Monday, July 30, 2012

Samperit resepi lama


Adik ipar saya call bagitau yang dia nak buat biskut kat rumah saya so semalam kami berdua memulakan operasi membiskut. Adik ipar nak buat samperit resepi orang lama-lama dulu. Saya google dan jumpa resepi kat blog My Kitchen Tales....berdasarkan resepi tu saya buat satu adunan. Masa membakar memang harumnya mengoda. Saya suruh adik ipar bawak balik semua samperit tu dan tinggalkan kat saya beberapa ketul (ada dalam 10 ketul) hanya untuk rasa lepas bukak puasa.

Bagi saya inilah rasa samperit yang mengimbau balik kenangan masa kita kecik-kecik dulu.....samperit yang amaaaaaat sedap. Memang saya rekemenkan resepi nie untuk anda cuba.....best sangat. Makan sebiji nak lagi lama-lama saya habiskan semua samperit yang ditinggalkan tu.....semalam rosak diet saya gara-gara samperit.

Oh ye potongan buah ceri merah tu tidak cantik....besar-besar dan tak ada seni sebab adik lelaki saya yang tolong potong....so maafkan kehodohan samperit tu...gambarpun tak cantik sebab hanya pakai handphone. Inilah resepinya....saya ada adjust sikit sukatan daripada resepi asal. Untuk resepi asa sila ke blog My Kitchen Tales

Samperit resepi lama
Resepi diambil dari blog ini

Bahan-bahannya:-
  • 1 tin tepung jagung Brown & Polson (400gm)
  • 400gm butter SCS - pastikan ia berada di suhu bilik
  • 5 biji kuning telur (telur saiz A)
  • 3/4 cawan gula castor
  • 1 1/2 tepung gandum (saya guna tepung biskut rose)
  • buah ceri merah-dipotong dadu kecil untuk hiasan
Cara-caranya:-
  1. Dalam mangkuk mixer, masukkan gula dan kuning telur. Guna whisk tangan dan kacau kedua-dua bahan ini sehingga ia bercampur.
  2. Masukkan butter dan kemudian masukkan kedua-dua tepung. Gaul perlahan-lahan sehingga sebati. Jangan uli terlalu lama nanti biskut kembang bila dibakar
  3. Rehatkan sebentar doh dan tutup mangkuk dengan kain bersih.
  4. Alas dulang pembakar dengan baking paper. Guna acuan samperit yang bercorak bintang. Saya guna acuan samperit yang ditekan dengan jari sebab bentuknya lebih kecil.
  5. Panaskan oven pada suhu 150c
  6. Bakar selama 12-15 minit bergantung kepada jenis oven anda.
Nota:-
  1. Saya guna gula castor jadi sukatan gula saya kurangkan daripada resepi asal. Manis biskut dengan mengunakan sukatan ini ok...tidak terlalu manis sangat. Kalau anda guna gula aising....ikut sukatan resepi asal.
  2. Dalam resepi asal mengunakan 7 biji kuning telur ayam kampung.....saya guna telur ayam saiz A jadi saya guna 5 biji sahaja.
  3. Sediakan tepung gandum extra dalam 1/4 cawan untuk anda tambah sikit jika doh anda terlalu lembik jika anda membiarkan butter terlalu lama kat luar. Pastikan butter berada dalam suhu bilik sebelum  diguna.
  4. 1 tin tepung jagung Brown & Polson yang saya beli adalah seberat 400gm dan sebab itu saya adjust sukatan butter menjadi 400gm sahaja. 1 tin berharga RM5 lebih.

Steamed egg custard with mushroom sausage


Gambar tak berapa clear sebab ambil guna handphone sahaja....tertinggal kamera kat pejabat. Saya masak egg custard nie sebagai masakan untuk bersahur. Sedap dan mengenyangkan dan mudah disediakan. Ini adalah satu masakan dalam kategori No Carb Recipe so saya hanya makan ia begitu sahaja tanpa nasi tapi jika anda yang tidak berdiet maka ia boleh dimakan bersama nasi. Kalau ikutkan saya nak je buat setiap pagi untuk masa sahur tetapi nanti terlebih pulak ambil telur so hanya boleh buat seminggu sekali sahaja.


Steamed Egg Custard With Mushroom Sausage

Bahan-bahannya:-
  • 2 biji telur
  • 1 cawan air
  • 1 ketul Ayamas Premium Mushroom Sausage dipotong dadu kecil
  • garam dan lada sulah/pepper
  • daun bawang-dihiris halus
  • sedikit minyak
Cara-caranya:-
  1. Panaskan kuali dan panaskan 1 sudu minyak masak. Goreng sosej dalam beberapa minit dan kemudian angkat. Toskan atas tisu masakan supaya minyak berlebihan dikeluarkan
  2. Pecahkan telur dalam mangkuk dan pukul sedikit. Masukkan air dan masukkan sedikit garam serta lada sulah. Kacau rata. Pastikan jangan masukkan garam terlalu banyak sebab sosej sudah ada garam.
  3. Ambil mangkuk, masukkan sosej dan masukkan bancuhan telur. Tabur daun bawang sedikit.
  4. Panaskan periuk kukus dan letakkan mangkuk tadi
  5. Kukus selama 10 minit dan kemudian tutup api tetapi biarkan mangkuk telur tadi dalam periuk selama 7 minit.
  6. Angkat dan taburkan baki daun bawang tadi sebagai hiasan

Ikan masak air


Ikan masak air??????.....sebenarnya saya tak ingat nama masakan nie. Masa saya kecil-kecil dulu....masa sekolah rendah, saya sudah start kena masuk dapur memasak so inilah satu-satunya lauk yang saya tahu buat. Bila beli ikan....saya terus cari bahan untuk masak lauk nie sampaikan adik-adik saya fed up nak makan. Emak dan arwah ayah akan balik kerja dalam jam 3 petang so sayalah yang kena masak selepas balik sekolah.

Puas saya fikir nama masakan nie.....dia bukan singgang sebab simple giler tapi kalau saya letak sebagai ikan masak air pun tak kisahlah kan. Nanti kalau dah teringat nama masakan nie saya adjust balik.

Ikan Masak Air

Bahan-bahan:-
  • 1 ekor ikan kembong
  • 2 biji bawang merah kecil atau 1/2 bawang besar-dihiris
  • 1 batang serai
  • 1 keping asam keping
  • sedikit kunyit hidup-dititik atau sedikit serbuk kunyit
  • 1 1/2 atau 2 cawan air
  • garam secukup rasa
Cara-caranya:-
  1. Masukkan air, kunyit, serai, asam keping dan bawang dalam periuk dan rebus sehingga mendidih.
  2. Apabila air sudah mendidih, masukkan ikan
  3. Masukkan garam dan biarkan seketika sehingga ikan masak
  4. Angkat

Simple kan......sajian sihat yang paling mudah nak masak. Tak perlu ambil masa yang lama prepare bahan-bahan....kalau kat rumah di kampung saya akan gantikan asam keping tu dengan belimbing buluh.

Friday, July 27, 2012

Menu puasa ke 7

Time rehat hari jumaat....semua staff pompuan masa nielah mereka pakat pergi memenuhi shopping mall.  Tekak saya teringin sangat nak makan tahu telur....so kononnya time rehat nak lah pergi Tesco cari barang dapur dan cari nenas...nak buat jem nenas. Jam 12.15, saya pun terus ambik handbag, tutup lampu bilik pejabat dan terus lah nak keluar. Masa nak keluar tengok semua ofismate lelaki tengah duduk berbincang kat depan bilik mesyuarat. Saya lalu depan mereka.....buat tak tahu je.....tiba-tiba " oiiiii.....nak pergi mana tuuuu". Saya berpaling dan jawap 'nak pergi shopping lah....'. My ofismate terus gelak sambil kata 'gi masuk bilik balik.....hari nie rehat 12.45....ni mesti tak bukak dan baca email'. Opssss malu. Kalau hari jumaat bulan puasa time rehat dilewatkan kepada 12.45....kalau tak 12.15 dah boleh keluar.

Bila time rehat berubah.....emmmm tak kuasa nak masuk kawasan Mutiara Damansara kalau lebih 12.45....jam giler-giler kat situ. Akhirnya saya duduk sorang-sorang depan komputer nie......semua ofismate lelaki dah pergi sembahyang jumaat.....tinggal saya sorang-sorang dalam ofis. Nak update blog....... tapi jaudah berbuka semalam saya tak masak apa-apa yang menarik untuk dikongsikan. Sebenarnya rugi yang amat sangat kalau berdiet dalam bulan puasa sebab tak boleh enjoy kuih muih dan segala macam bubur yang manis-manis. Masa nielah segala mak nenek kuih-muih yang tak akan jumpa dalam bulan lain akan muncul dalam bulan puasa. Rugi....rugi orang diet nie.

Menu saya masa berbuka puasa semalam amat-amatlah simple......saya cuma panggang ayam yang diperisakan dengan garam dan kunyit sahaja lepas tu masukkan dalam oven dan bakar selama 25 minit dengan suhu 180c.

Sementara tunggu ayam panggang siap....saya masak sayur bayam merah goreng dengan ikan bilis. So itulah sahaja jaudah berbuka saya. Ayam tu bukan saya makan semua....saya simpan separuh untuk sahur. Oven besar gedabak....kalau panggang seketul paha ayam memang lucu lah kan so sebab tu saya panggang sebelah paha ayam nie....boleh simpan sahur sekali. Tapi bila time sahur....tekak tak nak makan ayam panggang lagi....so panaskan air dan celur semua benda alah nie.


So inilah hidangan sahur saja.....sosej 2 ketul dan brokoli serta kacang sepat. Kalau puasa tahun lepas saya suka makan oat dengan susu untuk bersahur.....kali nie tekak saya dah tak boleh nak masuk oat lagi jadi tukarlah kepada hidangan macam nie.

Thursday, July 26, 2012

Siapa minum air Pepsi nie


Baru sebentar tadi berlaku adegan yang begitu memalukan saya. Sebelum bulan puasa, air dalam botol pepsi tu ada separuh dan pada hari nie....air dalam botol tu dah kosong. Floor pejabat saya nie hanya saya seorang sahaja pegawai perempuan dan yang lainnya adalah pegawai lelaki.

Kami sengaja letakkan meja kecil nie kat sini sebab masing-masing malas nak naik ke tingkat 17 untuk pergi pantri....nak naik tangga tiga tingkat hanya semata-mata nak minum secawan milo. Oleh kerana dah ada water filter yang ada air panas dan sejuk maka kami sediakan milo dan biskut kat sini so sesiapa terasa nak minum milo dia dah tak payah naik ke tingkat 17 lagi.

Tadi dalam jam 3.20 petang, masa saya tengah khusyuk menaip kat komputer tiba-tiba saya perasaan beberapa orang pegawai lelaki memandang ke arah saya ( bilik pejabat kami bercermin kaca) sambil tunjukkan botol pepsi yang dah kosong tu. "Nie tak ada orang lain yang menghabiskan air nie....mesti dia" sambil semua orang tersengih-sengih pandang saya. "ahhhh.....' saya yang terpingga-pingga pandang diaorang. Apahal pulak nie....kenapa semua pakat pandang saya.

Bila saya perasaan botol pepsi tu yang diangkat oleh rakan sekerja tu.....cepat-cepat saya angkat kedua-dua tangan sambil buat isyarat "bukan saya.....bukan saya......Chan yang minum....." sambil jerit bagitau. "Chan kursus minggu nie....dia tak ada kat ofis, hanya engkau sorang je suspek utama dalam kes 'siapa minum air pepsi nie'". Chehhhhhhh......hampeh betul diaorang nie.

Saya terdiam sambil terlopong pandang mereka......terkedu kejap, semua pakat gelak pastu letak botol pepsi tu. Seronok gamaknya kenakan saya.....yang pasti memang bukan saya yang minum. Siapa yang minum???????.

Sotong Goreng Tepung


Ini juga hidangan berbuka petang semalam. Dah lama teringin nak buat sendiri sotong goreng tepung....pernah buat sekali tetapi lepas goreng, tepung terpisah daripada sotong. Kali nie saya buat ikut resepi dari buku bijak memasak, Norzailina Nordin.....hasilnya ia memang sedap, ranggup dan yang paling penting sotongnya lembut sahaja. Memang sedap dan resepi nie bagus sekali. Memang saya rekemen resepi batter (bancuhan tepung) nie jika anda hendak guna untuk buat udang goreng tepung, ikan goreng tepung dll.

Sotong Goreng Tepung
Sumber: Buku Bijak Memasak, Norzailina Nordin

Bahan-bahannya:-
  • 2 kg sotong-dibersihkan
  • 120gm tepung gandum
  • 60 gm tepung beras
  • 60 gm tepung jagung
  • 1 sudu besar rempah kari
  • 1/4 tsp serbuk kunyit
  • 240-250 ml air
  • 1 biji kuning telur
  • 1 biji putih telur
  • garam secukupnya
  • 1/2 tsp baking powder (optional-resepi asal tidak dimasukkan baking powder)
Cara-caranya:-
  1. Potong bulat sotong. letakkan dalam kuali dan tutup. Masak atas api sederhana kuat selama 2-3 minit atau hingga terbit airnya.
  2. Letakkan dalam penyejat dan biarkan sejuk

Saya buang kulit luar sotong dan jika anda tidak mahu buang....ia tidak mendatangkan masalah.

Cara membuat batter:-

  1. Satukan tepung gandum, tepung beras, tepung jagung, rempah kari, serbuk kunyit dan baking powder.
  2. Tuangkan air perlahan-lahan sambil dikacau sebati. Masukkan kuning telur dan garam. kacau rata.
  3. Pukul putih telur hingga kental dalam mangkuk lain. kaupbalikkan putih telur ke dalam adunan tepung secara berhati-hati.
  4. Celupkan sotong satu per satu dengan batter tadi
  5. Goreng dalam minyak panas sehingga keperangan. Angkat dan sejatkan minyaknya. Sajikan dengan sos cili
Nota:
  • Sotong perlu 'dimatikan' airnya terlebih dulu dengan cara mengoreng (tanpa minyak) atau mengukus. Tujuannya adalah supaya sotong separuh masak.
  • Dengan cara ini juga, kandungan airnya berkurangan dan ia akan kekal ranggup setelah digoreng.
  • Jangan memasak terlalu lama kerana sotong itu akan menjadi keras
  • Bila mengoreng, pastikan minyaknya banyak dan sorong terendam. Ini akan memastikan seluruh sotong masak sekata dan sempurna
  • Anda boleh tambah air dalam anggaran 1 sudu makan lagi jika rasa batter tersebut sedikit pekat.

Kucai goreng bersama telur


Hidangan simple berbuka puasa semalam. Ini adalah sayur kegemaran saya. Saya beli kucai semasa pergi ke pasar malam/ramadhan paya Jaras selasa lepas. Saya goreng sayur nie lagi 15 minit sebelum berbuka supaya saya dapat makan sayur yang masih panas.

Kucai goreng bersama telur

Bahan-bahannya:-
  • Seikat kecil kucai-potong
  • sebiji telur
  • 1 ulas bawang merah-dihiris
  • 2 ulas bawang putih-dihiris
  • 1/2 biji cili merah (dihiris) - saya tidak letak sebab tak ada
  • sedikit garam
  • 1/2 tsp sos tiram
  • sedikit air
  • sedikit minyak untuk menumis
Cara-caranya:-
  1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih. kacau sehingga naik bau dan pecahkan telur. Kacau
  2. Masukkan kucai, hirisan cili merah, sos tiram dan garam. Masukkan sedikit air.
  3. Kacau sekejap dan kemudian angkat.
  4. Jangan biarkan sayur terlalu lama atas api

Tuesday, July 24, 2012

Puasa ke 3


Semalam jadual bagi kebanyakan warga kota mula berubah. Boleh balik awal dari ofis.....dan yang pasti jalan jam terukkkkkkkk. Saya keluar ofis jam 4 petang.....so ingatkan keluar awal nie jalan tak ada lah jam sangat.....tapi inilah keadaaannya.


Dekat setengah jam jugaklah dok kat sini....kereta bergerak macam kura-kura sebelum dapat lepas traffic light kat depan tu. Dalam radio RedFm semalam....seorang pemanggil memberitahu bahwa bila bulan ramadhan dia akan naik LRT sebab pertama.... jalan jam dan sebab kedua....tak tahan dengar bini berleter dalam kereta. Yelah balik kerja penat-penat....jalan jam teruk tentulah mulutpun tak boleh nak diam. Masa tu DJ ketawa dan saya pun ketawa.

Sampai sahaja kat Seksyen 8, terus pergi kedai runcit cari ayam. Balik rumah terus berfikir nak masak apa ye.....diet saya kali ini lebih kepada protein diet so saya kena makan banyak lauk dan sayur.

Saya bercadang nak buat Chicken Chop dengan Colaslow. Resepi dah ada....bila bukak kabinet, banyaknya bahan tak ada tapi teruskan jugaklah.


Saya ambil satu paha ayam dan kemudian buangkan tulangnya untuk jadikan seperti diatas tu. teknik nie saya belajar semasa kelas masakan barat Chef Asma tahun lepas.....nie kali pertama baru dapat praktis. Mujurlah elok je keluarnya tulang ayam tu.

Perapkan dan kemudian saya duduk kat ruang tamu bukak internet. Bila lagi 30 minit nak berbuka barulah bergerak masuk dapur dan bakar ayam serta potong kobis dan karot untuk buat colaslow.

Jangan tanya mana gravynya......bahan tak ada....kononnya nak buat mushroom sos tapi satu bahanpun tak de so makan ayam kosong je dengan colaslow. Ok lah sedap gak.

Simple tak menu saya semalam. Resepinya......nanti bila saya buat sekali lagi dan bahan semua cukup saya paparkan resepinya ok.

Tahun nie tak ada mood nak buat kuih raya. Ramai kawan-kawan dok sibuk cari resepi biskut dan beli bahan buat biskut tapi saya hanya diamkan diri sahaja sehinggalah adik ipar saya datang rumah dan bagitau dia nak buat kuih raya kat rumah saya. Hmmmmmm kena buat jugaklah nampaknya tapi mungkin hanya sejenis dua sahaja....yang mana budak-budak minat.

Monday, July 23, 2012

Cucur Kembong


Entry tertunggak....cucur kembong nie saya buat pada hari jumaat lepas. Saya ambik cuti pada hari tu sebab pemasangan astro beyond kat rumah. Mula-mula terfikir nak makan apa sementara tunggu orang Astro datang pasang. Tengok tepung masih ada 1/2 pek lagi...dah lama tak makan cucur kembong terutama bila tengok kopi dari Changloon yang dibawa oleh makcik saya tempoh hari. Kopi keluaran kampung nie adalah dari kilang bapa saudara sepupu saya di kampung. 
 

Selepas orang Astro balik, saya goreng cucur kembong dan makan dengan kopi panas yang pekat. Wowwww....memang ummmmp sebab dalam masa puasa, saya mungkin takan buat kopi pekat lagi....kononnya nak lepas gian sebelum puasa.


Resepi cucur kembong nie dah beberapa kali saya masukkan dalam entri terdahulu tapi kali nie saya buat perubahan sikit dan sebab tu saya paparkan juga resepinya.
Cucur Kembong  
Bahan-bahannya
  • 60gm gula *
  • 500gm tepung gandum
  • 1 biji telur
  • 40gm marjerin/butter-lembutkan
  • 1 tsp ibu roti/yis segera(mauripan) *
  • 1/2 tsp soda bicarbonat
  • sedikit garam
  • 450ml air *

 Bahan * adalah perubahan yang saya buat daripada resepi terdahulu. Saya lebihkan air dan ibu roti.
Cara-caranya:-
  1. Masukkan tepung kedalam bekas. Buat lubang ditengah-temgah tepung, masukkan telur, gula dan ibu roti. Gaul rata.
  2. Masukkan sedikit garam kedalam air dan kacau rata.
  3. Masukkan majerin kedalam bekas tepung dan kemudian masukkan air sedikit demi sedikit sehingga ia menjadi seperti bancuhan jemput-jemput
  4. Tutup bekas dengan tudung penutup dan biarkan sehingga ia naik 2 kali ganda (lebih kurang 2-3 jam)

Ini keadaan bancuhan yang telah diperam selama 2-3 jam didalam bekas yang ditutup. Masukkan 1/2 tsp soda bikarbonat kedalam bancuhan dan gaul rata. Biarkan selama 15 minit.

 Ambil adunan mengunakan hujung jari anda seperti gambar dibawah.

 Pastikan minyak betul-betul panas dengan mengunakan api yang sederhana. Buat seperti gambar dibawah untuk dapatkan bentuk bulat yang cantik.


Buat sehingga beberapa bijik sehingga memenuhi minyak dalam kuali.

Biarkan ia menjadi sedikit kekuningan dibahagian bawah sebelum anda balik-balikkannya supaya bentuk bulat tersebut tidak dirosakkan.

 

 Angkat dan toskan dengan tisu masakan sebelum dihidangkan


Menu berbuka puasa

Selama berpuasa kepada semua pengunjung blog saya. Dalam shoutbox, ada yang bertanya samaada saya dah dapat berat yang diidamkan sebab itu mengapa saya tidak berdiet.

Sebenarnya....berat ideal saya hanya diperolehi pada awal tahun lepas (sekitar 64kg...saya tinggi so ini adalah berat ideal saya) kemudian saya berhenti berdiet selepas saya mula sibuk dengan kelas Law 1. Tanpa saya menyedari.....berat badan saya mula naik sedikit demi sedikit terutama selepas saya cedera akibat terjatuh dan kemudian saya berehat selama beberapa bulan pergi gym.

Awal tahun ini saya berhenti terus dari gym selepas saya dapati lutut saya bermasalah dan diri saya juga bermasalah....iaitu penyakit malas mula meyerang selepas berehat lama. Seperti biasa bila berat badan mula naik.....bahagian bermasalah seperti lengan, paha dan perut mula merosakkan pakaian saya.....banyak baju mula tidak cantik dipakai....seluar mula ketat.....dan kotak baju lama mula dibuka semula.

Bila keadaan ini berlaku....seperti biasa saya akan salahkan suasana kerja saya. Kerja saya yang memerlukan saya ambik heavy breakfast dan bila kami berada di 'tempat kejadian', kami tidak boleh berhenti untuk makan sebab kami tidak dibenarkan tinggalkan 'tempat kejadian' sehingga semua kerja-kerja selesai. Kadang-kadang kerja habis dalam jam 3 petang. Ketika nie perut masing-masing dah berkeroncong....badan dah mengigil.....dan biasanya restoran-restoran kebanyakannya sudah habis makanan dan ketika ini alternatif adalah mamak restoran, nasi ayam atau nasi kukus restoran. Kebiasaannya bila operasi begini, dalam pasukan hanya saya atau dua sahaja pegawai wanita akan ikut dan bila kita ikut lelaki makan.....maka kita juga cenderung untuk makan banyak seperti mereka terutama bila perut dah gila-gila lapar.

Syarat utama diet adalah tidak boleh membiarkan perut kosong dan makan dengan kerap dalam kuantiti yang sedikit. Itu syarat utama diet, tujuannya supaya kadar metabolisma tidak jatuh. Sebenarnya itu ALASAN selamat.....blame nature of work hahahahah walaupun yang sebenarnya ia adalah kesalahan diri sendiri. kenapa tahun lepas saya boleh buat walaupun dalam suasanaa kerja yang sama.....sebab saya sudah hilang DISPLIN DIRI.

Bukan senang nak dapatkan DISPLIN DIRI.....walaupun saya sudah pernah lalui.....tetapi untuk lalui semula ia tetap sukar. Cakap dan tulis dalam blog amat senang tetapi nak amalkan amaaaaaaat sukar.

Ramadhan......saya ambik kesempatan bulan ramadhan untuk dapatkan kembali displin diri untuk berdiet dan yang paling penting atasi masalah rambut luruh. Saya mempunyai rambut yang panjang.....dari kecil kami adik beradik perempuan mempunyai rambut yang panjang dan lebat. Arwah ayah tidak benarkan anak-anak perempuannya berambut pendek sebab kami semua mempunyai jenis rambut yang cantik. Bila sudah berumur.....rambut menjadi nipis dan luruh. Dalam minggu lepas saya terduduk apabila melihat rambut luruh terlalu banyak sehingga saya takut nak sikat rambut....atas lantai bilik penuh rambut setiap kali saya bersikat.....ia amat merisaukan. Saya cari masalah sebab rambut luruh dan salah satunya adalah kekurangan memakan sayur-sayuran. Ya memang saya akui....selepas tidak berdiet saya sudah tidak hiraukan tentang sayur....dan saya amat kurang ambik sayur.

Sabtu lepas saya bershopping.....dah lama tak masuk supermarket beli bahan mentah.....tolak troli kebahagian ikan dan sayur. Saya masukkan banyak sayur-sayur dalam troli saya dan bahan mentah untuk memasak. Now....peti ais rumah saya dah penuh dengan bahan-bahan masakan.....tidak kosong lagi seperti sebelum ini.



Bila jam menunjukkan pukul 6.50 petang.....barulah saya keluarkan semua sayur-sayuran dalam peti dan mula memotong.

 Dalam 15 minit kemudian.....sayur campur saya sudah siap. Masih panas dan masih segar.....saya tidak suka makan sayur yang digoreng terlalu lama.....bila goreng sendiri, kita boleh buat ikut selera sendiri.
 Ok....sayur campur dah siap. Beberapa jenis sayur seperti karot (penting untuk rambut), lada bengala hijau dan merah, brokoli, kobis dan udang segar sudah cukup menjadikan sayur ini menyelerakan.

 Saya mulakan buka puasa dengan 3 biji kurma dan segelas susu dan kemudian masuk untuk mandi dan sembahyang. Bila semua dah siap barulah saya makan sayur campur tersebut.....hanya sayur semata-mata.


Ini adalah menu sahur saya pagi tadi.....sepatutnya ada brokoli tetapi saya tidak sempat nak celur sebab bangun lewat untuk sahur. Saya mulakan dengan segelas susu, kurma dan ayam bakar ini....kononnya nak buat hidangan ala barat untuk sahur....tapi hanya sempat panaskan ayam sahaja dan sempat makan separuh bila tengok jam tinggal 3 minit sebelum azan berkumandang....air kosong tak minum lagi....sedangkan air kena cukup 8 gelas sehari wp bulan puasa.

Setelah 2 hari puasa berlalu......alhamdulillah perut saya mula terima. Saya tidak merasa lapar sangat-sangat dan setakat ini DISPLIN DIRI mula dapat ditanam dalam diri saya......hope dapat melepasi dua minggu sebab selepas dua minggu......mental kita secara automatik akan dapat terima perubahan ini dan kita akan teruskan tanpa masalah. Jika dalam 2 minggu pertama ini saya gagal mendisplinkan diri maka saya akan gagal dalam diet saya.

Jika anda diet dalam bulan puasa jangan harapkan penurunan berat badan yang besar sebab puasa menyebabkan metabolisma badan anda jatuh mendadak dan pembakaran kalori berlaku dengan lambat. TARGET saya bukan berapa kilo turun tetapi berapa cm paha, lengan dan perut dapat dikurangkan.

So para pengunjung.....bulan puasa nie blog saya tidak memaparkan resepi-resepi kuih muih yang sedap-sedap. Maaf banyak-banyak jika ia menghampakan anda yang sedang mencari menu berbuka.

Thursday, July 19, 2012

Pertukaran nama domain



Makluman kepada pengunjung blog saya yang satu lagi iaitu blog Semangkuk Soup dan Secawan Kopi, nama domain blog saya telah ditukar dari koleksi-infosihat.blogspot.com kepada http://diaribdaria.blogspot.com.

Ini adalah paparan yang akan keluar jika anda masuk ke blog diatas dengan alamat domain lama. Blog tersebut masih aktif. Saya tukar nama domain dari koleksi-infosihat kepada diaribdaria supaya ia tidak mengelirukan. Pada awal dahulu memang saya berniat untuk kumpulan semua info berkaitan dengan makanan sihat dan perkembangan diet tetapi apabila saya berhenti berdiet....blog tersebut tiada entri terbaru. Untuk tidak mematikan blog itu saya masukkan entri-entri berkaitan dengan ulasan dan recap drama dan filem yang saya tonton. Bila difikirkan balik....nama domain blog itu sudah tidak sesuai lagi dengan imej baru blog itu.

Monday, July 16, 2012

Ubi kayu rebus bersama kelapa


Mesti ada yang tertanya-tanya.....betul ke nie ubi kayu rebus. Tak nampak macam ubi kayu pun?.

yap!!! ini ubi kayu rebus. Minggu lepas masa lepas balik operasi, kami singgah makan kat sebuah restoran nie dan kemudian saya nampak benda kuning dalam bekas kecil...ingatkan pulut kuning. terus beli untuk cuba. Bila balik ofis....mak oiiiii sedapnya. Rupanya benda kuning tu adalah ubi kayu yang berwarna kuning tetapi disagat kasar dan direbus pastu dimakan bersama dengan kelapa parut yang digaul bersama gula.

Hari sabtu....balik dari bengkel clay terus gi pasar malam sebab nak cari ubi kayu muda. Wahhhhhh reseki....jumpa ubi kayu muda. Ambik 2 ketul sahaja yang bersaiz kecil sebab tak nak ia buruk sebab sekarang nie mood memasak dah ke laut. Masa mak datang kat rumah hari tu dia yang memasak......jenuh dia mencari halia, serai dan biji halba tapi semuanya tak ada kat dapur. Last-last sekali dia tanya "dah berapa lama tak masak.....mak tengok kat kabinet tu tepung-tepung dah naik berkulat". Saya sengih saja.....memang dah lama tak jenguk kabinet dapur....dah tak tau apa dah jadi pada barang-barang kat dalam tu.

Ubi kayu rebus bersama dengan kelapa

Bahan-bahannya:-
  • 2 @ 3 ketul ubi kayu. Dibuang kulit dan bersihkan, Kemudian parut dengan mengunakan pemarut yang kasar
  • 1/2 biji kelapa parut putih. kalau kat rumah ada pengukur lagi best....guna kelapa yang agak muda dan kukur kasar.
  • Garam secukupnya
  • Gula secukupnya
Cara-caranya:-
  1. Sagat kasar ubi kayu sehingga menjadi potongan memanjang sepanjang 2 inci (agak-agaklah). kalau tak ada sagat yang mata besar, boleh potong memanjang guna pisau.
  2. Masukkan dalam periuk dan masukkan air separah ubi tersebut. Masukkan sedikit garam dan rebus sehingga empok. Pastikan jangan terlalu empok sebab nanti ia akan hancur dan tak cantik.
  3. Toskan untuk buang lebihan air
  4. Gaulkan gula dengan kelapa parut. Rasa dahu supaya anda boleh tentukan tahap kemanisan yang anda inginkan.
  5. Campurkan potongan ubi kayu rebus bersama dengan kelapa tadi dan gaul rata.
  6. Hidang.

Cymbidium, clay craf


Lamanya tidak bercerita tentang kelas clay yang saya ikuti ini. Saya bayar untuk 3 jenis bunga. Baru siap satu bunga dan kemudian untuk bunga kedua saya pilih cymbidium orchards. Disebabkan masalah keluarga dan kemudian study untuk exam Law 1 dan kelas untuk law 2 maka projek bunga ke 2 banyak tertunda dan terbengkalai.

Sabtu lepas saya seharian berada di bengkel untuk menyiapkan jugak sepasu orkid cymbidium sebelum puasa....hope so. If not terpaksa lah gi bengkel dalam bulan puasa.


Langkah pertama adalah menyiapkan 5 kelopak orkid untuk 23 kuntum. Semalam seharian dirumah saya habiskan masa dengan mewarna kelopak-kelopak cymbidium. Saya pilih cymbidium berwarna pink.

 Proses mewarna....inilah proses yang membuatkan saya tersengguk-senguk untuk menyiapkan 5 kelopak bagi mendapatkan satu kuntum bunga. Saya bukan minat melukis....tangan keras. Memang agak comot kerja saya.
 Ok....dah siap 5 kelopak diwarnakan. Sekarang proses mencantum kelopak dengan putik bunga. Proses mencantum agak rumit sebab guna super glue.....banyak kali jari-jari saya yang melekat antara satu sama lain. Super glue adalah sejenis gam bunga yang sangat kuat....jika terkena jari....jenuhlah nak pisahkan jari-jari tu. Jika tersilap....kelopak bunga akan rosak....proses nie ambik masa yang agak lama dan beberapa kali mengamuk sendiri terutama bila jari melekat.


 Ok dah siap dicantum 5 kelopak dengan inti tengah bunga. Masa mewarna memang nampak comot tetapi kena touch up dengan berus kosong barulah warna nampak sekata.


Setelah seharian proses mewarna dan mencantum....akhirnya hanya dapat siapkan 12 kuntum sahaja. Wahhhhhh ada lagi 11 kuntum nak kena buat. Bila fikir kerumitan dan masa yang hendak diluangkan untuk siapkan sepasu atau 3 tangkai orkid....memang tak sanggup nak ambil tempahan. Mak dan adik perempuan saya sudah tempah 2 pasu bunga orkid dan my ofismate juga ada bertanya samaada saya hendak terima tempahan atau tidak. Rasanya buat masa nie saya tidak boleh beri tumpuan.

Wednesday, July 11, 2012

Cerita jumaat lepas

Keluarga saya datang ke KL pada petang khamis lepas dan sampai ke rumah adik lelaki di Gombak dalam jam 7 malam. Dalam jam 10 malam, anak saudara dibawa berubat. Ketika proses berubat, adik saya bercerita bagaimana anak saudara menjerit dan meraung kuat. Selesai sahaja rawatan...anak saudara dah lembik dan letih. Adik perempuan saya anak beranak seramai 6 orang dan emak serta bapa saudara saya sampai kerumah saya dalam jam 12.30 malam.

Apabila mereka sampai ke rumah saya, Mariam (anak saudara) terus masuk dalam rumah dan terus berjalan masuk kedalam bilik ke 2 serta kunci pintu. Kami tidak sempat menahan beliau. Semua dah pakat panik. Saya masuk bilik utama dan ambil kunci untuk bukak bilik ke 2. Bila bukak pintu bilik dan tengok dia terbaring atas katil bujang tanpa pasang lampu atau kipas.

Bapa saudara pujuk dia keluar dari bilik tu dan masuk tidur dalam bilik utama sebab kami tidak mahu dia keseorangan dalam bilik ke 2. Mujur dia ikut dan tidak berdegil. Oleh kerana semua sudah mengantuk dan keletihan....mereka terus tidur dan tinggal emak dan saya diruang tamu. Emak bercerita bagaimana adik ipar  bersikap kurang ajar dengan beliau. Emak bagitau bahawa adik ipar menyalahkan Emak sebab tidak menghalang penceraian daripada berlaku dan menyokong tindakan anak sendiri. Emak dengan perlahan berkata " 3 kali adik engkau datang jumpa mak dan berkata bahawa dia tidak tahan hidup dengan X....dia ingin bercerai tapi mak halau dia balik. Emak suruh dia fikir tentang anak-anak. Kali ke 4 nie bila mak tengok....anak mak terlantar sakit di hospital selama 10 hari, suaminya tidak jenguk langsung dan tidak ambil tahu tentang anak mak.....hati mak sakit dan tidak boleh maafkan dia lagi....sebab tu mak tak halang dia nak bercerai...sebab mak dah benci X......dia buat anak mak macam kain buruk". Saya cuma renung wajah mak....ini kali pertama saya tengok wajah sedih mak selepas peristiwa perceraian adik.

Dalam jam 1 malam barulah saya dan emak masuk tidur. Saya yang masih terkejut dengan cerita 'dasyatnya' kelakuan adik ipar terhadap keluarga kami selepas perceraian hanya merenung belakang mak dan sesekali sekala bangun sambil merenung adik dan Mariam serta 2 anak saudara yang kecil yang sedang nyenyak tidur dibilik utama. Sehingga kepagi saya tidak lelapkan mata.

Jam 6.30 pagi saya bertolak ke tempat kerja dan tinggalkan keluarga dirumah sebab saya tidak sempat untuk mintak cuti. Mujur hari jumaat, time rehat panjang jadi saya ambil peluang untuk pulang kerumah dan bawak mereka ke rumah perawat ke 2 yang terletak di Puchong. Saya sampai ke rumah.....emak dah siapkan makanan tengahhari....anak-anak saudara bercerita bagaiman seronoknya mereka mandi kolam. Saya masuk ke bilik utama dan lihat adik saya baru lepas mandi. Apabila melihat saya masuk bilik, dia berkata 'Yong....nak tengok rambut orang". Dia bukak anak tudung yang dipakainya......kepalanya botak licin hanya kelihatan beberapa urat rambut nipis diatas kulit kepalanya. Saya sebak tapi saya tahan. Teruknya kesan kimoterapi terhadap diri adik. Dia berkata dengan senyum " orang bersyukur bila rambut tak ada sebab rasa ringan kepala.....tengok setiap ujian Allah ada hikmahnya". Saya hanya diam tidak berkata apa-apa.....hilang suara dan saya hanya balas senyuman dia.

Selepas selesai makan tengahari, kami bertolak ke Puchong mengunakan kereta saya. Hanya saya, adik, bapa saudara dan Mariam. Mariam tidak membantah bila diajak naik kereta.....selepas saya kata bahawa kami nak pergi berubat emaknya pulak. Sesampi sahaja kerumah ustaz yang akan merawat dalam jam 3 petang....saya dapat lihat keadaan anak saudara lain macam. Bila masuk sahaja dalam rumah wajah manis dan tenang dia sebelum ini menjadi keruh dan bibirnya kelihatan pucat tidak berdarah. Dia nampak marah.

Bila Ustaz minta dia duduk dikerusi dan letakkan tapak tangannya diatas kepala Mariam.....anak saudara mula mengerut muka marah......bila ustaz baca surah ruqyah....dia mula tepis tangan ustaz. Mula dia tepis perlahan....bila Ustaz tidak peduli dan teruskan bacaaan surah ruqyah.....dia mula meronta.....bapa saudara terus pegang kedua-dua belah tangan Mariam supaya tidak pukul ustaz. Bila dia tidak dapat pukul dia mula menjerit dan meraung sambil berkata 'aku tak mboh keluar' dalam loghat terengganu yang pekat (Mariam tidak pandai loghat terengganu sebab adik saya bercakap dalam loghat utara dengan anak-anaknya).

Selepas melihat keadaan Mariam....saya menangis dan melarikan diri ke kerusi hujung sekali sebab tidak sanggup nak saksikan keadaan Mariam. Hati saya hiba melihat adik dan Mariam begitu. Adik saya yang menyangkakan saya takut pada bacaan surah ruqyah terus datang kepada saya dan membacakan beberapa surah dihadapan saya sambil menghembus kearah muka saya. Pssst....adik saya sangka saya juga dirasuk sebab tiba-tiba saya menangis (saya adalah jenis orang yang susah jatuh air mata). Saya hanya biarkan saja.

Selepas 20 minit....keadaan Mariam nampak lembik dan lemah. Ustaz minta dia ulang bacaan ayat al-quran, Mariam dalam keadaan sedar telah mengulang bacaaan tersebut sehingga habis. Beberapa minit kemudian Mariam dirasuk kembali, ustaz berkata "ohhhh kamu cuba tipu saya ye.....kami masih degil tak nak keluar" sambil mememegang kepala Mariam dengan kedua-dua tapak tangannya. Mariam menjerit lagi.....ustaz tekan hujung isi kuku kaki mariam dengan pen dan meminta supaya jin tersebut keluar tapi jin tersebut tidak berjanji hanya menjerit sakit....sakit. Beberapa minit kemudian mariam sedar dan dia mengulang bacaan ayat alquran yang disuruh baca oleh ustaz. Ustaz buat ayat dan serahkan daun bidara untuk dibuat mandi. Dia minta adik teruskan rawatan dengan darulshifa Kuala terengganu sebab sekali rawatan sahaja tidak mencukupi. Mariam yang lembik dan keletihan telah dipapah masuk dalam kereta.

Kami sampai kerumah dalam jam 5 petang. Mereka nak bertolak balik ke Pahang dalam jam 8 malam so saya tak sempat nak sediakan makanan....saya ajak anak saudara yang kecil-kecil masuk kereta sebab nak bawak mereka pergi beli Pizza Hut. Saya beli 4 pan pizza dan bawak balik kerumah.Selesai mandi dan sembahyang....kami berkumpul ramai-ramai dimeja makan dan makan pizza sambil bercerita dengan anak-anak saudara. Tiba-tiba Mariam yang tengah gigit sepotong piza berkata pada saya " Along rasa tenang bila datang rumah Mak Long". Saya terus terdiam dan pandang muka Mariam.

Ya Allah.....anak saudara saya sebenarnya mengalami tekanan perasaan. Dia stress....dia tertekan dengan keadaan emaknya (budak ini tertekan dengan perkataan cancer yang baginya emaknya akan mati tidak lama lagi) dan ditambah lagi emaknya diceraikan oleh bapanya selepas 2 minggu penyakit kanser ibunya di sahkan. Dia tertekan dengan pertelingkahan emak dan ayahnya. Dia serabut dengan keadaan keluarganya dan akibat stress tersebut dia mudah dirasuk atau histeria. Sebab itu dia berkata dia tenang bila berada dalam rumah saya.

Selepas habis makan pizza....Mariam yang pada mulanya dalam keadaan gembira sambil membelek-belek koleksi buku siri penyiasatan yang saya belikan untuk mereka. Azan maghrib bergema dari masjid yang terletak tidak jauh dari apatmen saya....Mariam terus duduk disofa hujung dan tutup muka dia dengan bantal kecil. Dia cuba tutup telinga dia.....adik saya dan emak saya terpa kearah dia sambil bacakan ayat-ayat alquran. Kali nie dia tidak melawan atau menjerit....dia hanya bertindak keraskan badan sahaja. Selepas 10 minit dalam keadaan begitu.....Mariam ikut bacaan ayat Al-Quran yang dibaca oleh emaknya. Dia baca dengan perlahan-lahan dan kemudian sebutannya menjadi lebih jelas. Dia sudah sedar....kami suruh dia ambil air sembahyang dan sembahyang maghrib.

Dalam jam 8 malam, kami bertolak balik ke Pahang. Hari sabtu ketika berada di rumah di kampung.....sekali lagi dia dirasuk tetapi kali ini mujur adik lelaki saya ada dan dia yang membaca ayat-ayat al-quran untuk pulihkan Mariam. Beberapa minit kemudian baru Mariam tenang dan kemudian ambil alquran dan ikut adik lelaki saya mengaji. Mereka mengaji sehingga ke waktu Zuhur. Selepas asar....mereka bertolak balik ke terengganu sebab hari ahad, adik saya perlu bukak tadika.

Pagi isnin, ketika berada dipantri pejabat tengah sarapan pagi.....rakan sekerja bertanya mengapa saya tidak muncul di pertandingan perlawanan boiling yang diadakan paa hari sabtu. Saya pun bercerita berkenaan masalah anak saudara saya. Komen seorang rakan sekerja "mengapa orang-orang yang pakai tudung....berjubah bagai nie mudah sangat kena rasuk.....orang yang pakai seksi-seksi tu tak pulak mudah kena rasuk". So ada sesiapa tak yang nak tolong jawap soalan yang keluar dari mulut rakan sekerja lelaki kat ofis saya nie. lepas saya dengar pertanyaan dia tu.....saya buat tak dengar dan terus minum milo panas tanpa pedulikan dia. Dia nie jenis manusia yang suka pertikai segala-galanya dan suka bertelingkah atau bertegang urat.....normally saya tidak akan layan....saya akan diam dan habiskan milo kemudian terus bangun....ya itulah diri saya.....saya bukan manusia yang mudah diajak bertelingkah atau berbahas.....tak kuasa aku nak layan....ikut engkaulah nak komen apapun....hak engkau....otak engkau.

Tuesday, July 3, 2012

Curiga

Saya ada satu lagi kisah yang hendak saya ceritakan supaya kita semua boleh ambil iktibar. Hari jumaat petang....saya berjanji dengan rakan sekerja dari cawangan lain untuk berjumpa di The Coffee Beans, Subang parade bagi membincangkan berkaitan dengan topik-topik yang harus kami tumpukan untuk exam Law 1.

Kawan saya nie berbangsa cina dan kami berkawan rapat kerana kami masuk ke jabatan ini bersama-sama. Dalam bidang yang dikuasai 90% oleh lelaki.....amat lega kalau dapat jumpa kawan wanita. Sebab itu bila mula-mula masuk kerja dahulu, kami bertiga amat rapat walaupun berlainan cawangan. Saya, Bee dan Chin (nama samaran) adalah pekerja kontrak. Selepas 2 tahun menjadi pegawai kontrak, saya dan Bee diserapkan kepada pegawai tetap....walaupun gaji basic pegawai tetap lebih rendah daripada pegawai kontrak. Chin pula ambil keputusan untuk berkerja di syarikat lain yang menawarkan gaji lebih tinggi disebabkan pengalaman yang diperolehi dijabatan ini.

Masa jumpa Bee kat The Coffee Beans....kami habiskan masa sejam untuk diskus topik exam dan 2 jam lagi bercerita merapu. Bee berkata bahawa beberapa hari lepas dia tidak boleh tumpukan perhatian pada study sebab satu peristiwa yang menyedihkan telah terjadi kepada keluarga Chin.

Chin telefon bee sambil menangis memberitahu bahawa adik iparnya telah bunuh diri (dalam minggu lepas). Bee bercerita tentang keluarga Chin kepada saya. Saya terbayangkan chin, seorang wanita yang sangat cantik....berbadan cantik dan bila dia pakai kebaya ke pejabat memang semua orang akan menoleh. Jika chin cantik sudah tentu adiknya juga sangat cantik. Adik chin telah berkahwin dengan lelaki berbangsa Korea yang berusia lebih tua daripadanya...perbezaan umur mereka dalam 12 tahun. lelaki itu berjawatan besar disebuah syarikat international....gajinya dibayar dalam US dan sebulan gajinya mencecah US12 ribu. Dari sini kita boleh agak kehidupan adik chin memang dalam kategori mewah dan tinggal di kondo mewah ditengah-tengah Kuala lumpur. Suaminya sering bertugas di luar negeri dan selalu tinggalkan adik Chin bersama dengan 2 orang anak lelaki mereka. Anak lelaki yang sulung berusia 8 tahun dan yang kedua 5 tahun.

Adik chin tidak bekerja dan menjadi surirumah sepenuh masa. Masa banyak dihabiskan dengan bershopping, salun atau yoga. Menurut Bee, Chin selalu bercerita bahawa adiknya mempunyai masalah dengan suaminya. Dia mengesyaki suaminya mempunyai kekasih lain. Dia mula bersikap pranoid.

Chin berasal daripada Terengganu dan hubungan keluarga mereka sangat rapat. Abang chin adalah seorang peguam. Apabila adik chin mula mencurigai suaminya....keluarganya menyokong. Menurut Bee....bila 1 dengar cerita chin dan sebagai wanita...dah tentu I akan sokong wanita dan merasakan lelaki jahat. Ok masa nie saya boleh terima.....sebagai wanita saya juga akan merasa begitu jika cerita ini diseritakan kepada saya. Kemudian bee berkata " I mula rasa sesuatu yang pelik bila Chin berkata bahwa adiknya berebut lelaki dengan lelaki". Haaaaa.....

Rupanya adik Chin mengesyaki bahawa suaminya adalah gay dan mengahwini dirinya hanya untuk menutup identiti sebagai gay. kekasih suaminya adalah lelaki. Sudah tentu cerita ini menjadi topik hangat dalam keluarga Chin dan menimbulkan kemarahan bapa dan abang Chin. Mereka sekeluarga berpakat bertemu semuka dengan suami adik Chin dan meminta perceraian. Mereka mengemukakan tuntutan sebanyak RM300 ribu atas perceraian tersebut.

Kita berbalik kepada suami adik Chin. Dia adalah foreigner yang tinggalkan ahli keluarga dan hidup di Kuala lumpur tanpa ada sesiapa disisinya kecuali isteri dan anaknya. Jika ada masalah kepada siapa dia hendak mengadu. Dia keseorangan di tanah asing tetapi isterinya dikelilingi oleh ahli keluarga dan jika ada masalah....isterinya akan mengadu kepada keluarganya dan mereka akan bersemuka dengannya. Selepas terima tuntutan perceraian.....dia terus uruskan penjualan beberapa lot kondominium yang dibeli atas nama isterinya. Dah tentu isterinya tidak mengesyaki apa-apa sebab mungkin dia perlukan wang untuk bayaran alimoni. Selepas urusan pengiklanan penjualan lot kondominium tersebut...dia balik kerumah dan gantung dirinya. Dia tinggalkan sepucuk surat kepada isterinya.

Dalam surat itu...dia menulis bahwa saat yang paling gembira dalam hidupnya adalah saat kali pertama mereka bertemu, dia tidak kesal tinggalkan negaranya untuk bersama dengan wanita yang paling dicintainya. Di negara asing ini....dia hanya mempunyai isterinya dan anak-anak. Merekalah dunianya. Dia berkerja keras demi memastikan wanita yang dicintainya hidup senang dan gembira disisinya tetapi dia tidak sangka usaha kerasnya telah menimbulkan salah faham. Dia bersumpah bahawa dia hanya mencintai wanita dan wanita itu adalah isterinya. Dunianya adalah isterinya dan bila isterinya berkeras untuk bercerai....dia rasa dunianya sudah musnah. Dia minta supaya isterinya kebumikan dia di Kuala lumpur kerana dia terlalu cintakan Kuala Lumpur dan orang-orang yang dicintainya berada di Kuala Lumpur.

Sudah tentu surat terakhir itu meninggalkan kekesalan besar kepada Chin sekeluarga. Masing-masing menangis kesal atas apa yang berlaku.

Bila Bee habis bercerita....saya yang mendengar menjadi sedih. Kesimpulan terakhir yang keluar dari mulut Bee "Bila anak lelaki I nak kahwin nanti....I akan nasihatkan dia supaya berkahwin dengan wanita berkerja. Bila mereka bekerja....mereka sudah tidak ada masa nak fikir perkara-perkara yang bukan-bukan atau mereka-reka cerita yang bukan-bukan". Ohhhhhh ok....itu kesimpulan Bee sebab mungkin Bee berfikir sebagai seorang ibu kepada anak lelaki yang berusia 3 tahun.

Tapi pada saya....intipati cerita ini adalah perasaan curiga yang keterlaluan merosakkan hubungan suami isteri. mereka suami isteri tidak berkomunikasi dengan baik. Masalah komunikasi. Ia bukan masalah kepada mereka sahaja tetapi kepada semua pasangan suami isteri yang lain tanpa mengira bangsa, warna kulit atau agama. Gagal berkomunikasi dengan baik menjadi punca mengapa terlalu banyak curiga timbul. Manusia gagal berkomunikasi dengan baik menjadi punca mengapa hubungan sesama manusia bermasalah.

Jika pembaca membaca entri ini, saya berharap anda tidak terlalu fokus dan komen tentang isu bunuh diri tersebut. Ia akan menyentuh sentiviti bangsa dan peribadi orang lain. Jadikan cerita ini sebagai pengajaran. Inilah akibatnya jika terlalu suka ikutkan perasaan....terlalu cepat mengesyaki dan menuduh yang bukan-bukan dan cepat buat kesimpulan sendiri. Berpesanlah kepada diri sendiri.

Saya berkata kepada Bee "saya harap anak-anak dia tidak mengetahui berkenaan surat tersebut" dan Bee bersetuju dengan saya.