seorang pekerja jabatan kami tapi pangkat rendahlah kerani am sahaja....so dia nie cari duit lebih dengan buat kerja2 drill. Oleh kerana ramai kawan2 upah dia so saya pun ambil dialah untuk kerja2 drill nie. Mula2 nak suruh adik lelaki saya buat tapi tiba2 dia pulak dapat panggilan kerja so kenalah upah orang. lembabnya dia nie buat kerja tuhan sahajalah yang tahu.....saya tunggu dia seharian untuk siapkan pasang rod dan railing bagi 4 tingkap.....ye puan-puan/adik2 sekelian.....untuk 4 tingkap saya kena tunggu dari pukul 10 pagi sampai 5 petang......lihatlah betapa slownya dia bekerja.


Kalau dah kerja slow nie hasilnya baik ke????.....kejap saya lap air mata...kesat hidung jap. Hasil kerja dia teruk yang amattttttttt......berlobang dinding rumah saya sbb drill 2 @ 3 kali, salah 'teneng' @ salah anggar jadi rod saya senget....bila saya tegur senget dia tebuk lubang lain pulak. Bila pasang langsir....langsir tersingkat. Saya pejam mata pasai langsir singkat nie sbb tak nak dia tebuk lubang lagi kat dinding tu. Jam dah 5.30 petang so dia minta sambung lain hari untuk sambung buat kerja2 yang belum siap.....saya bagilah kunci rumah untuk dia datang siapkan kerja. Oleh kerana dia buat kerja sampai petang.....saya nie sanggup gi kedai beli nasi berlauk ayam kampunggggg....RM8.50 x 3 sbb dia bawak 2 orang anak lelaki dia untuk bantu.


Lepas dia balik saya pun pergilah check railing yang dia pasang.....ooopppps railing Ikea dipasang tak betul, vertical blind dipasang terbalik so saya sms dia bagitau. Hari saya pindah, dia datang semula untuk sambung kerja. Bila saya sampai kat rumah baru bersama lori, saya tengok dia dan anak2 dia ada dalam rumah tengah pasang peralatan dalam bilik air. Saya tak tengoklah kerja dia sebab nak gi semula rumah sewa untuk ambil barang satu trip lagi.


Bila trip ke 2 sampai dalam jam 3 petang dan barang2 semua dah diangkut masuk dalam rumah....saya dah bayar 'penyangak' tu maka saya duduk termenung kat sofa sbb memang geram dengan apa yang berlaku. Dia pun datang kat saya " saya dah siapkan kerja puan.....nie bil saya". Sekali lagi rasa macam nak luruh jantung saya....semua sekali RM260. tuan-tuan dan puan-puan....baki duit dalam dompet saya hanya ada RM200......panik kejap. Saya mintak diri ke bilik kononnya untuk ambil beg.





Saya cuba cari balik sampul duit raya yang saya dah buang dalam plastik sampah tapi teringat nak ambil semula sbb tengok sampul tu tertutup rapat....rupa2nya sampul duit raya tu mengandungi note RM50.....jadi saya ada extra RM50, saya selitkan kat dalam beg baju. Ok sekarang dah ada RM250.....mana nak cari RM10 lagi......saya cari kotak yang ada duit2 siling yang saya jumpa masa mengemas rumah. Mujur saya ingat kat kotak mana saya letak.....so saya ambil duit 50 sen sebanyak 20 keping. Bila dah cukup.....saya keluar dan bayar kat dia. Saya dah tak check kerja dia sebab 'serabut' sangat dengan kejutan demi kejutan yang saya terima pada hari itu.


Bila malam......baru saya perasan para kaca dalam bilik air dipasang terbalik. Bahagian kaca belah atas dan besi dibahagian bawah (terlupa pulak ambil gambar). Jam dinding dipasang hampir kat siling so bila nak tengok jam saya kena mendongak.......masa nie saya dah naik angin. Saya sms dia.....'datang baiki semula para kaca nie.....u pasang terbalik". Esok malamnya dia datang baiki para kaca cermin bilik air saya.....jam dinding tu saya biarkan dulu sebab nanti berlubang pulak dinding rumah saya. Dia bukan nak tampal balik lubang tu.





Inilah duit yang menyelamatkan saya......note RM50 yang hampir saya buang dalam plastik sampah. Paket duit raya yang tak habis tahun lepas kot......saya ingatkan kosong......mujur tergerak hati nak bukak semula.....kalau tak hilang RM50 nie.


Inilah para kaca setelah dibaiki semula. Pelik saya bila dia kata dia tak pernah tengok para kaca nie so sebab tu dia tak tau nak pasang.



So bila pindah rumah nie bukan sahaja duit mengalir macam air tapi juga perkara-perkara macam nie boleh berlaku tak kiralah kita berhati-hati macam mana pun. Ia pengalaman buruk yang saya hadapi......masa nie mengalir air mata saya sebab terlalu letihhhhh dan rasa amat teruk.

Friday, February 25, 2011

Kitchen Kabinet part 2

Letihnya....pindah rumah terutama bila seorang diri. Dua malam saya tidak tidur untuk packing dan balut furniture dengan plastik. Pada 23hb, lori yang diupah bersama pekerja datang angkat barang2 saya. Banyak jugak barang sampai terpaksa pakai 2 trip maka terbanglah RM500 untuk kos pindah. Selesai sahaja pekerja lori nie angkut barang ke rumah baru, saya bergegas pulak ke rumah sewa untuk urusan buang semua sampah dan cuci rumah. Saya upah cleaner untuk urusan cuci dan buang sampah. Cleaner tu begitu terkejut tengok 'sampah' yang saya buang, semua pakaian yang tidak dipakai, barangan dapur yg saya tak pakai, beberapa perabut kecil.....saya benar2 pejamkan mata untuk 'buang' barang2 yang saya tak guna lagi @ yang tidak pernah digunakan sebab saya tak mahu memenuhi rumah baru dgn barang2 yg tidak dipakai. Saya berikan peti ais, mesin basuh, rice cooker, set pinggan mangkuk, periuk belanga dan radio kpd cleaner tu sebagai upah cuci. Dia betul2 happy sbb dapat banyak barang.



Keesokkannya kontraktor kitchen kabinet pula datang untuk memasang kitchen kabinet. Entry yang lepas saya ada berikan sedikit panduan tindakan yg perlu dilakukan oleh pembeli baru. Saya tak malu mengaku bhw saya buat silap dan saya tak nak kesilapan sy diulangi oleh org lain malah saya tulis entry tersebut malah saya letakkan ayat ini "Inilah serba sedikit panduan kepada bakal-bakal pemilik rumah baru (dari pembeli rumah baru kepada bakal pemilik rumah baru bukan nasihat pakar ye)". Ini supaya anda tahu bahawa saya bukan pakar, saya tulis dari pengalaman saya dan pembacaan saya. Saya mula melanggan majalah Impiana Dapur dari edisi pertama sehinggalah sekarang. Didalam impiana dapur ada diberikan tip2 pemilihan table top so saya follow their advice, saya tak tulis sebarangan. Sayang sungguh, majalah tersebut masih dalam kotak jika tidak saya boleh masukkan tarikh terbitan artikel tersebut. Walaubagaimanapun saya berterima kasih kepada Shereen kerana info dan teguran terhadap kesilapan saya. Shereen nampaknya seorang yang amat berpengalaman dan hebat so ruginya saya sebab dah order granite sebagai table top kitchen kabinet saya....warna hitam pulak tu.



Saya pilih kontraktor nie selepas melihat gambar2 kitchen kabinet dalam majalah Impiana Dapur Edisi terbaru awal tahun nie. Saya memang suka hitam putih bila tengok design tu dalam majalah, terus saya pergi ke showroom Unity Design kat Kajang. Sebelum pergi ke sini, saya buat beberapa survey kat internet berkenaan dengan Unity Design. Dari beberapa blog, saya dapati mereka amat berpuas hati dengan service dan kualiti produk Unity Design . Selain Unity Design saya buat survey untuk syarikat lain jugak tapi ada komen2 buruk so saya padam dari list saya. Ini kerana saya buat tindakan last minute....dapat kunci 21/1/2011 tapi masih belum pergi survey quotation untuk kitchen kabinet so Unity Design adalah pilihan urgent yang saya lakukan dan saya harap ia berbaloilah. Sebab itu saya buat entry sebelum ini supaya kesilapan saya nie tidak diulang oleh pembeli rumah baru yang lain.



Oleh kerana tahun baru cina dan tempahan yang mereka terima terlalu banyak maka wakil Unity Design iaitu Patrick Looi hanya dapat dapat ambil ukuran keluasan sebenar dapur pada 15hb Feb 2011. Seminggu lepas tu Patrick call dia bagitau yang kitchen kabinet saya dah siap dan akan dipasang pada 21hb Feb. Oleh kerana saya belum bawa pindah masuk build in oven, hood, singki dan dapur maka saya minta supaya tarikh ditunda pada 24hb. So saya terpaksa pindah awal tambahan pula saya dapat panggilan untuk kursus selama sebulan bermula pada 28hb nie.

Pada 24hb dan hari nie, pekerja Unity Design pasang kabinet dapur saya. Table top dalam seminggu lagi.

Kerja pada hari pertama.




Dah siap pasang hari nie cuma tinggal table top sahaja lagi. Samaada pilihan table top granite warna hitam nie bermasalah atau tidak biarlah saya guna dulu ye....nanti kalau ada problem saya bagitau ok. Biarlah saya bercakap dari pengalaman saya pula.



Saya tanya Patrick berkenaan dengan dakwaan bahawa table top mengunakan granite bermasalah. Ini penerangan Patrick:-



Granite adalah sejenis batu yang sangat keras dan tahan yang sering digunakan sebagai permukaan meja pada masa kini. Ia merupakan magma gunung berapi dan selepas masa yang amat panjang maka terbentuklah granite yang cantik dan istimewa ini.

Granite merupakan batu yang unik dan istimewa sebab boleh dikatakan setiap granite adanya susunan corak dan kemasan tersendiri. Kamu hanya boleh dapat dua keping granite yang lebih kurang sama warna tetapi kamu tidak mungkin boleh cari dua keping granite yang serupa di dunia ini.

Granite adalah material yang tahan panas dan tidak mudah tercalar. Ia memerlukan penjagaan yang paling kurang berbanding dengan counter top lain. Ia juga batu yang paling keras di dunia selepas Diamond.Jika segi kewangan kamu mampu atau ada budget, granite adalah pilihan yang amat bagus!

Tuesday, February 22, 2011

Kitchen Kabinet Part 1

Saya nak cerita sikit berkenaan kitchen kabinet. Oleh kerana tiada pengalaman dan tak tanya orang (salah sendiri), bila dapat kunci saya pakai redah je satu dua showroom kontraktor kitchen kabinet untuk dapat quotation sebab kesuntukan masa. Actually tindakan tanpa perancangan yang saya buat sebenarnya tidak memberi peluang kepada saya untuk buat perbandingan harga. Disebabkan saya buat kesilapan dari awal maka dalam entry ini saya nak berikan sedikit panduan kepada pembeli rumah pertama yang tak ada pengalaman supaya tidak mengulangi kesilapan saya.


Jika anda berangan-angan untuk memiliki kitchen kabinet yang cantik dan berpatutan harganya (ikut ketebalan poket anda) so tindakan awal yang patut di ambil adalah:-

1. Sebaik sahaja menandatangani S & P dan loan anda tak ada problem, anda boleh terus buat survey untuk kitchen kabinet berdasarkan layout plan rumah yang disertakan dalam S & P. Pergilah seberapa banyak showroom kitchen kabinet untuk melihat design, material yang digunakan dan dalam masa yang sama mintak mereka buat quotation untuk anda. Dapatkan rate harga untuk top unit,base unit dan tall unit. Guna rate nie bila buat perbandingan harga antara setiap kontraktor. Kontraktor kitchen kabinet banyak so jangan terburu-buru....anda mempunyai masa yang amat panjang untuk buat survey sebelum rumah siap.

2. Sentiasalah peka dengan pameran seperti Homedec atau Perfect Livin dll. Pameran-pameran kelengkapan rumah dan gaya hidup nie kadang-kadang memberikan anda harga promosi yang menguntungkan. Masa nak pergi kat sinipun jangan lupa bawak layout dapur anda so anda boleh terus dapatkan quotation dan jika harga yang anda rendah daripada rate yang anda dah survey tu bolehlah anda bayar pendahuluan sebanyak RM200-300 untuk lock price. Bila rumah dah siap dan dah dapat kunci, bolehlah anda call mereka balik untuk datang ukur.....price yang dicaj adalah price yang anda lock semasa promosi tersebut.

3. Jika anda nak tahu, terdapat banyak blogger mencatatkan pengalaman mereka dalam pembinaan kitchen kabinet nie....dan ada diantaranya adalah kontraktor yang agak terkenal. So anda boleh tahu dari pengalaman mereka berkenaan perkhidmatan sebelum dan selepas, kualiti dan masalah lain yang dihadapi ketika berurusan dengan kontraktor ini. Saya sendiri telah menyenaraikan beberapa kontraktor yang terdapat aduan berkaitan dengan perkhidmatan dan saya make sure tak akan pergi ke sini. Ia menjimatkan masa saya dalam nak pilih kontraktor.

4. Untuk table top, anda ada pilihan samaada nak mengunakan hardboard top, concrete top, solid surface table top atau granite. Yang paling murah adalah hardboard top dan yang paling mahal adalah solid surface dan granite. Ramai yang mengunakan solid surface sebab ia murah sikit dan kualiti elok. Tapi antara solid surface dan granite...perbezaan harganya adalah sedikit sahaja iaitu lebih kurang RM30 sekaki so kenapa anda tidak guna granite....ia lebih tahan lama dan tahan lasak.

5. Untuk material Door pula terdapat pilihan samada nak guna melamine door atau 3G. Budget anda besar dan anda sukakan konsep moden maka gunalah material 3G sebab dengan 3G anda boleh pilih color oren, hijau, putih atau hitam berkilat dll.

6. Untuk budget kitchen kabinet, make sure anda sediakan duit lebih dari quotation yang anda dapat. Katakan quotation anda adalah RM7,500 maka anda patut sediakan extra RM2,500 sebab bila ukuran sebenar dibuat....kaki persegi kitchen kabinet anda akan bertambah berbanding dengan layout plan yg diberikan.

7. Untuk peralatan dapur seperti hood, oven, microwave, dapur.....anda boleh beli terlebih dahulu. Saya sendiri beli semasa warehouse sale tapi kena ingat waranty barangan warehouse sale hanyalah 3 bulan sahaja so ini risiko anda kena hadapilah tapi harga memang murah. Jika anda risau tentang waranti ini maka anda kenalah survey kedai-kedai peralatan elektrik yang memberikan harga yang berpatutan dan service yang bagus.

8. Belilah majalah deko untuk dapatkan idea kitchen kabinet anda. Banyak kat pasaran seperti Dapur Impiana atau id in-design (sekadar sebut yang tuan blog beli ajelah....mahal oooiiii majalah deko nie)


Inilah serba sedikit panduan kepada bakal-bakal pemilik rumah baru (dari pembeli rumah baru kepada bakal pemilik rumah baru bukan nasihat pakar ye). Saya tak tahu tentang ini so pilihan saya tidak luas dan harga yang saya dapat juga agak mahallah....current rate. Nasihat nie sebenarnya diberikan oleh pekerja syarikat kitchen kabinet tu ketika saya duduk berbual dengan beliau, beberapa blogger yang mencatatkan pengalaman mereka dan pengalaman saya sendiri.





Inilah image kitchen kabinet yang tuan blog nie pilih. Seperti yang anda ketahui, tuan blog nie minat hitam dan putih....so kitchen kabinet diapun hitam dan putih jugaklah. Esok kontraktor akan datang pasang. Kitchen kabinet saya agak lambat siap bukan salah kontraktor tapi salah saya sebab lepas dapat kunci baru terhegeh-hegeh turun naik showroom dapatkan quotation dan saya terasa menyesal sbb tak tahu nasihat diatas lebih awal.

Monday, February 21, 2011

Barang lama

Demam saya tak kebah lagi.....so hari nie terpaksa jugaklah gi jumpa doktor dan dapatlah MC sehari. Wp doktor bagi MC tapi kerja-kerja mengemas nie mana boleh 'MC', nanti sapa pulak nak masukkan barang2 dalam kotak kan. So larat ke.....tak larat ke kenalah buat jugak. Hari nie saya packing barang-barang dalam bilik tidur. Dalam dok paking2 tu saya terjumpalah beberapa barang-barang yang dah lama tak nampak dan ada yang saya dah tak ingat pun saya ada milikinya. Nampak sangatlah jenis perangai penyimpan barang. Jom tengok antara barang2 yang saya jumpa.
Kain alas dulang.....jenis kain polister. Saya terkejut bila jumpa kain nie sebab tak sangka saya simpan lagi. Kenangan pahit nie........kain nie saya beli semasa buat persediaan perkahwinan yang tak jadi dulu-dulu...cerita 9 tahun yang lepas. Mula2 tadi saya dah humban dalam kotak barang2 yang nak dibuang tapi ambil balik sbb sayang kan boleh guna lagi untuk perkahwinan adik saya nanti......ayat orang suka menyimpan heheheheh.....nampaknya tak berkurang jugaklah khazanah saya nie kalau semua benda saya sayang nak buang.

Jam tangan......saya hanya pakai sekali saja jam tangan nie. Disebabkan kulit saya jenis sensitif bila pakai jam nie maka kulit kat area tali jam tangan tu akan melecet dan merah. Akibatnya saya simpan jam nie......rasanya dah 6 tahun kot sampaikan saya tak ingat yang saya ada jam tangan bertali besi nie.

Klip pengikat rambut......klip nie tersimpan rapi dalam salah satu kotak kat bawah katil. Sabor ajelah....ada ka patut klip yang secantik nie boleh diletakkan dalam kotak bawah katil.


Kain batik.....2 helai kain batik dalam beg anyaman mengkuang saya jumpa kat belakang almari baju. Masa bilalah saya pergi letak kat belakang almari tu......kain nie rasanya kat 4 tahun duduk kat belakang almari tu. Mujurlah nak pindah....boleh jumpa kain batik nie semula....teruknya kan.



Duit siling......yeeeee banyaknya duit. Saya suka kumpul duit siling terutama 50 sen. Kalau saya dapat 50 sen dalam tangan saya....saya akan simpan. Kalau beli barang dan jurujual tanya akak ada 50 sen....saya akan jawap tak ada wp dalam dompet saya ada berkeping-keping duit 50 sen. Menyimpan bukan satu tempat......dalam coin box, dalam kotak, dalam mug, dalam beg tangan lama....lama2 saya lupa kat mana saya letak. Bila mengemas barang hari nie maka jumpalah khazanah2 yang disimpan nie.


Baju-baju lama......ada 5 kotak kat bawah katil bila ditarik keluar. Semua nie baju yang bersaiz besar sebab 8 tahun yang lepas saya adalah seorang yang gemuk dan baju saya kebanyakannya bersaiz XL ketika tu. Kalau dah duduk bawah katil nie maknanya saya tak pakailah kan......tapi nak buang sayang sebab semuanya elok lagi. Saya ada satu cerita.......nie pengalaman masa kerjalah ye. Kerjaya saya membolehkan kami 'masuk dan melawat' dalam rumah orang2 kaya. Ada satu kali tu saya dan 2 orang rakan ditugaskan ke rumah seorang jutawan nie. Nak masuk kawasan perumahan nie memang susah......security memang ketat. Rumah tersergam indah, bernilai lebih 10 juta.....ada sebuah kereta mewah bernilai RM800 ribu parking kat porch depan rumah. Kami disambut oleh isteri jutawan ini, dia bagitahu yang dia tengah baca bible.....kelakuan nampak normal shj. Wp dah 50an tapi kulit dan badan nampak macam 30an...masih cantik. Kami 'melawat' seluruh kawasan rumah dan akhirnya masuk ke bilik utama. Masyaallah, terkejut sungguh bila tengok keadaan master bedroom. Anda boleh bayangkan keadaan bilik yang bila bukak pintu...hanya ada satu lorong muat-muat satu badan untuk lalu ke katil dan kiri kanannya penuh dengan timbunan barang-barang lama, album-album lama, surat2 lama (surat2 tu ada yang dah 10 tahun tak berbuka), baju-baju lama, barang2 perhiasan dan macam2 mak nenek lagilah. Ingatkan hanya dalam Oprah je ada cerita macam tu tapi kat rumah jutawan yg tersergam indah nie pun jadi macam tu...sebabnya wanita tu suka menyimpan barang2 lama. Bila teringat keadaan tu maka saya decide lah nak sedekahkan 5 kotak baju lama tu kat cleaner lady apartment nie. Saya tak nak jadi macam wanita tu. Psssttt wanita tu memang malang wp duduk dalam sangkar emas tapi beliau tidak dihargai. Suami beliau sendiri boleh kata pada kami yang isterinya tak siuman malah beliau tidak pernah jejakkan kaki dirumah tu....anak2 duduk kat luar negara....tinggallah wanita tu dengan amah dalam rumah besar tu bersama dengan kenangan silamnya iaitu barang2 yang disimpan tu.


Diary lama......lebih 10 tahun diari nie.....dalam nie ada semua nama dan alamat kawan-kawan universiti dan my best friend Faridah dan Yati. Saya lost contact dengan mereka semua....happy sangat sebab jumpa diari nie. Lepas nie bolehlah hello....hello dengan mereka.



Langsir

Langsir saya dah dipasang pada semalam hari ahad. Awal-awal pagi lagi saya dah pergi ambil langsir kat pasar tani shah alam. Kiosk tukang jahit nie ada kat pasar tani shah alam.

Inilah langsir saya, daripada warna langsir nie anda dah tahukan konsep hiasan apartment saya. Saya pilih konsep moden dengan pilihan warna alam iaitu hitam, putih dan grey. Saya buat langsir jenis eyelet untuk ruang tamu dan bilik utama. Kerja tukang jahit nie kemas dan caj yang dikenakan juga berpatutan.




Langsir saya dah dipasang tapi tanpa sheer curtain lagi sbb saya tengah ubah sikit besi pencangkuk sheer curtain.


Inilah rod alumunium yang saya pilih. Harganya RM6 sekaki, bila beli 9 kaki = RM54. Rod kayu mahallah sikit....tapi dari segi fungsi, sama ajelah rod kayu ke atau rod aluminium.



Ini langsir bilik tidur, saya pilih kain yang lebih tebal dan warna yang lebih gelap dalam bilik tidur sebab rumah saya mengadap panahan matahari petang. Langsir nie hitam berbunga hijau tapi bila ambil gambar ia jadi macam warna coklat2 sikit. Saya bengang sangat dengan almari baju nie sebab cermin pintu gelongsor almari tu sepatutnya warna kabut putih tapi dia bagi saya corak biru. Kan dah jadi 4 warna dalam bilik saya....putih, hitam, hijau dan biru.






Ini pula untuk bilik tetamu. saya guna rod besi 2 railing yang dibeli dari Ikea. Kain langsir juga dari Ikea masa Ikea buat promosi utk kain nie. 2 helai nie berharga RM15. Oklah tu....budget dah kurang so kenalah jimat sikit.



Yang nie kat bilik ke 3, saya buat bilik bacaan. Tingkat nie mengadap koridor tempat orang lalu lalang si saya letakkan blind warna kelabu yang dibeli dari Ikea, rod besi juga dari ikea dan langsir pun dari Ikea.



Kain pengikat nie saya beli dari kiosk tukang jahit langsir tu. Saya ikat langsir dalam bilik tetamu dan bilik bacaan. Untuk bilik utama dan ruang tetamu, saya pakai kain pengikat tepi yang telah dibuat bersama langsir.
Jika anda adalah peminat barangan hiasan ala-ala english bolehlah ke blog tukang jahit nie. Tempat penyangkut tuala lap pinggan nie diberikan free kepada saya.


Kat bawah nie pulak adalah tempat letak tisu muka. Sesuai dibuat wedding gift untuk diberikan kepada tetamu.

Oleh kerana kerja jahitan dia kemas dan harga yang diberikan juga agak berpatutan so saya promotelah blog dia iaitu http://naturele-boutique.blogspot.com.



Anda juga boleh berkunjung ke kiosk no 631 di tapak pasar tani Shah Alam jika ingin lihat lebih dekat hasil kerja tangan beliau.

Cerita pindah rumah baru part 4

Kita sambung lagi cerita pindah rumah baru nie. Hari sabtu memang saya demam teruk. Saya cuba bangun pagi tu tapi tak boleh........hanya mampu pergi ke toilet dan sembahyang dan lepas tu sambung baring semula. Sepatutnya pada pagi sabtu saya hendak pergi ke Warehouse Sales Egyptian Cotton Bed Sales...nak tengok fitted sheet, towel dll. Terlepas saya nak beli fitted sheet yang cotton 1000 thread counts dengan discount 70%.....dari harga RM1320 boleh dapat RM396, hotel quality bath towel dari harga RM147 turun ke RM43.90.


Saya tidur semula sehinggalah dengar deringan SMS dari telefon saya. Tukang jahit langsir call bagitau yang langsir dah siap dan tanya saya samada nak beli sekali rod railing dan aluminium railing dari dia. Kalau nak dia akan ambil dari workshop. Baca saja sms dia....saya reply balik katakan yang saya tak beli rod langsir dan railing langsir dari dia. Sebelum saya buat survey, saya fikir nak mudah dan tak nak fikir banyak so saya cadang nak upah jahit langsir, beli railing dan upah pasang sekali. Saya confirm dengan tukang jahit nie untuk buat semua tu dengan dia tanpa tanya dulu harga railing dan rod (my mistake here). Bila dia bagitau yang kos untuk sekaki aluminium railing adalah RM5, wooden rod adalah RM15 sekaki maka saya ingat dah murah sebab sebelum nie saya ada ambil harga dari seorang tukang jahit dia caj aluminium railing RM7 sekaki dan wooden rod RM18 ringgit.


Bila saya buat blogwalking selepas saya 'buat janji tersebut', barulah saya tahu bahawa kos aluminium railing tu hanyalah RM2.50 sekaki. Memikirkan bahawa saya dah berjanji maka saya teruskan jugak dengan harga yang diletakkan. Itu sikap saya....bila terpaksa buat pilihan antara janji dan duit, saya pilih janji....saya tak boleh mungkir janji (my fren geram dgn saya pasal nie tp ini sikap saya). Bila sms dia tanya samada saya nak tak aluminium dan wooden rod tu maka sudah tentu saya jawap 'tak nak' sebab maksudnya dia belum beli untuk saya dan dia tidak ada kerugian bila saya 'break the promise'.


Saya gagah jugak bangun dari katil dan terus mandi untuk pergi ke kedai hardware. Saya tak pernah drive sampai ke Wangsa Maju so saya guna GPS untuk kekawasan nie. Kenapa jauh bebenor saya cari kedai hardware....sebab kat sini dikatakan harganya agak murah so pergilah kat sini. Dengan bantuan GPS saya drive mengikuti jalan pencala link dan masuk Duke menghala ke Ampang. Sampai kat tol, GPS arahkan masuk kat simpang kiri ke Air Panas. Sampai kat bandar kecil Air panas, Gps bagi arahan masuk simpang kecil diantara rumah-rumah kedai kayu. Dalam hati saya biar betul GPS nie....ke GPS nie dah bengong...ada ke dia suruh masuk kat lorong belakang kedai yang kecik dan sempit tu. Mula-mula saya tak ikut....dan cuba cari sendiri tapi kemana entah saya meraban pergi. Akhirnya saya putuskan untuk ikut jugak GPS, buat u-turn dan masuk balik ke lorong kecik tu sampailah masuk ke jalan yang dah tak berturap dan kiri kanan penuh dengan lalang. Kawasan tu tak ada orang lalu pun...hanya kereta saya saja dan jalan kecil tu hanya muat satu kereta nak u-turn tak boleh. saya tawakal jugak dan teruskan sampai hujung....jumpa kilang kuari yang tidak bersainboard....akhirnya saya tarik nafas lega bila nampak jalan raya. Gps beritahu dah sampai destinasi kat sebelah kiri.....rupanya itu jalan shortcut ke Wangsa Maju....hebatkan GPS nie.


Saya sampai ke kedai Suen Lee Hardware. Kat sini saya beli aluminium railing dengan harga RM2.80 sekaki termasuk assesori. Wooden rod dengan harga RM8.50 sekaki tapi oleh kerana saya nak 9 kaki maka tak cukup. Saya tukar kepada Rod bukan kayu dengan harga RM6.00 sekaki. Jom tengok berapa saya saya jimat disini.


Pemasangan aluminuim railing untuk ruang tamu dan 3 bilik. Kontraktor caj RM450 untuk harga aluminium railing dan upah pasang.


Kedai jahit langsir (saya mintak harga untuk ruang tamu dan bilik utama sahaja)


Tukang jahit 1

Aluminium Railing RM7 x 18 kaki = RM126

Wooden Rod RM18 x 18 kaki = RM324

Jumlah kos = RM450


Tukang jahit 2

Aluminium railing RM5 x 18kaki = RM90

Wooden Rod RM15 x 18 kaki = RM270

Jumlah kos
= RM360


Beli sendiri

Aluminium railing RM2.80 x 18 kaki = RM50.40

Wooden Rod RM8.50 x 18 kaki = RM153.00

Tol = RM 4.00

Minyak kereta = RM10.00

Jumlah kos = RM217.40


So anda boleh lihat berapa banyak yang kita boleh jimat jika kita buat sendiri. Bila kat kedai tu saya tengok harga peralatan bilik mandi. Ingat tak saya ada cerita yang saya pergi beli barangan peralatan bilik mandi....kat sini harganya beza RM10 dari harga yang saya beli. Saya dah rugi hampir RM80 untuk item2 yang sama. Jika anda baru nak pindah rumah baru bolehlah jenguk kedai nie.


Siap bagi kupon cash lagi bagi setiap belian RM100 keatas dan dapat member kad bila beli RM50 keatas.


Dia ada blog ada boleh ke sini untuk dapatkan alamat kedai nie iaiatu http://suenleesb.blogspot.com



Oleh kerana saya beli aluminium railing sepanjang 9 kaki sebanyak 2 batang maka tak boleh masuk kat dalam kereta vios saya. Pekerja kedai nie telah ikat aluminium rod tu kat tepi kereta saya. Satu ikatan kat cermin sisi dan satu ikatan lagi kat tempat pemegang pintu di pintu bekanag kereta. So saya drivelah kereta dengan aluminium rail panjang kat dinding kereta, paling risau bila ada motor lalu kat sebelah kiri jalan sbb cermin sisi kiri dan ditutup dgn rail. Mujur saya masuk Duke lepas tu masuk Pencala Link so terlepaslah dari ikut jalan2 yang sempit dan banyak motor. Oleh tu bila nak beli railing panjang macam nie kenalah fikir balik macam mana nak bawak balik.....besar ke kereta tu.....kalau kancil macam mana ye?.

Saturday, February 19, 2011

Cerita pindah rumah part 3

Semalam saya mula rasa tak sedap badan. Saya mula nak demam....rasa lemah sangat badan. Saya call kedai perabut nie nak mintak dia hantar perabut saya awal sikit....saya call customer services tapi pekerja bangla yang angkat. Saya rasa dia tak faham pun apa yang saya cakap sebab dia asyik cakap '"apa no. invois akak" "nanti saya call kakak" baca dengan slang bangla ye. Saya call jam 11 pagi sehingga jam 4 petang dia tak call saya balik. Saya apa lagi naik angin lah terus call direct line kedai perabut tu........kali nie sekali lagi pekerja myanmar pulak yang angkat. "nanti saya semak ya akak". Dengar aje dia cakap macam tu terus saya jerit " apa check2 saya call jam 12 tadi untuk minta hantar awal kenapa baru sekarang nak check". Dia janjilahlah akan hantar dalam jam 6 petang.


Lepas je habis time ofis, saya terus balik sebab takut mereka sampai awal kat umah. Masa tu hujan....Kota Damasara nie elegik dengan hujan....hujan sikit aje.....jam nye teruk mengalahkan ribut petir. Bila tengok kat traffik light menghala ke The Curve dah jam teruk...kereta tak bergerak-gerak maka saya patah balik dan keluar ikut highway sungai buluh. Saya sampai kat apartment dalam jam 5.15 pm. Saya pun tunggulah.....jam 7 malam tak sampai lagi......jam 8 malam pun tak sampai lagi......akhir sekali dapat call dari driver lori "akak saya dah dekat Ikea nie macam mana nak pergi ke Seksyen 8". Mak aiiiiii baru nak sampai situ ke......saya pun bagilah direction.....dan tunggu lagi. Jam 10 baru sampai. Saya nie demam.....badan saya dah lemah sangat ditambah pulak dengan sakit hati dan geram tak terkata. Jam 10.30 baru siap angkat perabut masuk dalam rumah. Pastu nak pasang pulak.....saya tunggulah macam patung kat pintu apartment sementara mereka pasang kabinet kat dalam bilik. Oleh kerana mereka lelaki takanlah saya nak tunggu kat dalam...so saya berdirilah depan pintu.


Pekerja India tu datang kat saya 'akak ada tangga tak". Dalam hati saya 'engkau tak nampak ke apartment saya kosong....nak cari tangga kat mana'. Oleh kerana saya tak nak bising.....saya ambillah meja Ikea yg saya pasang semasa menunggu mereka tadi dan bagi kat dia. "akak....meja nie tahan ke, nanti patah". "Guna ajelahhhhh' jawap saya kasar. Bila tengok saya garang semacam diapun ambil meja tu. Masa tu dah jam 11.15 malam. Bunyi mesin grinding bising dalam bilik saya.....kalau ikutkan peraturan apartment, selepas jam 6.30 pm dah tak boleh buat kerja bertukang....dalam hati mintaklah jangan ada orang datang tegur.


Jam 11.30 barulah mereka siap pasang almari 8 X 8 tu.....lelaki India tu mintak saya tengok perabut yang dia pasang. Saya tengok meja solek pelik sangat.......cermin mencecah lantai.....saya kata ini bukan design yang saya pilih.......dia kata "inilah perabut akak'. Saya nak marah dah......'U angkat balik perabut nie saya tak nak.....saya takan sign surat delivery". Dalam hati....ishhhh berani nya dahlah mereka berdua engkau sorang. Pekerja tu termenung sekejap.....dia check balik meja solek tu...."oh!!!!!! sorry akak saya silap pasang". Hati saya mendidih gila masa tu.......dia bukak balik meja tu.....saya keluar dari bilik utama tu dan pergi ke pintu......berdiri kat situ semula. Bila dah siap dia call saya semula.....saya masuk dan check almari, katil, tilam dan meja solek. Ada kesan torehan kan meja solek.....dahlah perabut saya putih, kesan tu nampak ketara sangat. Saya tanya 'nak buat macam mana nie'. Pekerja India tu kata ' akak beli liquid paper dan cat balik kesan torehan tu.....nanti hilanglah". Jika anda berada ditempat saya apa perasaaan anda. Dahlah permintaan saya supaya delivery dibuat dalam jam 5.30 petang tidak dilayan, ditipunya lagi saya pastu biar saya tunggu sampai 4 jam dalam keadaan saya demam dan kemudian bagi perabut yang tidak sempurna. Saya masa tu dah tak larat nak handle.....kepala saya makin berdenjut. Saya ambil surat delivery order tu dan sain. Supaya mereka cepat2 berambus dari apartment saya.


Termenung saya tenguk perabut tu. Kualiti dia amat teruk.....tak padan dengan harga yang saya bayar. Saya bayar mahal.....tapi dapat kualiti yang macam nie. Masa kat showroom, perabut tu elok je kenapa bila sampai kat saya teruk sangat kualitinya. Saya ambil kunci dan terus keluar dari apartment saya......balik ke Kelana Jaya pada jam 12.30 malam. Hati saya sakit sangat.







Ini rak kasut. Design nie cantik tapi rak nie bergoyang dan tidak stabil.

Thursday, February 17, 2011

Spin-Dry Mop

Saja nak kongsi satu gadjet yang amat-amat mudah digunakan. Saya dah 'jatuh cinta' dengan spin-dry mop nie. Masa kat umah sewa tak terfikirpun nak beli mop yang mahal macam nie....pakai mop biasa je. Masukkan dalam air, kemudian perah dengan tangan dan lap. Bila masuk kat Ace (kat Ikano) tempohari tengok mop jenis nie...terfikir nak beli satu sbb kalau orang malas nak mop lantai macam saya nie....kot-kotlah bila beli spin-dry mop nie boleh jadi rajin sikitkan. Tengok harga mak aiiii mahalnya RM89.90 (harga offer nie)....teringat kat Cosway ada. So pergilah kat Cosway tengok...ada mop jenis nie tapi dia panggil 360 Spin-Dry Mop harga 3 RP + RM69.90. Teringat kupon banyak saya dok simpan....guna kuponlah beli so saya beli mop nie dengan harga 20RC + RM35.90. RP dan RC adalah cupon yang diperolehi oleh ahli cosway. setiap belian RM30 akan dapat satu kupon so simpanlah banyak2.....kawan2 saya kat ofis nie selalu kirim beli ironing aid so tiap2 bulan dapatlah kupon.


Bila dah beli Spin-Dry mop nie....rajin tak saya mengemop lantai?. Rajinnnnnn.....sampai 2 kali ko ulang mop lantai rumah baru. Rasa senang sangat......masukkan yarn disc kat dalam bekas pemutar tu dan kemudian tekan dengan kaki kat bawah tu...dia akan berputar 360 darjah untuk buang air. Tekanlah lama sikit kalau nak betul2 kering kain mop tu (yarn disc)...pastu mop. Tak payah nak perah-perah lagi. Cepat kerja dan amat-amat memudahkan terutama orang yang malas mop lantai macam saya nie yang hanya mop seminggu sekali.

Mihun Goreng Taucu


Ini adalah hidangan untuk dinner saya semalam dan juga untuk lunch hari nie. Senangkan sekali masak untuk 2 kali makan.....alasan orang malas hahaha. Kat area ofis saya nie....kami semua menghadapi masalah untuk mendapatkan makanan yang sedap dan pelbagai. Ada peniaga kat building nie tapi uhhhhhhh tak payah ceritalah....banyak sungguh komen2 yang didengar dari semua staff berkaitan dengan kualiti dan kemahalan harga makanan....memang tak berbaloi bila beli. Kita tak kisah bayak mahal untuk makanan yang sedap tapi jangan sebaliknya. Sebab tu saya lebih selesa bawak bekal lagipun kan boleh kontrol kalori kalau kita masak sendiri.



Saya sempatlah masak hidangan mudah nie sebab petang semalam.......seperti biasalah pergi gym lepas habis waktu kerja. Waktu pagi agak kelam kabut sikit ambil pakaian gym so bila masa kat bilik persalinan di gym.....saya pun tukarlah baju kerja ke pakaian gym. Mak aaiiiii.....seksinya seluar akak...seluar tu jenis melekat kat badan dan baju t-shirt pulak agak singkat so nampak 'tak elok' sangat nak dipakai. Bila tengok kat cermin.....macammana lah saya boleh beli seluar nie dah lah mahal pulak tu. Tak sanggup rasanya nak keluar dari bilik persalinan kalau pakai seluar tu....so saya salin semula pakaian gym tadi dan pakai balik baju kerja....keluar gym. Tak pelah tak exercise petang nie dari dok tayang body. Sebab tu saya boleh balik awal ke rumah dan masak mihun nie.



Kalau anda jenis yang suka makan masakan yang ada tauchu...cubalah buat pulak mihun nie. Sedap jugak rasanya.


Mihun Goreng Taucu


Sumber: Majalah Rasa Mac 11


Bahan-bahannya:-

  • 200gm mihun-direndam
  • 2 sudu makan taucu
  • 100gm ayam cincang
  • 2 biji telur
  • 5 biji cili api
  • 1 ulas bawang merah
  • 1 sudu makan cili kering yang telah dikisar
  • 30gm kubis-dihiris (saya gantikan dengan daun kuchai)
  • garam secukupnya
  • 1 sudu makan sos cili (saya tambah)
  • 1/2 tsp gula (saya tambah)
  • Air secukupnya (saya tambah)

Cara memasaknya:-

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang dan cili kering kisar sehingga garing. Apabila sudah kering masukkan sedikit air. kacau rata
  2. Kemudian masukkan ayam cincang dan kacau rata
  3. Masukkan hirisan kobis, cili padi, taucu dan kacau sebati. Saya tambah sos cili dan sedikit gula. Rasa dahulu sebelum masukkan garam sebab taucu masin ye.
  4. Pecahkan telur dan kacau rata
  5. Masukkan bihun dan kacau sebati. Angkat dan hidangkan.

Nota:-

  • Saya pecahkan telur dan pukul sedikit dan kemudian goreng hancur terlebih dahulu dan ketepikan.
  • Tambahan air bergantung kepada kelembutan mihun anda. Jika masa rendam mihun sekejap maka air perlu dimasukkan banyak sedikit tapi jika direndam lama maka cukuplah sedikit sahaja sahaja. Agak-agaklah ye.

Wednesday, February 16, 2011

pindah rumah baru part 2



Entry saya tengahari nie adalah untuk mengajak anda 'melawat' persekitaran kediaman baru saya. Inilah apartment saya. Persekitaran dalam rumah belum siap lagi, kita tengok kat luar dululah.

Kerja-kerja pemasangan grill dah siap sebelum tahun baru cina lagi. Kontraktor nie cepat buat kerja dalam seminggu dah siap pasang untuk satu apartment. Design grill macam nie sahaja yang dibenarkan oleh pemaju......tak ada peluanglah nak berukir-ukir. Design nie standard, semua pembeli rumah kena ikut.

Kalau diberi pilihan dah tentu saya akan cover penuh sehingga kat depan nie kan....so luaslah 'halaman' rumah saya sebab tulah pemaju hanya benarkan buat grill kat pintu sahaja.

Ini pula sangkar dan awning kat bahagian dapur. Design grill dan warna kena sama jugak.....ini view ketika saya berdiri di koridor yang menghala ke lif. Jadi sesiapa yang lalu kat koridor nie akan nampaklah saya kat dapur.....nampaknya kenalah pasang Venetian blind supaya orang tak nampak saya buat apa kat dapur.


Ini pula taman permainan....tak besar.



Ini kolam renang yang terletak di aras G. Sebenarnya saya terpaksa ambil gambar nie ditingkat 1 sebab ada orang tengah mandi kat kolam tu (bahagian yg tak nampak tu). Kalau ambil gambar kat sekitar kolam tu nanti dia tuduh saya nak 'sekodeng' dia pulak, so hanya dapat tangkap gambar sebahagian kolam tu dari tingkat atas.....itupun kena pastikan gambar tak termasuk orang yang tengah berenang tu.



Ok ini tempat parking kereta saya....berhampiran dengan lif tapi kena naik 5 tangga nie dulu baru ke kereta. Kalau bawak barang berat....jenuh nak berangkut. Setiap pembeli diberikan satu lot tapak kereta di tingkat 1-3.

Ini pulak lot parking untuk pelawat dan kereta kedua. Masa mula-mula saya lawat kawasan nie memang agak terkejut jugak sebab tapak parking memang banyak sungguh. Ini tapak parking kat bahagian belakang.


Ini lagi tapak parking kat bahagian hadapan bangunan


Insyaallah, jika tiada aral melintang 24hb nie saya akan berpindah ke rumah baru nie. 25hb kitchen kabinet akan dipasang, 19hb perabut akan sampai, 21hb langsir akan siap dipasang. saya kena pastikan supaya urusan siap sebelum 27hb sebelum saya bertolak ke daerah lain untuk berkursus.


Jika anda adalah penduduk Kota Damasara, anda akan berhadapan dengan situasi jam nie setiap masa tak kira hari cuti atau tidak. Saya ambil gambar nie ketika cuti maulidur rasul tapi jalan nie tetap jam. Trafik light kat depan tu dah 2 @ 3 kali bertukar warna hijau tapi kereta saya masih tak boleh melepasi signboard tu. Rumah baru dengan ofis hanya sejauh 10 minit jika tiada trafik light dan jam. Bila dah berpindah nanti saya akan berdepan dengan 10 trafik light simpang 4. Ofis saya terletak berhampiran dengan Ikea.....tapi saya kena bertolak lebih awal untuk ke ofis berbanding dengan ketika saya duduk kat Kelana Jaya.


Asam pedas ikan Siakap


Dalam proses nak pindah rumah nie, tak adalah masakan yang menarik dari dapur saya. Saja nak kongsi hidangan dinner yang sempoi nie. Ikan siakap nie sebenarnya saya beli sebelum tahun baru cina lagi. Masa tu ikan siakap tengah offer dan segar-segar sangat so saya belilah seekor....kononnya nak buat ikan kukus tapi boleh terlupa dan ikan tu terbiar kat tempat beku lebih dari dua minggu. Bila nak kosongkan peti ais baru ternampak ikan nie.....so jadilah ikan siakap asam pedas. Saya ambil resepi nie dari MyResepi. Jom tengok resepinya.

Asam pedas ikan Siakap
Sumber: Sila ke sini


Bahan-bahan
  • 1 ekor ikan patin/tenggiri (saya guna ikan siakap)
  • 4 ulas bawang merah-ditumbuk
  • 3 ulas bawang putih-ditumbuk
  • 2cm kunyit hidup-ditumbuk
  • 1 btg serai dititik
  • 3 btg daun kesum
  • 1 bunga kantan-dibelah dua
  • 1/2 mangkuk kecil air asam jawa
  • 3-4 sudu besar cili kering yg dimesin
  • 1 1/2 mangkuk kecil air biasa
  • garam dan gula (ikut rasa)
  • minyak masak
  • sedikit belacan (optional-ada yg x makan belacan)

Cara-caranya:-

  1. Panaskan minyak, masukkan serai, cili kering, bawang merah, bawang putih, kunyit dan belacan. Tumis hingga naik bau.
  2. Bila sudah naik bau, masukkan air asam jawa, kacau dan biar mendidih.
  3. Kemudian masukkan daun kesum, bunga kantan, kacau dan masukkan air. Biar mendidih.
  4. Masukkan ikan, garam dan gula. Biar hingga masak ikan dan boleh lah dihidangkan.

Saya makan bersama nasi kukus. Bila masak nasi dalam kuantiti yang sedikit......lebih elok masak secara kukus. Nasi nie untuk 3 kali makan. saja masak banyak supaya boleh simpan dalam peti dan buat nasi goreng bila balik gym dah penat dan tak ada time nak masak yang rumit-rumit.



Inilah dinner saya semalam. Nasi kukus bersama asam pedas dan sawi goreng udang kering.


Sunday, February 13, 2011

pindah rumah part 1

Akhir bulan February ini....... yang hanya tinggal lagi 2 minggu, saya akan berpindah masuk ke apartment yang dibeli. Pertama kali berpindah masuk ke rumah sendiri. Perasaan amat2 teruja/seronok/gembira kerana memiliki kediaman sendiri. Seboleh-bolehnya saya mahu yang terbaik untuk apartment saya (dalam kemampuan saya) kerana inilah pertama kali saya menghias apartment milik sendiri. Saya sendiri yang pilih semua peralatan dalam rumah....warna langsir....tema hiasan.....rekabentuk kichen kabinet....semuanya saya lakukan sendiri. Ia satu proses yang menyeronokkan dan juga memenatkan. Awal Mac, my family akan datang melawat apartment saya terutama anak-anak saudara saya yang amat2 teruja apabila diberitahu kat apartment ada kolam renang.




Semalam, sabtu sekali lagi saya menapak dari satu kedai ke satu kedai untuk dapatkan peralatan bilik mandi dan juga tempat ampaian. Akhirnya saya berjaya membeli tempat ampaian stainless steel 3 besi, panjang 8 kaki dengan harga RM170, kepala paip, towel holder dll. Semuanya untuk bilik air. Dalam kedai tu hanya ada pembantu kedai wanita yang terlalu peramah dan banyak info diberikan kepada saya......masa dia tolong angkatkan barangan saya ke kereta dia berkata " saya kagumlah dengan akak....akak datang sendiri beli peralatan nie, selalunya orang lelaki yang datang beli kat kedai kami. Kenapa suami akak tak datang sama". Saya jawap " ohhhhhh dia outstation". Bohong pi lah......sebab malas nak jawap 'ohhhh sebab akak tak de suami...... kenalah buat sendiri'.





Lepas balik dari kedai tu saya terus ke apartment untuk hantar peralatan tersebut. Saya dah lama nak singgah kat tempat nie. Selalunya bila lalu kat jalan nie saya nampak ranai orang singgah beli cendol pulut dan laksa kat sini. Gerainya hanya sebuah kereta tolak dibawah pokok dan beberapa kerusi diletakkan di sekitar pokok2 disitu. Saya nak rasa sedap ke cendol kat sini sebab selalu penuh dengan orang duduk makan kat bawah pokok. Sorrylah tak dapat tunjukkan gambar cendol sbb lupa bawak kamera.....laksa nie saya simpan untuk dinner kat umah sewa sebab tu sempat ambil gambar. Nanti bila saya pergi sekali lagi saya akan ambil gambar lokasi tempat nie ye.


laksa nie memang sedap sangat.....kuah dia pekat cuma dari segi kebersihan kureeeeeng sikit. Isteri peniaga tu ambil telur, sayur-sayur dengan tangan tanpa guna penyepit atau sarung tangan. Cendol pulut diapun sangat sedap. Saya makan laksa nie sebagai dinner, saya tambah telur goreng separuh masak dan kicap. Sedap ooooo kalau telur kuning yang separuh cair tu bergabung dengan kuah laksa dan sedikit kicap.....tengok menderhaka kat resepi tradisi.

Oklah setakat nie baru sedikit nie barang2 dikemas dan dimasukkan dalam kotak. Sebenarnya ini yang kat ruang tamu saja.....kat dalam bilik saya masih banyak barang. Build-in oven, hood dan dapur, singki. Dalam sebulan dua nie mungkin akan berkurang entry masakan sebab barang dapur dah dimasukkan dalam kotak. Steamer pun dah masuk kotak so lepas nie hanya entry pasai pindah rumah ajelah yang dimasukkan.