Sunday, July 31, 2011

Nasi Lemak



Esok kita semua umat islam akan berpuasa......selamat menyambut bulan ramadhan kepada semua pengunjung blog saya....mudah-mudahan segala amal ibadat kita selama ini dan akan datang diterima Allah. Moga Allah beri kesihatan yang baik untuk anda dan saya supaya kita sama-sama dapat menunaikan ibadat puasa dan ibadat lain dibulan yang mulia ini dengan sempurna dan diterima Allah.

Kepada rakan saya Salina yang kehilangan adik bongsu beliau pada hari semalam akibat kemalangan jalanraya....moga Salina sekeluarga tabah hadapi ujian Allah lebih-lebih lagi ia berlaku 2 hari sebelum ramadhan.


Pada pagi tadi saya buat nasi lemak....satu masakan yang dah lama saya tak buat sejak diet dahulu. Hari nie saya buat nasi lemak dengan mengunakan resepi dari buku Dunia Masakan Chef Sabri. Resepi nasi lemak nie ada kelainan sikit sebab ia ditumis dengan butter dan dimasukkan halba. Jom kita lihat resepinya....sebelum tu biar saya berikan sedikit komen.....nasi lemak nie memang sedap sebab ada kelainan dan wangi halba menjadikan ia lebih istimewa.





NASI LEMAK UTARA

Sumber: Buku Dunia Masakan Chef Sabri

Photo & Publish by resepidaria.com


Bahan-bahannya:-


5 cawan beras Super A1

4 cawan santan cair (saya guna air sahaja sebab guna santan kotak)

2 cawan santan pekat (saya guna santan kotak)

3 sudu makan mentega

20gm halia (dititik)

80gm bawang besar (dititik)

10gm bawang putih (dititik)

5 gm halba campur

1 helai daun pandan (diikat)

2 sudu makan garam

2 sudu makan gula


Cara-caranya:-


1. Panaskan mentega dan tumis bawang, halia, halba campur, daun pandan hingga naik bau

2. Masukkan beras dan kacau hingga rata

3. Masukkan santan, garam dan gula. Tanak sehingga masak.


SAMBAL TUMIS IKAN BILIS/SOTONG/UDANG/SARDIN


Bahan-bahan:-


200gm ikan bilis/sotong/udang (saya guna sardin)

2 biji bawang merah (dikisar)

2 ulas bawang putih (dikisar)

4 sudu makan pes cili (cili kering yang telah siap diblender)

1 biji bawang besar (dipotong bulat)

1 sudu kecil belacan (saya tak bubuh)

4 sudu makan minyak masak

8 sudu makan air asam jawa

1/2 sudu makan garam

2 sudu makan gula


Cara-caranya:-


1. Panaskan minyak masak. Kemudian tumis bawang putih dan bawang merah hingga naik bau.

2. Masak pes cili, kacau hingga pecah minyak

3. Masukkan ikan bilis, air asam jawa, belacan, bawang besar dan reneh selama 10 minit.

4. Masukkan garam dan gula secukup rasa.

Fruit Tartlets



Hari jumaat lepas, saya belajar buat tartlet. Sebelum nie ada cuba jugak buat tartlet berdasarkan resepi dari internet tapi ia tidak begitu menjadi.......resepi dah ok cuma teknik yang kurang betul menyebab tartlet saya agak lemau bila inti kastad dimasukkan dalam tart shell. Selalunya bila saya buat dan hasilnya kurang memuaskan....saya tak publishkan dalam blog. Alhamdulillah, jumaat lepas dapat berpeluang menyertai kelas masakan yang bukan dikendalikan oleh chef tetapi oleh staff kami sendiri. Bayaran hanya RM5 sebab bayar untuk bahan-bahan masakan sahaja. Ilmu yang dikongsikan adalah sangat-sangat bernilai sebab banyak tips-tips diberikan....ilmu yang dikongsi secara ikhlas oleh Pn Mariyam atau Mak Yam. Terima kasih buat Puan Maryam....ilmu masakan yang dikongsikan sebagai sumbangan terakhir beliau sebelum bersara bulan hadapan.



Saya kongsikan resepi yang diperolehi dari Puan Maryam kat blog nie. Anda boleh mencuba resepi nie....resepi mudah dan senang dibuat. Hasilnya amat memuaskan hati.....kulit tart ranggup dan kastard dikombinasikan dengan buah-buahan menghasilkan rasa yang sangat enak. Tak rugi mencuba resepi nie.


FRUIT TARTLETS/TAT BUAH-BUAHAN

resepi disumbangkan oleh Pn Maryam

photo & Publish by resepidaria.com.my


Bahan-bahanya:-

A) Bahan Pastry

250gm butter (biarkan pada suhu bilik)


500gm tepung gandum (ayak banyak kali)


100gm gula icing (kurangkan kepada 50gm sahaja sbb buah2an dah manis)


1 tsp esen vanilla


2 biji telur (biarkan pada suhu bilik)



Cara membuatnya:-


1. Ayak tepung bersama gula icing beberapa kali


2. Masukkan butter dan ramas sehingga jadi serbuk roti.


3. Masukkan esen vanilla dan gaul rata.


4. Pecahkan telur dalam bekas lain dan pukul mengunakan whisk tangan sehingga kembang


5. Masukkan telur kedalam bekas tepung dan gaul sehingga menjadi doh yang lembut.


6. Panaskan oven dengan kepanasan 180 c (bergantung pada oven anda) api atas bawah.


7. Ambil sedikit doh dan bentukkan dalam acuan tartlet sebelum dibakar selama 10-15 minit atau sehingga ianya perang (bergantung kepada oven anda)


8. Tart shell boleh dibuat terlebih dahulu dan disimpan dalam bekas kedap udara.


Nota:-


- Tujuan tepung diayak berkali-kali bersama gula icing adalah untuk mendapatkan kulit tart yang cantik dan licin. Jika kulit tart nampak mengerutu....itu bermakna bancuhan doh anda tidak begitu menjadi.


- Pastikan butter dan telur berada dalam suhu bilik sebelum digunakan. Jangan terus guna butter atau telur yang dikeluarkan dari peti ais. Jika guna buttercup, sila masukkan sedikit garam dalam bancuhan. Jika guna butter jenama lain....tak perlu masukkan garam.



B) Custard


1 biji telur


200gm gula halus


2 sudu makan custard (pastikan ia bumbun)


1/2 kotak susu segar / 500ml susu segar


Cara-caranya:-


1. Pukul telur bersama gula sehingga kembang. pukul guna whisk tangan sahaja. Tak perlu sampai gebu....cukup sehingga kembang sahaja.


2. Masukkan custard dan kacau sehingga rata


3. Masukkan susu segar dan kacau rata


4. Masukkan bahan-bahan yang disatukan ini kedalam periuk dan masak atas api dengan api sederhana.


5. Kacau perlahan-lahan sehingga berkilat dan kelihatan pekat.


6. Angkat dan terus sudukan kedalam kulit tart dengan segera kerana custard cepat mengeras.


7. Susun buah-buahan hiasan diatasnya.



8. Jika ingin berkilat, sapukan kunyaku jelly yang dicairkan atas buah-buahan (optional sahaja)


C) Buah-buahan hiasan









- Semua jenis buah-buahan dengan warna yang di sukai seperti strawberry, anggur, kiwi, nenas dan buah-buahan dalam tin seperti buah peach.



- Susun buah atas custard untuk hiasan



- Letakkan tart atas kertas cupcake.

Saturday, July 30, 2011

komputer baru






Alhamdulillah....akhirnya saya dapat jugak tengok siapa follower blog saya. Sebelum nie saya langsung tak boleh tengok siapa yang jadi follower blog saya samaada kat laptop atau komputer kat pejabat. Bila jabatan saya tukar komputer baru Dell (hari khamis lepas), barulah saya dapat lihat siapa follower saya. Terima kasih kepada anda yang sudi menjadi follower blog saya. Walaupun bilangan follower blog saya tidak banyak....saya dah amat-amat gembira dengan kesudian anda. Insyaallah.....jika ada masa saya akan melawat blog-blog follower ini (yg mana ada blog). Komputer pejabat sahaja yang membolehkan saya nampak senarai follower.....jadi faham2lah kalau ofis....hanya masa rehat sahaja saya boleh jenguk blog.


Saya mintak maaf jika tak dapat menjawap sapaan anda di shoutmix. Internet kat komputer ofis tertakluk kepada web marshall so ada yang di sekat jadi shoutmix adalah salah satu daripadanya.

Friday, July 29, 2011

Cekodok Durian

Salah satu kebaikkan bila membekukan isi durian, kita boleh makan bila-bila masa. Sekarang musim durian jadi durian banyak dan murah....saya ambil kesempatan untuk membekukan isi-isi durian dalam zip lock bag yang kecil. Bila rasa nak makan cuma keluarkan dan defros sahaja. Pagi tadi saya keluarkan isi durian ini dan buat cekodok durian.




Resepi simple saja.....semua orang buat cara yang sama. Saya bancuh dan terlupa nak sukat so saya tak boleh nak bagi resepi detail.


Cekodok durian


Bahan-bahannya:-


2 cawan tepung berserbuk penaik

4-5 ulas isi durian

2 sudu makan gula (tambah atau kurang ikut selera anda)

1/2 tsp garam

1 biji telur

air secukupnya.

Minyak untuk mengoreng


Cara-caranya:-


1. Masukkan tepung dalam bekas. Masukkan isi durian, pecahkan telur, gula dan garam

2. Bancuh kesemua bahan dengan air secukupnya.

3. Pastikan ia tidak terlalu cair dan pekat. Kena agak-agak lah ye sebab saya tak sukat air

4. Biarkan ia rehat sebentar

5. Mengunakan jari, jemput sedikit bancuhan dan masukkan kedalam minyak yang telah dipanaskan. Buat sampai habis. Goreng sehingga keemasan dan angkat.

Wednesday, July 27, 2011

durian dan kejujuran

Saya adalah pengemar durian, selama lebih 2 minggu berpantang dan tidak menjamah durian....sabtu lepas bila balik ke kampung saya memang nak makan sangat-sangat durian sebelum bulan puasa. Saya tak pandai pilih dan beli durian.....sentiasa kena tipu....buah tak elok....buah yg dah lama. Mengidam sungguh nak makan buah yang baru luruh dari pokok. Kat kawasan rumah dikampung ada sebatang pokok durian.....berbuah tak begitu lebat hanya dalam 20 biji sahaja tahun nie. Selalunya sebelum ini kami tidak merasa buah durian nie sebab tupai kacau tapi tahun nie bila adik saya kahwin....adik ipar saya jenis ringan tulang telah memasang orang-orang atas pokok dan mengantung tin-tin kosong.....bila nampak tupai datang ke pokok dia cepat2 tarik tali tin dan bunyi kuat dari tin2 kosong telah menakutkan tupai2. Jadi dapatlah kami merasa buah durian tahun nie. Nasib saya kurang baik sikit.....ketika saya balik hanya ada 2 biji sahaja buah yang tinggal dan sempatlah merasa sebiji durian yang betul2 luruh pada pagi sabtu tu.....jadi tercapailah impian saya nak makan buah yang baru luruh dari pokok walaupun hanya sebiji.



Kiut tak orang-orang atas pokok tu.
Inilah isi buah durian tu. Dapatlah saya merasa sebiji durian dari pokok yang ditanam oleh arwah ayah saya. Arwah ayah tanam banyak pokok durian di ladang kami dan selalunya kami tak dapat merasa walau sebijik pun durian tersebut sebab ia sentiasa dicuri. Jarak ladang dengan rumah lebih kurang 30 minit so bila sampai diladang kami hanya dapat tengok kulit durian sahajalah.




Saya tak puas makan durian.....petang tadi seorang rakan sepejabat telah mengajak pergi ke Pasar Malam Paya Jaras, Sg Buloh. Memang diakui buah-buahan dan makan kat pasar malam nie sangat murah. Saya beli durian yang dijual 3 biji RM10. Banyak betul durian dijual disini begitu juga dengan tempoyak. Seperti biasalah saya nie akan percaya pada penjual durian.....saya kata tolong berikan saya buah yang elok ye. Yelah bangsa sendiri takan nak tipukan.....ingat macam tulah tapi saya lupa yang susah nak jumpa orang jujur tak kiralah warna apa kulit mereka.


Inilah durian yang dibeli 3 biji RM10, masa dia tetak dan tunjukkan isi durian pada saya memang nampak cantik.....kuning elok sangat. Saya pulak tak pegang tengok keseluruhan buah durian tu....rupanya dibahagian bawah durian atau bahagian kulit yang dipegang oleh penjual tersebut adalah tak elok.
Bahagian bawah yang rosak nie telah ditutup dengan tangan penjual bila dia pegang dan tunjuk pada saya. Penjual durian tu hanya tunjukkan isi yang elok yang telah ditetak tapi bahagian rosak nie dia tutup.
Bila saya bukak durian tu maka inilah hasilnya. Hampir kesemua durian yang saya beli jadi macam nie....hanya dapat beberapa ulas sahaja yang elok. Memang isi duriannya elok dan tebal tapi apa gunanya jika hanya beberapa ulas sahaja yang elok....penat bawah balik kulit durian sahaja.


Ada sesetengah isi durian tu dah berair sebab dah lama sangat....mujurlah saya hanya beli RM20 sahaja so taklah terkilan sangat. Saya ambil isi durian yang elok dan masukkan dalam zip bag kemudian masukkan dalam peti ais untuk dibekukan. Saya sengaja beli durian banyak sebab nak simpan beku dalam peti supaya senang nak buah kuih, kek dan aiskrim bila perlu sementara musim durian tengah banyak. Saya pernah pilih durian yang paling mahal tapi tetap dapat yang tak elok jugak.....susah sungguh nak dapat penjual durian yang betul-betul jujur.



Bercakap tentang jujur.....hari ini saya berpeluang mengetahui kisah berkenaan kehebatan seorang pegawai akaun yang telah menyeleweng duit syarikat berjumlah RM500 ribu selama 3 tahun tanpa disedari oleh pengarah syarikat. Bijak betul perempuan nie, setiap minggu dia akan masukkan cek bernilai lebih 2 ribu dalam akaun suami beliau. Pengarah syarikat menunjukkan lapuran polis yang dibuat terhadap pegawai akaun tersebut kepada saya....bila saya baca rasa macam tak percaya begitu mudah perempuan tu ambil duit dan pengarah baru perasan setelah 3 tahun. Tahun pertama dia songlap RM253 ribu, tahun kedua RM235 ribu dan tahun ke 3 hanya RM90 ribu.....perbuatan terhenti bila pengarah sedar. Ini syarikat melayu dan pegawai akaun tu juga perempuan melayu.....inilah akibatnya jika terlalu percayakan orang. Buat laporan polis tapi sampai sekarang kes tak settle...perempuan tu hilang entah kemana. Laporan tu hanya untuk tuntut kerugian perniagaan sahajalah.



Adik perempuan saya juga terkena begitu. Dia nie ada bisnes tadika. Dia terlampau sibuk sehinggakan serah bulat-bulat hal-hal pejabat pada pembantu beliau yang dah kerja 3 tahun. Selalu adik saya puji perempuan nie sebab kata adik saya dia nie boleh diharap dan jujur. Tahun lepas adik saya kecoh sebab pekerja dia nie hilang bersama-sama dengan kutipan yuran kemasukan tadika yang berjumlah lebih RM10 ribu. Lepas pekerja dia hilang....barulah dia semak akaun dan buku kutipan.....rupanya bukan setakat RM10 ribu sahaja yang dikebas tapi tiap-tiap bulan sebanyak RM500 di kebas selama 3 tahun tanpa disedari. Buat report polis tapi hingga kini perempuan tu tak dijumpai.


Mencari manusia yang jujur macam nak cari sebutir belian dalam pasir. Kerja saya pulak sering menemukan saya dengan manusia-manusia menipu.....walaupun pengalaman mengajar saya membaca gerak geri badan mereka ketika bercakap atau peluh yang membasahi tapak tangan bila bersalam dengan saya tapi hingga kini saya masih belum mahir mengenal penipu.

Tuesday, July 26, 2011

Roti Arab

Ketika pertama kali mengenali myresepi, inilah resepi yang mula-mula sekali saya cuba buat. Beberapa kali saya dah buat sebelum ada blog lagi. Semalam saya buat sekali lagi sebab ada kari ayam bekalan dari kampung. Resepi yang mudah dan sedap lebih-lebih lagi kalau makan ketika ia masih panas-panas bersama kari ayam atau daging.


Terima kasih buat Sofinar yang berkongsi resepi roti arab nie. Saya buat hanya separuh adunan jadi saya tulis resepi untuk 250gm tepung sahaja.




Roti Arab



Resepi sumbangan Sofinar@myresepi (Sila kesini untuk resepi asal)


Photo & Publish by resepidaria.com

Bahan-bahannya:-


1 sudu besar mentega


1 sudu besar minyak masak


1 sudu besar gula halus @ castor


150 ml air suam


3 gm yis segera atau mauripan


250gm tepung gandum


Cara-caranya:-


1. Masukkan tepung dalam bekas. Masukkan yis, mentega, gula dan minyak. Gaul rata sehingga menjadi seperti serbuk.


2. Kemudian barulah masukkan air suam dan uli sehingga ia tidak melekat ditangan dan dibekas.


3. Masukkan doh tadi dalam beg plastik, dan uli sekali lagi sehingga ia kental.


4. Biarkan doh dalam beg plastik yang tertutup selama 1 jam


5. Keluarkan doh dari beg plastik dan uli semula sekejap.


6. Timbang 45gm dan bulat-bulatkan (bancuhan ini boleh dapat 9-10 ketul)


7. Taburkan sedikit tepung atas papan pencanai dan canai doh nipis lebih kurang 0.4 cm


8. Panaskan minyak dan goreng sebiji-biji. Tunggu sehingga roti kembang dan mengelembung sepenuhnya serta nampak kekemasan dibahagian bawahnya barulah diterbalikkan.


9. Angkat dan hidangkan bersama kari ayam atau daging


Nota:-

- Pastikan api yang digunakan adalah sederhana. Jika terlalu panas, kulit kuih kelihatan mengerutu dan kuih tidak memgembung sepenuhnya.


- Pada awal saya guna pan untuk mengoreng tapi bila saya dapati ia tidak mengelembung saya tukar kepada wok (kuali), barulah kuih mengembung dengan cantik.

Monday, July 25, 2011

Sup Ikan Haruan


Sabtu lepas saya balik ke kampung di pahang. Emak saya juga balik ke sana. Kali nie adik perempuan saya yg di perak datang dan bawa saya balik. Sesampai di kampung....puas jugak lah tahan telinga dengar mak membebel sebab buat operation tanpa bagitau kat dia. Dia minta adik saya pergi beli ikan haruan dan buat sup untuk saya. Wahhhhh terharu sungguh masa tu. Resepi sup nie simple je cuma lebihkan lada hitam dan halia sahaja....so tak perlulah tulis.


Sunday, July 24, 2011

Aiskrim Coklat

Aiskrim coklat nie saya buat masa dalam tempoh mc minggu lepas.....bila duduk saja tanpa buat apa-apa kat rumah....otak asyik ingat nak makan saja. Nak pergi ke kedai masih tak berani bawak kereta so selongkarlah kabinet cari apa-apa yang boleh dijadikan bahan kudapan. Terjumpa 1/2 pek coffemate (rasanya dah hampir setahun tersimpan)....terus teringat pada resepi aiskrim simple yang disumbangkan oleh Afizaz93 kat MyResepi.




Sebenarnya ini percubaan pertama saya buat aiskrim.....hasilnya memang tidak menghampakan. Sedaaaaap sangat macam aiskrim yang dibeli dikedai. Yang pasti saya makan non stop....kejap2 bukak peti (mengalahkan budak kecik). Resepi nie simple sahaja tapi hasilnya tidak mengecewakan. Jika nak buat aiskrim lagi saya akan tetap mengunakan resepi nie tapi saya akan tambah sedikit halal gelatin supaya ia lebih gebu dan tidak terlalu mudah cair.






Aiskrim Coklat


Resepi sumbangan Afizaz93 (boleh rujuk disini untuk resepi asal)

Photo & Publish by resepidaria.com




Bahan-bahannya:-




2 cawan susu perisa coklat (atau perisa lain yang anda suka)

2 cawan coffemate




Cara-caranya:-



1. Campurkan susu dan coffemate kedalam bekas mixer.

2. Putar dengan kelajuan sederhana sehingga campuran susu kelihatan gebu

3. Masukkan kedalam bekas bertutup dan masukkan kedalam tempat beku selama 3-4 jam.

4. Apabila ia hampir separuh beku, keluarkan aiskrim tersebut dan kemudian masukkan semula kedalam bekas mixer dan putar lagi sehingga ia gebu (dalam 10-15 minit rasanya).

5. Bila sudah nampak gebu.....masukkan semula kedalam bekas bertutup tadi dan masukkan kedalam tempat beku.

6. Biarkan semalaman sebelum boleh dimakan.

Nota:-

- Untuk lebih rasa coklat, anda boleh cairkan sedikit coklat masakan dan campurkan kedalam susu coklat.

- Tak perlu masukkan gula kerana susu dan coffemate sudah manis.

- Untuk perisa lain, anda boleh guna susu perisa strawberry. Jika hendak buat aiskrim perisa durian, guna susu putih dan kemudian blenderkan isi durian bersama susu.

- Anda boleh masukkan 1 sudu teh gelatin sayuran halal yang telah direndam dengan sedikit air dalam bancuhan susu supaya aiskrim tidak mudah cair apabila dihidangkan dan ia lebih gebu

Thursday, July 21, 2011

Roti berinti coklat

Selama tempoh 10 hari 'berehat' dirumah, saya memang jadi tak senang duduk.....nak memasak tidak digalakkan so saya carilah sesuatu masakan yang tidah memerlukan saya mengeluarkan tenaga dan tidak memerlukan menyebabkan mata pedih. Kebetulan pulak roti sandwich saya dah habis.....nak keluar kekedai...tak boleh sebab tak boleh nak drive. Saya decide untuk buat roti berinti coklat. Inti coklat nie dah lama saya buat masa tempahan apam dot-dot tempohhari. Saya tak boleh guna sebagai inti dalam apam dot-dot sebab selepas apam dikukus inti akan melimpah keluar. Roti nie sedap......pengunaan telur kuning yang banyak menyebabkan ia rasa lebih berlemak dan memang bestlah.


ROTI BERINTI COKLAT
sumber : NCC-Indonesia.com
Photo & Publish by resepidaria.com



BAHAN A:

500 gram tepung gandum protein tinggi atau tepung roti
100 gram gula
11 gram ibu roti/ragi segera (1 pek mauripan)
1/2 sudu teh bread improver
4 biji kuning telur
200 ml air sejuk (air dari peti sejuk)

Bahan B:

100 gram mentega/margarine
5 gram garam


Bahan C:

100 gram inti coklat

Cara-cara membuatnya:

1. Satukan semua bahan A, uli sehingga bergumpal-gumpal kemudian barulah dimasukkan bahan B, uli sehingga menjadi elastik. Biarkan sebentar selama 20 minit.
2. Kempiskan adunan….tumbuk-tumbuk adunan untuk membuang angina dan kemudian potong serta timbang 40gm. Bulat-bulatkan sehingga habis semua adunan. Rehatkan selama 10 minit.
3. Ambil satu doh yang telah dibulat tadi dan kemudian leperkan. Masukkan inti coklat kedalammnya dan tutup rapat. Pastikan anda menutup rapat doh supaya inti tidak terkeluar semasa anda membakar. Jika perlu sapukan sedikit air sebelum mencantumkan doh anda bagi memastikan ia benar-benar ditutup rapat. Buat habis untuk semua doh.
4. Rehatkan semua doh anda yang telah di isi dengan inti coklat selama 45 minit atau sehingga 60 minit (bergantung kepada kehangatan suhu ditempat anda). Setelah melihat ia mengembang, sapukan diatasnya dengan bancuhan kuning telur atau supaya ia nampak cantik anda boleh sapu dengan susu cair. Taburkan dengan chocolate rice diatasnya sebagai hiasan (optional)


5. Bakar selama 20 minit, suhu 180 C sehingga berwarna keemasan. Angkat.

Note:-

- Untuk inti coklat saya hanya panaskan sebentar 50gm UHT whipping cream dan kemudian angkat dan masukkan 250gm coklat masakan yang telah dihiris-hiris halus. Kacau sehingga coklat cair dan kemudian sejukkan. Anda boleh mendapatkan resepi inti coklat dari blog masakan yang lain.

makluman

Saya cuma nak memaklumkan kepada anda bahawa sebelum ini blog saya nie ada dua iaitu resepidaria.blogsopt dan resepidaria.com. Pada 28hb Jun yang lepas, saya telah menutup blog resepidaria.com (asal) dan menukar url resepidaria.blogspot kepada resepidaria.com (duplicate dot com yang asal dengan blogspot). Akibat pertukaran url ini saya telah kehilangan senarai nama-nama blog dalam blog list. Kehilangan blog list ini tidak disengajakan oleh saya.....ia terdelete semasa proses menukarkan url blogspot kepada dot com.


Adalah diharapkan mana-mana blog rakan-rakan blogger yang dahulunya dalam blog list saya tetapi kini tiada.....janganlah kecil hati. Saya bukan sengaja dan untuk mendapatkan kembali alamat url anda kembali memang memakan masa sedikit dan hanya beberapa alamat url blog yang berjaya saya masukkan kembali dalam blog list saya.

Wednesday, July 20, 2011

Alhamdulillah....saya dah sihat

Alhamdulillah saya dah sihat selepas 10 hari berkurung dalam rumah. Boring tak payah nak cakaplah.....kerja tidur makan tidur aje. Esok dah masuk kerja.


Hari isnin masa operation, jam 7.30 pagi saya dah masuk wad. Jam 8.30 barulah doktor bius datang memeriksa saya. Jam 9.00 pagi barulah saya disorong masuk kedalam operation theater (OT). Kat OT, saya berbaring kat katil sambil tunggu turn untuk operation. Jam 10.15 pagi barulah saya ditolak masuk ke bilik pembedahan. Suntikan bius dibuat pada tangan kiri saya (sebenarnya operation mata nie adalah pada mata kiri bukan kanan seperti yg saya nyatakan dalam entry sebenlumnya....saya confius). Selepas tu saya dipengsankan.....saya dah tak sedar apa yang berlaku selepas tu....yang saya ingat, doktor kejutkan saya dan beritahu bahawa semua dah selesai dan mereka akan tolak saya keluar dari bilik OT.


Saya ditolak masuk ke wad semula.....rasanya dalam jam 11.30 pagi sebab saya sempat tengok jam dalam bilik OT. Kat dalam wad, saya dibaringkan dikatil no 1 yang berhampiran dengan pintu masuk. Dalam bilik tersebut, ada perempuan tua berbangsa cina juga turut menjalani pembedahan.....dia nyenyak tidur, dan bertentangan dengan katil saya ada wanita tua berbangsa india yang sedang tunggu turn untuk pembedahan. Ada dua orang anak perempuan dia teman wanita tersebut. faham-faham saja apa yang saya nak sampaikan.....bising mulut mereka bercakap bergema satu bilik wad. Bercakap tak berhenti-henti....semua cerita keluar sampaikan cerita nama anak David dan Victoria Beckham pun terkeluar. Saya nie walaupun tak boleh bercakap dalam bahasa tamil tapi saya faham bahasa tamil. Memang betul-betul menganggu saya.....saya nak panggil nurse tapi saya tak mampu keluarkan suara sebab saya masih dalam bius....saya letih....saya mengantuk yang amat sangat tapi saya tak boleh pejamkan mata sebab diganggu oleh mereka nie. Lama sungguh baru mereka senyap....itupun lepas nurse datang mabil mak mereka untuk dibawa ke OT, ingatkan lepas mak mereka pergi ke OT mereka nie keluarlah dari wad tapi tak jugak masih duduk kat situ berbual.....kalau tak berbual merekla pasang filem atau lagu kat handphone.....masih bising. Saya langsung tak boleh tidur wp mengantuk yang tak terhingga.


Jam 2.20 petang, nurse datang ke katil saya dan beritahu bahawa rawatan saya ditanggung insuran tapi sampai setakat 4 petang sahaja. Bermalam diwad tidak ditanggung oleh insuran.....bila dengan nurse kata begitu saya pun mintak handphone yang disimpan oleh mereka. Saya call rakan sekerja untuk ambil saya. Saya malas nak call insuran atau bertekak dengan pegawai insuran sebab saya dah terlalu letih......saya terlalu mengantuk. Kawan saya pulak buat panik......kecoh pulaklah....lagilah saya serabut, dahlah saya serabut duduk kat wad.....dia pulak buat kecoh. Sebelum operation saya minta supaya bermalam sebab saya tahu setiap 30 minit.....nurse terpaksa check tekanan darah saya tapi bila nurse bagitau yang insuran tak cover kos wad bermalam maka saya terpaksa balik......bukan saya mintak......saya tak faham kenapa saya mesti bersoal jawap dengan kawan saya nie.....masa tu terkecil hati sangat-sangat sebab terasa saya nie menyusahkan mereka.


Jam 5.30 petang saya sampi ke rumah......saya naik lif dengan mata tertutup sebelah, dalam lif bersoal jawaplah pulak dengan beberapa orang penghuni apartment yang ada sekali dalam lif. 'Sakit apa nie.....baru lepas operation ke....kenapa u balik....u ok ke sorang-sorang berjalan nie". Dah tentu saya tak ok....saya masih dalam bius....mata saya pulak tertutup sebelah....saya berjalan terhoyong hayang....ingatkan ada yang nak tolong pegang saya hantar sampai kedepan rumah sebab nampak beria-ia sangat bertanya tapi tidak jugak. Saya bukak pintu rumah.....masuk saja dalam rumah saya terpandang lantai dapur saya basah bertakung air. Saya terus kedapur....rupanya saluran sinki saya bocor dan air melimpah keluar membasahi kabinet. Saya yang terkejut tengok keadaan dapur.....terlupa sebentar keadaan diri saya......terus saya bukak pintu kabinet sinki dan keluarkan semua barang-barang dalam kabinet termasuk lesung batu yang berat....saya angkat keluar dan lap air yang bertakung atas lantai kabinet. ila semua selesai baru saya teringat.....saya baru lepas operation dan salah satu pantang yang saya kena jaga adalah tidak boleh angkat benda-benda berat.....alamak....terduduk saya depan kabinet tu.


Saya masuk ke bilik dan terus tidur......saya tak sedar pukul berapa saya terjaga sebab terlalu mengantuk. Bila terjaga.....saya tukar pakaian dan jawap sms rakan yang bertanya khabar diri saya dan kemudian tidur kembali sehingga pagi. Esoknya jam 7 pagi saya dah ada kat kerusi tempat menunggu di Hospital Tun Hussein Onn. pagi nie saya kena bukak balutan mata saya dan doktor akan tengok samaada pembedahan tu ok atau tidak. Balutan dibuka....saya rasa gatal dan berdenjut-denjut.....nurse bersihkan kesan-kesan ubat dan letakkan ubat dimata saya. Doktor check dan kata ok tak ada apa-apa....dia bagi MC selama 10 hari. Selama 10 hari saya kena berehat, tidak boleh angkat benda2 berat, tidak boleh memasak, tidak boleh memandu, tidak boleh membasuhkan rambut atau kepala.....hanya guna air suam untuk lap bahagian mata dan muka saya, boleh menonton TV tapi hanya terhad sejam sahaja dan sembahyang secara duduk sebab saya tidak boleh membongkok atau menunduk.


Selama 10 hari saya seorang diri berada dirumah....hari pertama dan kedua, rakan sepejabat datang melawat. walaupun tidak dibenarkan masak tapi saya kena makan kan.....so saya terpaksa jugak masak.....hanya rebus-rebus sahaja, saya tak berani menumis atau menghiris bawang. Hari sabtu saya call adik ipar saya dan mintak dia datang. Alhamdulillah adik ipar saya datang dan tolong membasuh rambut saya.....lega rasanya sebab seminggu rambut tak berbasuh. Saya cuba keluar dari rumah....saya ke Ikea bersama adik saya....masa nie keadaan mata saya sakit mungkin sebab sinaran cahaya terang dan kali pertama saya keluar melihat cahaya. Mata berdenyut-denyut dan mula gatal.....rasa nak gosok aje....peritnya. Walaupun berkaca mata hitam tapi saya tak selesa. Mujur sekejap sahaja.....kemudian saya balik kerumah. Lepas tu saya dah tak keluar-keluar lagi kecuali tadi saya turun dan berjalan sekitar kawasan apartment ambil ambil udara segar setelah beberapa hari berkurung dalam rumah.


Hari nie saya memberanikan diri untuk menatap skrin komputer lama sikit dan menulis entry nie. Sebelum nie saya hanya bukak 15 minit sahaja baca email atau komen yang anda semua tulis. Terima kasih banyak-banyak kepada yang sudi mendoakan saya.

Sunday, July 10, 2011

Eye Surgery

Esok saya akan menjalankan pembedahan mata kat Hospital Mata Tun Hussein Onn (THOH). Baru sebentar tadi staff THOH menelefon mengingatkan saya supaya mula berpuasa pada jam 12 tengah malam dan esok padi jam 7.30 pagi saya harus berada di hospital. Ini adalah operation ke dua yang saya buat. Kali pertama saya buat dalam tahun 2000, ketika tu pembedahan dilakukan tanpa bius....saya nampak apa yang doktor buat pada mata kiri saya....memang amat nyeri terutama bila melihat semua objek-objek tajam dihalakan ke anak mata....lepas sahaja pembedahan tu saya menjadi takut untuk buat pembedahan seterusnya iaitu untuk mata kanan. Ketika tu saya harus jalankan pembedahan untuk mata kanan selepas 3 tahun dari tarikh pembedahan mata kiri. Kini setelah 10 tahun berlalu, barulah saya memberanikan diri untuk perhi semula ke THOH bagi menjalankan pembedahan mata kanan. kali nie saya minta supaya dibius pengsan kerana saya terlalu takut untuk menjalankan pembedahan tanpa bius.


Ini bukan pembedahan mata kerana katarak atau lasik, tapi ia adalah disebabkan oleh sejenis ketumbuhan yang berada dimata putih saya. Akar ketumbuhan tersebut telah menjalar ke anak mata hitam. Dua minggu lepas tompokan akar-akar ketumbuhan tersebut membengkak dan mata saya mula berdarah. Masa tu memang malu nak berjumpa dengan orang sebab mata saya merah seperti orang sakit. Saya jumpa doktor biasa dan beliau menyatakan bahawa pendarahan dalam mata itu tidak merbahaya tetapi menasihatkan saya supaya membuang akar ketumbuhan yang nampak telah memasuki anak mata hitam saya. Saya tak ingat nama penyakit saya nie....terlalu panjang dan sukar untuk disebut dan diingati. Doktor hanya sebut ketumbuhan sahaja.


Kos pembedahan dalam tahun 2000 hanya RM800 sahaja tapi sekarang kosnya meningkat kepada RM4000. Hanya untuk satu mata sahaja.....doktor maklumkan bahawa mata kiri saya juga perlu dibedah sekali lagi. Mujur kos pembedahan tersebut ditanggung insuran.


Saya dah selesai mengemop lantai rumah, memasak sup untuk seminggu dan peti ais dan kabinet saya dah penuh dengan stok makanan untuk seminggu. Lepas pembedahan, saya akan berada dirumah seminggu dan berpantang. Tak boleh angkat barang-barang berat dan buat kerja berat. My friend tanya kenapa tak call family saya dan minta tolong mereka uruskan. Saya tak beritahu sesiapa tentang hal pembedahan nie...malah saya tanya doktor samaada saya boleh drive kereta lepas operation. Doktor terkejut dan kata ' heyyyy....u baru lepas buat operation dan masih dalam bius....mana boleh drive". Wah....sebab tak boleh drive maka saya terpaksa menyusahkan driver ofis dan rakan sekerja untuk ambil saya dihospital dan bawa saya balik ke rumah. Kalau boleh saya nak buat sendiri tapi nampaknya kena susahkan orang jugak. Doakan pembedahan saya berjalan lancar dan tiada komplikasi.

Pajeri Rebung Madu




Rebung madu yang dibekalkan oleh mak saya masih tidak terusik langsung dalam peti ais sejak sebulan yang lalu. Petang semalam, saya buat pajeri rebung madu bersama udang. Makan pulak dengan nasi panas dan ikan perkasam goreng....huhhhhh sedap sungguh. Selalunya rebung madu hanya dibuat kari tapi kali nie saya buat pajeri. Pertama kali makan pajeri rebung ketika makan malam dirumah kawan baik saya iaitu Rosni yang kini dah berpindah balik mengajar di Kedah.




Pajeri Rebung Madu Bersama Udang


Resepi oleh bdaria/resepidaria.com




Bahan-bahannya:-


500-600gm rebung madu, dihiris nipis tanpa putus (sy guna rebung madu yg telah dijerukkan)


¼ biji kelapa, dibuat kerisik


1 cawan santan


3 sudu besar rempah kari daging


1 sudu besar udang kering


2 sudu besar gula


200gm udang segar




Bahan Tumis:

1 ketul kayu manis


2 biji bunga lawang


2 biji buah pelaga



Bahan kisar:


4 ulas bawang merah


2 ulas bawang putih


2 cm halia


Garam secukup rasa (jika perlu)


Minyak untuk menumis


Sedikit air




Cara-caranya:-


1. Bancuh serbuk kari dengan sedikit air sehingga jadi pes yang pekat.


2. Panaskan minyak dan kemudian tumis bahan kisar dan bahan tumis sehingga wangi. Masukkan bancuhan serbuk kari dan biarkan ia sehingga pecah minyak.


3. Masukkan udang kering, santan dan rebung madu. Tutup tudung periuk dan perlahankan api. Biarkan dalam 30 minit. Sekali sekala kacau supaya tidak hangit.


4. Masukkan kerisik dan gula, kacau rata. Masukkan udang segar.



5. Rasa dahulu sebelum anda masukkan garam sebab kadang-kadang rebung madu yang dibeli telah dijerukkan jadi ai telah masam dan masin. lainlah jika anda guna yang segar.



6. Bila telah masak, angkat dan hidangkan.




Nota:-




- Saya guna rebung madu yang telah dijerukkan sebab tu saya tak masukkan asam jawa dalam pajeri nie. Jika anda guna rebung yang masih segar, sila masukkan sedikit air asam jawa dalam pajeri anda.

Saturday, July 9, 2011

Peristiwa hari ini










Biar gambar-gambar ini saja yang berbicara tentang apa yang terjadi pada hari ini.


Jam 1.12 tengahhari tadi saya terima sms dari seorang rakan "Just heard rumour rubber bullets issued to riot cops. Hopefully they don't do anything stupid". Hari ini saya duduk seharian kat komputer sambil tunggu info terbaru......saya berdoa sangat2 supaya tiada yang cedera.




Gambar diambil dari SINI.

Cucur Jawa atau Cucuq Tuang lagi

Saya buat sekali lagi cucur jawa atau cucur tuang nie pada petang tadi. Percubaan kali pertama......... saya kurang puas hati sebab tidak lembut seperti yang sepatutnya. Percubaan kali kedua nie saya masih guna sukatan resepi yang sama tapi saya ubah jenis tepung beras yang saya guna. Dulu saya guna tepung beras cap tiga gajah tapi kali nie saya guna tepung beras cap teratai (macam kat gambar dibawah tu). Hasilnya.....memang lembut dan garing seperti yang saya kehendaki.

Saya guna sukatan resepi seperti kat sini. Saya cuma ubah gula merah kepada 1/2 mangkuk gula putih dan 1/2 mangkuk gula putih. Air pula saya tambah kepada 1/4 cawan lagi.


Inilah jenis tepung beras yang saya guna. Tepung beras cap teratai tapi bukan bunga teratai yang semuanya merah, cari yang berdaun hijau dan berbunga merah macam gambar nie. Dulu saya anggap tepung beras adalah sama saja tak kiralah cap apa pun tapi bila mak cik saya bagitau yang cap bunga teratai berdaun hijau nie amat sesuai digunakan untuk buat kuih jawa atau kuih peneram tapi cap teratai berdaun hijau nie tak sesuai digunakan jika nak buat apam beras....jika buat guna tepung beras cap ini apam tersebut tidak akan menjadi elok.

Saya cuba cari tepung beras cap bunga teratai berdaun hijau nie kat kawasan area Kota Damasara nie tapi tak jumpa. Yang ada hanya tepung beras cap teratai merah sahaja. Saya beli tepung beras nie kat kampung saya masa balik kesana minggu lepas.

Friday, July 8, 2011

Tempahan apam blossom

Saya nak berkongsi pengalaman pertama kali menerima tempahan buat apam blossom dalam kuantiti yang banyak dan di pack sebagai doorgift. Masa saya remaja dulu, mak saya selalu terima tempahan kuih muih dalam kuantiti yang banyak.....saya selalu bantu tapi selalu 'menyebai' atau buat perangai pelik bila penat....tapi mak saya cool aje bila tengok perangai teruk saya tu. Kali nie saya nak rasa sendiri pengalaman terima tempahan dalam kuantiti yang banyak begini. Tempahan nie adalah dari rakan sekerja saya yang adiknya akan bernikah esok.




Saya ambil cuti pada hari khamis. Operasi bermula dari petang rabu....lepas balik kerja dan bersihkan diri saya memulakan operasi. Mula-mula inti-inti yang akan digunakan nanti haruskah dibulat-bulatkan.....inti kelapa, inti kacang hijau dan inti kacang merah.





Inti kacang merah dan inti kacang hijau yang telah dibulat-bulatkan terlebih dahulu begitu juga dengan inti kelapa. Ia memudahkan kerja dan lebih cepat bila proses memasukkan inti dalam bancuhan.
Dengan bantuan dua pengukus trio ( saya kidnap pengukus mak saya) dan 6 keping tray muffin 24 hole saya memulakan operasi. Bermula dari jam 6.30 petang sehinggalah kepada 12.30 malam, saya hanya berjaya membuat 300 biji apam blossom. Saya packing 3 biji dalam satu plastik dan dapatlah 100 pack. Mata mengantuk sangat-sangat....dah tak sanggup nak teruskan.....saya masuk tidur.



Saya bangun pada jam 5.45 pagi dan setelah selesai sembahyang saya menyambung kembali operasi membuat apam blossom. Warna tema majlis perkahwinan adalah turquoise green......gabungan warna biru dan hijau. Hope my friend puas hati sebab nak dapatkan warna turquoise green yang tepat agak sukar sebab proses mencampur warna nie saya tak bijak sangat. Kawan saya kata dalam satu pack tu kalau boleh biarlah ada sebiji warna turquoise dan 2 biji lagi warna lain.




Saya lebih suka buat apam blosom nie mengunakan warna yang light....sebab kalau boleh saya tak nak masukkan pewarna yang banyak dalam makanan. Sebab tu saya suka buat dasar putih tanpa pewarna dan hanya dot-dot sahaja yang dibubuh warna.....sekurang-kurangnya pewarna hanya sedikit digunakan. Andapun tahukan bahaya pewarna dalam makanan.


Hope warna turquoise green ini menepati warna tema rakan saya....masa mengabungkan warna biru dan hijau kadang-kadang saya dapat warna turquoise green tapi kadang-kadang ia terlebih hijau. Saya membezakan inti-inti apam blossom dengan mengunakan warna. warna turquoise nie inti blueberry dan turquoise dot putih adalah inti kacang hijau.

Warna purple pink pula adalah untuk inti kelapa.

Warna kuning pula adalah inti kacang merah. Apa yang tak kena dengan bancuhan yang ini, saya pun tak tahu....sebab banyak yang 'tersengih-sengih' macam tu. Satu bancuhan untuk satu warna dan satu inti....mungkin bancuhan nie terlebih ovalet kot sebab tu dia jadi tersengih macam tu. Yang pasti yang tersengih tu saya tak pack.



Yang berwarna oren ini pula adalah inti chocolate chip. Saya suka apam blossom yang berinti coklat chip....sedap. Warna oren nie adalah gabungan warna kuning dan merah. Tak perlu beli warna yang banyak cukup ada warna asas seperti merah, kuning, hijau dan purple.



Dalam jam 3 petang baru selesai mengukus. Masa nie barulah saya masuk bilik untuk mandi dan sembahyang. Lepas aje siap.....saya mula buat packing. Tiga biji apam blossom untuk satu pack. Punyalah panik sebab takut tak cukup bilangan pack yang di kehendaki sebab terdapat 3 tray apam yang rosak (yg terkeluar inti sebab testing nak pakai inti coklat filling....bila kukus inti melimpah keluar). Kawan saya call kata dia lambat sikit.....saya rasa lega sangat sebab masih banyak yang belum dipack lagi. Jam 4.30 baru siap. lepas siap saya mengemas sikit barang-barang yang bersepah....nanti malu kat kawan sebab rumah dah jadi macam tongkang pecah. Jam 4.50 petang, kawan saya ambil tempahan dia. Alhamdulillah cukup-cukup saja kuantiti yang dia tempah.


Yang ini dibungkus dalam packing 18 biji.


Satu kotak besar doorgift apam blossom. 250 pack yang mengandungi 750 biji apam blossom bersaiz M (kecil sedikit daripada cawan lompang). Saya kukus 1000 biji apam blossom dengan mengunakan 2 pengukus trio dan sekali kukus 24 biji apam diperolehi. Sekarang anda boleh agak berapa lama yang diperlukan untuk menyiapkan 1000 biji. Ia mungkin nampak mudah tapi kerja remeh....dan perlukan ketelitian. Naik berpinar bijik mata saya duduk buat dot-dot kat atas apam tu.




Apa yang pasti.......saya terlupa makan sarapan dan makan tengahhari serta minum air. Bila kawan dah ambil tempahan dia barulah saya tersedar yang saya belum lagi makan....perut dengan tiba-tiba boleh lapar sampai badan mengigil. Dalam keadaan begini hanya makanan darurat saya yang mampu disediakan iaitu meggi direndam dalam air panas....yehhhhhh. Lepas sahaja tempahan diambil.....secara tiba-tiba badan jadi letih dan lemah......saya duduk disofa tidak bergerak-gerak sebab nak bangunpun dah tak larat.




Ini mungkin tempahan pertama dan terakhir yang saya akan terima dalam kuantiti yang banyak begini. Yang pasti saya amat kagum dengan kesabaran mak saya......inilah letih yang mak saya rasa dalam mencari rezeki membesarkan kami. Seronok jugak dapat pengalaman macam nie.


Sekatan Jalan Raya




Kesian benar kepada para pemandu yang terlibat dalam kesesakan jalan raya yang amat teruk malam nie. Gambar diatas adalah pemandangan dari tingkat rumah saya seksyen 7, kota damansara......lebuhraya sg buloh. Saya baru sampai dirumah dalam jam 9.50 tadi, terus ambil kamera dan ambil gambar nie. Sekatan jalan raya dilakukan di Sri Damasara, setiap kereta ditahan dan diperiksa dengan teliti oleh 4-5 orang anggota polis.....nasiblah sapa-sapa yang pakai t-shirt kuning malam nie ye. Bermula dari sri damasara, jalan jam sehingga ke sini.....dasyatkan. Kesian kat rakyat malaysia malam nie.


Saya tak nak komen apa-apa tentang tindakan atau peristiwa ini kerana silap-silap haribulan jenuh saya nak tepis serangan-serangan dari manusia yang tidak sependapat dengan saya....atau yang jenis tak boleh terima pendapat orang lain.

Monday, July 4, 2011

Masalah sosial

Dalam minggu lepas tak ada aktiviti masak-masak....kalau masak pun hanyalah bubur nasi atau maggi....kalau setakat macamtu malaslah nak dimasukkan dalam blog. Berat badanpun sekarang nie dah naik 4 kg...semua nie gara-gara duduk kat asrama. Dah mula study balik dan mulalah keluar segala macam jajan.....benda-benda yang mengemukkan badan.


Oleh kerana tak ada aktiviti masak-masak maka saya naklah bercerita sedikit. Sabtu lepas saya balik ke Pahang sebab nak 'kidnap' pengukus Trio mak. Setiap kali balik kampung je....mesti ada isu-isu terkini yang 'dilapurkan'....dan seperti biasa isu mengandung anak luar nikah menjadi perkara yang hangat....setiap kali saya balik mesti ada cerita anak sipolan nie dan anak sipolan itu dah beranak anak luar nikah....begitu kronik masalah sosial kat kawasan kampung sekarang nie.....menyedihkan.


Perkara terbaru.....adik ipar kepada adik saya yang baru berusia 18tahun mengandung anak luar nikah. Adik saya khabarkan berita nie kepada saya pada petang sabtu tu ketika kami berdua duduk berbual-bual kat tepi veranda.....tak lama kemudian adik ipar dia ni datang ke rumah. Budak perempuan yang bertubuh besar nie begitu girang sekali....tiada tanda-tanda susah hati diwajahnya.....masih ketawa mengekek-gekek....dan masih berjalan sana-sini dengan motorsikal bapak dia tu. Dikesempatan itu saya pandang perut dia.....dah nampak tanda-tanda mengandung....mujur dia berbadan besar so dia masih boleh cover....tapi bagaimana dengan 3-4 bulan akan datang. Dia tak lama dirumah kami sebab dia segan dengan saya......lepas dia balik, adik saya sambung balik cerita. Adik saya kata.....beberapa hari lepas budak tu baru sahaja lepas kena tampar dan tendang oleh abang-abang dia. Bapak dia pergi kebalai polis untuk buat laporan rogol....tapi polis kata "nak buat laporan buat apa....anak awak yang menyerah diri....anak awak yang pergi rumah jantan tu lagipun anak awak dah berusia 18 tahun". Malu ayah dia bila dengar kata-kata polis tadi.....dia balik ke rumah dan hanya mendiamkan diri bila siabang pukul adik nie tadi " biar mati....dia dah buat malu muka aku", itu sahaja yang mampu diucapkan oleh siayah. Jantan yang rosakkan adik dia tu tak nak bertanggungjawap. Rosak masa depan gadis ini. Saya hanya mampu mengeleng kepala dan melepaskan keluhan berat sebab nasi dah jadi bubur.....saya hanya mampu berdoa supaya Allah membuka pintu taubat untuk budak ini.


Jiran depan rumah saya pun hadapi masalah yang sama. Jiran saya nie laki bini bekerja keras.....dan memang jenis orang yang rajin bekerja.....dari muda bekerja sampai tua tapi hidup tak senang jugak.....sebab mereka tak sembahyang dan si suami pula suka main ekor. Bila sesak duit....dia mintak sianak datang pinjam kat emak saya. Anak-anak semua 'tak menjadi', yang sulung...anak lelaki pemalas dan hanya tahu meminta duit dari mak bapak wp dah kahwin dan beranak pinak, yg kedua perempuan hanya kerja sebagai jurujual kedai cina dan khabarnya jadi perempuan simpanan si cina tersebut manakala tinggal adik bongsu perempuan kat rumah. Emak dia nie lumpuh satu badan sebab strok jadi tak mampu bergerak dan bercakap....hanya terbaring diatas katil buruk tepi dinding manakala siayah pula bekerja malam sebagai jaga sekolah. Bila ayah keluar kerja....anak tadi bawak jantan masuk bilik....mak yang lumpuh hanya mampu menangis dan meraung tanpa suara. Bila perut dah membuyung.....baru dinikahkan....masa kenduri mulut-mulut orang mula mengata dan mengumpat....air mata mak dia mengalir tanpa berhenti sehingga habis kenduri. Tiga bulan lepas tu lahirlah anak perempuan. Bila saya balik kampung....saya akan singgah melawat arwah mak cik ini sebab masa kecil dia sangat baik dengan kami....saya akan sedekahkan sedikit wang kepada arwah nie tapi saya sikitpun tak sentuh cucu dia nie tadi. Bukan saya jijik pada anak yang tidak berdosa itu tapi saya jijik pada budak perempuan tadi....kejamnya seorang anak yang sanggup buat dosa didepan emak yang lumpuh tak berdaya. Jika dia adik saya.....dah lama saya bunuh sebab buat emak saya begitu........syukur alhamdulillah....Allah jaga keluarga saya. Emak budak perempuan tu sudah pun meninggal dunia pada bulan lepas setelah 4 tahun terlantar sakit.


Anak-anak gadis jadi begitu....belumpun berumur 18 tahun sudah membuyung perut. Diusia 19 tahun dah bergelar ibu dan kemudian sambung kehidupan kais pagi makan pagi yang diwarisi dari ibubapa masing-masing. Anak-anak lelaki pulak jadi mat rempit dan kaki dadah. Rumah-rumah dikampung sekarang nie kena bergrill dan bermangga tebal sebab mat-mat gian asyik pecah masuk rumah. Begitu mencabar sekali hendak menjaga anak-anak di zaman ini.